KUALA LUMPUR 26 Ogos - 4Fingers Crispy Chicken Malaysia mengumumkan lebih 90% restoran miliknya disahkan Halal semasa majlis sambutan ulang tahunnya yang ke-10 pada hari ini.
Pengerusi Jawantankuasa Halal 4Fingers, Zarina Mohammad Saad berkata, pensijilan Halal merupakan keutamaan syarikat dalam menyediakan makanan dan minumannya terutamanya bagi pelanggan beragama Islam.
"Pematuhan kepada piawaian Halal menandakan dedikasi kami terhadap keterangkuman dan kualiti tinggi, kami akan teruskan usaha memastikan produk kami memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh JAKIM," ujar beliau semasa majlis pelancaran sambutan ulang tahun ke-10 di restoran 4Fingers di pusat beli-belah IOI di Putrajaya.

Zarina berkata, pencapaian tersebut merupakan hasil kerjasama syarikat itu dengan Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan setiap elemen penyediaan makanannya termasuk sumber bahan dan proses memasak mematuhi piawaian Halal.
Selain itu, beliau turut menekankan pensijilan Halal daripada JAKIM mengesahkan semua menu 4Fingers disediakan dengan penuh perhatian terhadap kebersihan dan kualiti.
"Sijil ini menjaminkan integriti dan keselamatan makanan yang disediakan supaya pelanggan kami tidak meragu," ujar beliau.

Mengenai usaha 4Fingers mencapai 100% restoran dijamin Halal, Zarina menerangkan proses syarikat itu dalam memastikan restoran 4Fingers mendapat pensijilan itu.
"Setiap kali kami membuka kedai 4Fingers baharu, kami perlu menjalankan proses bagi mendapatkan pensijilan Halal termasuk bahagian dokumentasi serta menerusi penilaian kedai oleh JAKIM.
"Kebanyakan kedai kami yang sedia ada telah disahkan Halal dan hanya sebahagian dripada kedai yang baru dibuka masih dalam proses mendapatkan pensijilan tersebut, tetapi kami komited supaya 100% restoran kami di Malaysia disahkan Halal," kata beliau semasa sesi soal jawab di majlis itu.
Sementara itu, beliau berkata, 4Fingers merancang untuk mengembangkan cawangan yang diperakui Halal di seluruh Malaysia dengan sasaran untuk meningkatkan piawaian restorannya dengan tawaran inovatif dan berkualiti tinggi.- DagangNews.com








