5G : Kerajaan 'akur' kepada permintaan syarikat telco? | DagangNews Skip to main content

5G : Kerajaan 'akur' kepada permintaan syarikat telco?

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Mac - Kerajaan berkemungkinan 'akur' kepada tuntutan syarikat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dengan memilih rangkaian dwi borong (DWN) berbanding rangkaian borong tunggal (SWN) bagi mengelakkan kelewatan dalam pelancaran 5G Malaysia, demikian menurut Public Investment Bank Research.

 

Keputusan itu juga diambil bagi membolehkan pelancaran 5G mendapat sokongan daripada pemain industri memandangkan ketersediaan sambungan internet berkelajuan tinggi dan boleh dipercayai adalah penting untuk transformasi digital Malaysia dalam memacu pertumbuhan ekonomi masa hadapan.

 

Firma itu berkata, pelancaran komersial 5G yang sepatutnya berlangsung pada Disember 2021 telah tertangguh, terutama disebabkan keengganan MNO menandatangani perjanjian borong jangka panjang dengan DNB.

 

"Namun, tidak kiralah apa jua model yang dipilih oleh kerajaan, langkah mengewangkan perkhidmatan 5G akan memberi cabaran pada tahun-tahun awal pelaksaannya. 

 

"Ini kerana di bawah model SWN, syarikat telekomunikasi perlu membayar yuran borong pendahuluan kepada Digital Nasional Bhd. (DNB). 

 

"Di bawah DWN pula, kos perbelanjaan modal (capex) yang tinggi dalam pelancaran 5G akan menyaksikan kos susut nilai, spektrum dan penyelenggaraan yang lebih tinggi," jelasnya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada 11 Mac lalu, Reuters melaporkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, kerajaan akan mengumumkan keputusan sama ada untuk meneruskan rancangan melaksanakan 5G menggunakan rangkaian borong tunggal minggu depan (dijangka Rabu ini).

 

Ia berikutan MNO mencadangkan kerajaan untuk membenarkan penyedia 5G kedua susulan pertikaian antara pengendali dan DNB, agensi kerajaan yang diberi mandat untuk melaksanakan pelancaran 5G.

 

Syarikat-syarikat telco berkenaan bimbang rancangan itu akan mengakibatkan monopoli tempatan yang lebih mahal berbanding jika 5G dilaksanakan sendiri oleh mereka.

 

Namun, DNB berkata ia akan mengenakan caj yang lebih rendah kepada pengendali bagi mendapatkan akses kepada rangkaian 5G, berbanding kos yang ditanggung untuk rangkaian 4G.

 

Sehubungan itu, pada bulan lalu, 4 MNO terdiri daripada Celcom Axiata, Digi, Maxis dan U Mobile mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk membenarkan model DWN membabitkan DNB dan konsortium MNO.

 

 

5G

 

 

Public Investment berkata, dengan 5G, katanya, lebar jalur akan berkembang, kependaman akan berkurangan dan dengan itu, meningkatkan kebolehpercayaan, keselamatan dan kualiti perkhidmatan. 

 

"Bagaimanapun, untuk membolehkan 5G diterima perniagaan, ekosistem yang lengkap diperlukan. Pada ketika ini, ekosistem yang diperlukan masih lagi kurang," katanya.

 

Menurutnya, model SWN mungkin menyelesaikan isu jurang antara bandar dan luar bandar kerana ia boleh mempercepatkan penggunaan 5G ke kawasan separa bandar dan luar bandar walaupun ia tidak berdaya maju dari segi ekonomi, tetapi agenda ini mungkin tidak diterima oleh pelaburnya, yang mana kerajaan masih belum mengenal pasti pada peringkat ini.

 

Tambahan pula, katanya, Kementerian Kewangan (MoF) sebelum ini menjelaskan pelaksanakan 5G menerusi DNB tidak membabitkan dana awam. 

 

"Oleh itu, jika ia melibatkan dana persendirian, masih terdapat risiko bahawa DNB mungkin tidak dapat melabur dengan banyak dalam bidang yang tidak menguntungkan ini.

 

"Di bawah model DWN, syarat untuk penganugerahan spektrum 5G boleh dikenakan ke atas MNO, yang memaksa mereka untuk melabur di kawasan luar bandar.

 

"Ketika ini, MNO juga telah berikrar untuk menyokong inisiatif Jendela bagi meningkatkan dan menambahbaik keterhubungan di seluruh negara," katanya.

 

 

mof

 

 

Berdasarkan anggaran MoF, kos peralatan dan infrastruktur 5G mencecah sehingga RM12.5 bilion jika ia dilaksanakan membabitkan DNB sahaja. 

 

Ia dianggar mencecah RM17 bilion (dalam tempoh 10 tahun) merangkumi pembiayaan, spektrum dan kos-kos lain. 

 

"Dalam hal ini, pelaksanaan model DWN bermakna ia meningkatkan sekali ganda kos pelaksanaan 5G kepada sekitar RM30 hingga RM35 bilion. 

 

"Walaupun model DWN melibatkan penggunaan 5G yang lebih mahal, landskap yang lebih kompetitif seharusnya membawa kepada kos yang lebih rendah dalam jangka masa panjang," jelasnya.

 

Public Investment berkata, adalah jelas perdebatan membabitkan model SWN adalah berkaitan keberkesanan kos dalam pelancaran 5G dengan mengalih keluar kos tambahan pertindihan rangkaian (iaitu lebih sedikit tapak dan perkongsian infrastruktur yang pasif).

 

Bagaimanapun, katanya, ketiadaan struktur pasaran borong yang berdaya saing berpotensi mewujudkan ketidakcekapan dalam jangka sederhana hingga panjang kerana kekurangan skop ekonomi dan insentif untuk terus melabur dan berinovasi pada peringkat borong dan runcit.

 

Sebagai pengendali rangkaian 5G tunggal, DNB hanya boleh menawarkan rangkaian produk borong yang kecil manakala MNO pula kurang mendapat insentif untuk membezakan dan bersaing di peringkat runcit kerana setiap pemain mempunyai akses yang sama kepada satu rangkaian.

 

"Ini juga akan membawa kepada penamatan peruntukan perkhidmatan 4G dan 5G, yang mungkin menyebabkan pengguna akhir terpaksa membayar harga runcit yang lebih tinggi kerana kekurangan skop ekonomi.

 

"Malah, kami juga mendapati di bawah model SWN, ketiadaan tekanan kompetitif untuk menggunakan rangkaian 5G tepat pada masanya juga boleh meningkatkan risiko lebihan kos," tambahnya.

 

Dengan mengambil kira kesemua faktor berkaitan, firma itu mengulangi pandangan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi memandangkan peluang yang terhad untuk mengewangkan perkhidmatan 5G pada tahun-tahun awal penggunaannya. 

 

Telekom Malaysia Bhd. (TM) pula kekal menjadi pilihan utama sahamnya bagi sektor tersebut dengan saranan 'outperform' pada harga sasaran RM6.40 kerana ia mampu meraih manfaat daripada permintaan yang semakin berkembang bagi pajakan fiber dan penyelesaian pusat data di Malaysia. -DagangNews.com