KUALA LUMPUR 8 Ogos - Lima penyedia perkhidmatan telekomunikasi komited untuk menyokong rangka kerja Ekonomi Madani kerajaan melalui ketersambungan dan peranti mampu milik, serta akan terus bekerjasama rapat sebagai industri bagi merapatkan lagi jurang digital.
Lima syarikat telekomunikasi berkenaan terdiri daripada CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd, Telekom Malaysia Bhd (Unifi Mobile), U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd (Yes).
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kelima-lima penyedia perkhidmatan telekomunikasi berkata mereka mengalu-alukan pengumuman terbaharu kerajaan mengenai pakej 5G RAHMAH dan Insentif Postpaid RAHMAH Penjawat Awam sempena Bulan Kebangsaan.
"Pakej 5G RAHMAH dan Insentif Postpaid RAHMAH Penjawat Awam akan dilancarkan pada 31 Ogos 2023. Pelanggan dinasihatkan untuk menyemak laman web penyedia perkhidmatan bagi mendapatkan pakej yang tersedia," katanya.
BACA: Penjawat awam nikmati rebat RM10 sebulan melalui langganan pakej 5G RAHMAH - Fahmi
Lima syarikat telekomunikasi berkata demikian susulan pengumuman pakej tersebut oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, semalam.
Penjawat awam bakal menikmati rebat RM10 sebulan bagi langganan pakej mudah alih pascabayar masing-masing di bawah Insentif Postpaid RAHMAH Penjawat Awam, yang diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pada Isnin.
Fahmi turut berkongsi bahawa kementeriannya, dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan dua pengeluar peranti, Samsung Malaysia dan Honor Malaysia menawarkan pakej 5G RAHMAH bermula 31 Ogos ini sempena sambutan Bulan Kebangsaan. - DagangNews.com








