34.6% pekerja formal di Malaysia peroleh gaji bawah RM2,000 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

34.6% pekerja formal di Malaysia peroleh gaji bawah RM2,000 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Jan - Sejumlah 34.6% pekerja formal di Malaysia memperoleh upah di bawah RM2,000, yang mana peratusan itu menandakan penurunan daripada 38.1% dicatatkan pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pada masa sama, hampir 7.5% pekerja formal memperoleh upah bulanan RM10,000 dan ke atas pada September 2023.

 

Sementara itu katanya, analisis persentil menunjukkan bahawa persentil ke-10 pekerja formal menerima upah bersamaan atau kurang daripada RM1,500 sebulan. 

 

"Bagaimanapun, kumpulan ini mengalami peningkatan upah bulanan ketara sebanyak 10% berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

 

"Nisbah upah antara kumpulan penerima upah tertinggi (persentil ke-90) dengan kumpulan penerima upah terendah (persentil ke-10) menggambarkan bahawa kumpulan penerima upah tertinggi menerima lebih dari lima kali ganda upah berbanding kumpulan penerima upah terendah," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, median upah bulanan sektor formal meningkat 5.5% tahun ke tahun kepada RM2,600 pada akhir suku tahun ketiga 2023,

 

Beliau berkata, statistik itu menunjukkan bilangan pekerja warganegara di sektor formal meningkat sebanyak 1.3% kepada 6.68 juta orang pada September 2023 berbanding bulan sama pada tahun sebelumnya.

 

 

DOSM

 

 

Katanya, daripada segi jantina, pekerja formal lelaki menyumbang lebih separuh daripada keseluruhan pekerja formal, sebanyak 55.4% atau bersamaan dengan 3.7 juta orang pada September 2023. 

 

"Pekerja formal lelaki menerima median upah bulanan sebanyak RM2,645 pada September 2023, menunjukkan peningkatan 5.8% berbanding September 2022. 

 

"Sementara itu, pekerja formal perempuan yang menyumbang 44.6% daripada keseluruhan pekerja formal (2.98 juta orang) menerima median upah bulanan sebanyak RM2,518 pada September 2023," katanya.

 

Mohd Uzir berkata, median upah bulanan menyaksikan pertumbuhan positif merentasi semua sektor pada suku tahun ketiga 2023, yang mana sektor perlombongan dan pengkuarian merekodkan median upah bulanan tertinggi iaitu RM5,200 pada September 2023. 

 

"Sektor ini turut merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi pada September 2023 dengan 16.5%. Sektor pertanian yang meliputi 1.9% daripada keseluruhan pekerja formal, mencatatkan median upah bulanan terendah iaitu RM1,982, meningkat 6.3% tahun ke tahun pada September 2023," katanya.

 

Beliau berkata, semua negeri menunjukkan pertumbuhan positif tahun ke tahun dari segi median upah bulanan. 

 

Katanya, tiga negeri mengatasi median upah bulanan nasional iaitu RM2,600 pada September 2023, dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan median upah bulanan tertinggi iaitu RM3,800, diikuti Selangor sebanyak RM2,900 dan Pulau Pinang sebanyak RM2,645. 

 

"Sebaliknya, Kelantan, Perlis dan Sabah menunjukkan median upah bulanan terendah dalam tempoh masa yang sama, masing-masing mencatatkan RM1,600, RM1,627 dan RM1,800," katanya. - DagangNews.com