KUALA LUMPUR 6 Mac - Sebanyak 47% responden di Malaysia mempunyai bajet kurang daripada RM350,000 untuk pembelian hartanah mereka disebabkan isu kemampuan yang kekal sebagai fokus utama dalam kalangan pembeli rumah.
PropertyGuru Malaysia menerusi Kajian Sentimen Pengguna H1 2023 mendedahkan, hanya 1 daripada 10 mempunyai bajet lebih daripada RM600,000.
Kajian tersebut juga mendapati, separuh pengguna di negara ini tidak mampu membeli rumah tanpa bantuan kerajaan, dengan hampir 3 daripada 4 responden menggesa kerajaan melaksanakan lebih banyak inisiatif untuk menangani isu kenaikan inflasi.
Pengurus Negara Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez berkata, cabaran kewangan berterusan yang dihadapi pengguna seperti dilihat dalam CSS H1 2023 PropertyGuru memberi lebih penekanan kepada kepentingan bantuan kewangan kerajaan dalam perjalanan pemilikan rumah rakyat Malaysia.
Katanya, walaupun peningkatan gaji minimum terbaru sangat dialu-alukan, kenaikan inflasi turut meningkatkan perbelanjaan harian isi rumah yang menyebabkan simpanan bulanan rakyat Malaysia semakin berkurangan dan mereka perlu meminimumkan perbelanjaan tambahan.
"Selain gesaan kepada sokongan kewangan diterajui kerajaan, kajian turut mendedahkan yang 2 dalam 5 rakyat Malaysia tidak mempunyai pemahaman jelas mengenai terma kelayakan skim perumahan mampu milik.
"Data CSS H1 2023 mendedahkan yang perkara itu ketara dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan mereka yang berusia antara 20 hingga 29 tahun.

"Kajian turut mendapati lebih separuh (58%) pengguna Malaysia yang terdiri daripada golongan berpendapatan menengah berusia antara 22 hingga 41 tahun yang berhasrat membeli hartanah hampir mencapai sasaran simpanan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sheldon, apa yang dilihat dalam pasaran sejak kebelakangan ini adalah bakal pembeli rumah berhasrat untuk membeli tetapi mereka terhalang dengan isu kemampuan yang dijangka akan terus membelenggu sehingga kos keseluruhan kehidupan distabilkan.
Dengan ini katanya, pihaknya menjangkakan pengguna akan terus mengutamakan penyewaan berbanding pembelian hartanah dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Sementara itu, susulan tragedi tanah runtuh Batang Kali pada Disember 2022, isu perubahan iklim terus menjadi kebimbangan utama bagi 98% responden Malaysia.
Ini ketara dalam kalangan responden berusia 50 tahun dan ke atas, menurut laporan CSS H1 2023 terbaru.
CSS H1 2023 turut merekodkan sekitar 52% pengguna bersedia membayar premium insurans lebih tinggi bagi melindungi hartanah mereka daripada kesan perubahan iklim.
Dengan pertimbangan kepada peningkatan bencana berkaitan perubahan iklim yang sedang berlaku, 70% responden Malaysia meluahkan ketidakpuasan hati terhadap usaha nasional dalam mengekang kesan perubahan iklim di negara ini. - DagangNews.com








