474 produk, teknologi bernilai lebih RM540 juta dikomersialkan melalui MCY - MOSTI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

474 produk, teknologi bernilai lebih RM540 juta dikomersialkan melalui MCY - MOSTI

Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kiri) ketika melancarkan Sidang Kemuncak MCY 2023 di Bangsar pada 4 Ogos 2023. - Gambar Facebook MOSTI

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Sebanyak 474 produk, teknologi dan perkhidmatan berjaya dikomersialkan menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY Summit) sepanjang 2016 hingga 2022.

 

Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan, pengkomersialan produk, teknologi dan perkhidmatan itu melibatkan pasaran tempatan serta antarabangsa dengan nilai hasil melebihi RM540 juta.

 

Selain itu, penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai yang diterajui MOSTI juga berjaya menjana pulangan pelaburan dan perniagaan bernilai lebih daripada RM9 bilion.

 

"MCY merupakan platform bagi mengiktiraf usahawan teknologi tempatan atas kejayaan mereka mengkomersialkan produk hasil penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D&I) ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

 

"Memasuki tahun ketujuh pelaksanaannya, MCY turut memasuki tahun ketiga fasa MCY 3.0 bertemakan MCY Goes Global, sebuah inisiatif pengkomersialan hasil R&D&I tempatan ke peringkat global,” menurut kenyataan MOSTI hari ini. 

 

Sidang Kemuncak MCY 2023 dengan bertemakan Supercharge Your Way to Impact berlangsung selama dua hari di Bangsar dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Pada majlis itu, perdana menteri turut melancarkan Malaysia Technology Commercialisation Platform (MATCH) iaitu platform inovasi pengewangan yang menghubung dan menawarkan penyelesaian kepada pembekal serta pencari teknologi sekali gus mempercepatkan proses komersialisasi teknologi di Malaysia, lapor Bernama.

 

 

mosti

 

 

Perdana menteri turut menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman (MoU) iaitu antara MRANTI dengan AstraZeneca Malaysia; MRANTI dengan Eastern Academic Health Science Network (EAHSN), United Kingdom dan Fuciphagus Agritech Sdn Bhd dengan Eu Yan Sang serta satu memorandum perjanjian (MoA) antara Free The Seed Sdn Bhd dengan Nissho Precision (Malaysia) Sdn Bhd. - DagangNews.com