KUALA LUMPUR 14 April - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan jumlah trafik sebanyak 25% kepada 2 juta kenderaan sehari berbanding 1.6 juta ketika tempoh perayaan Aidilfitri bermula 29 April hingga 9 Mei 2022.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, orang ramai disarankan supaya membuat perancangan untuk pulang ke kampung lebih awal bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam kesesakan trafik terutamanya ketika beberapa hari terakhir Ramadan.
“Pada hari-hari puncak bermula 29 April hingga 9 Mei, jumlah trafik harian boleh meningkat sebanyak 25% kepada 2 juta kenderaan sehari berbanding 1.6 juta sehari pada ketika ini.
“Oleh itu, kami menyarankan agar orang ramai supaya membuat perancangan awal dan pulang ke kampung lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, PLUS turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dalam tempoh yang terdekat bagi membantu orang ramai merancang perjalanan balik kampung pada musim perayaan ini.
Azman berkata, pasukan operasi lebuhraya PLUS juga telah bersiap-siaga dan bersedia untuk membantu orang ramai pulang ke kampung pada cuti perayaan Aidilfitri yang amat dinanti-nantikan tahun ini.
“Ia melibatkan pendekatan yang holistik merangkumi pelbagai aspek termasuklah adaptasi teknologi untuk meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan orang ramai. Pelan persediaan operasi lebuhraya tersebut akan diumumkan kemudian,” ujarnya. - DagangNews.com








