13,431 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Program Jamin Kerja sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

13,431 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Program Jamin Kerja sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) semasa merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Negeri Terengganu hari ini. - Gambar NSTP
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA NERUS 4 Jun - Sebanyak 13,431 peluang pekerjaan ditawarkan 89 majikan menerusi Program Jamin Kerja sempena penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Terengganu, sekali gus membolehkan Keluarga Malaysia di negeri itu mendapat padanan kerja yang bersesuaian.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan negeri dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah bekerjasama untuk memperkasakan akses peluang pekerjaan bagi rakyat Terengganu melalui 38 Pusat Pintar yang menyasarkan 1,000 penempatan pekerjaan. 

 

Beliau berkata, ia berjaya melepasi sasaran dengan 1,351 tawaran pekerjaan sejak ia dilaksanakan pada Disember 2021 sehingga April tahun ini, dengan Perkeso yang berperanan sebagai Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT).

 

"Malah, pada hari ini, melalui Program Jamin Kerja di Jelajah  Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu, sebanyak 13,431 peluang pekerjaan turut ditawarkan melalui 89 majikan. 

 

"Ini sekali gus membolehkan Keluarga Malaysia di negeri ini dipadankan dengan pekerjaan yang sesuai. Selain itu, kerajaan juga cakna tentang kebajikan pekerja yang hilang upaya untuk kembali bekerja. Mereka ditawarkan bantuan alat pemulihan supaya dapat melaksanakan pekerjaan dengan sebaiknya," katanya ketika berucap merasmikan Jelajah AKM  di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini, hari ini.

 

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sejumlah RM343 juta diperuntukkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi pemuliharaan muara sungai dan hakisan pantai di daerah Setiu, Kemaman, Dungun dan Marang yang dijangka selesai pada bulan Januari 2025.

 

"Kerajaan maklum tentang kerosakan benteng pemecah ombak yang membawa kepada berlakunya pemendapan pasir sekali gus mencetekkan laluan bot ke jeti Pelabuhan Chendering, Marang dan menyukarkan proses pendaratan ikan," katanya.

 

Beliau berkata, kerajaan turut menyedari pentingnya pendidikan kepada masa depan keluarga Malaysia, dan peruntukan sebanyak RM5.034 bilion disediakan bagi projek pembangunan sekolah dan institusi pendidikan di seluruh Malaysia bawah Rolling Plan Ke-2 RMKe-12 Tahun 2022.

 

Beliau berkata, bagi Terengganu, terdapat 79 projek baharu dan sambungan bagi pembangunan sekolah serta institusi pendidikan dengan kos keseluruhan RM914.79 juta. 

 

"Daripada jumlah ini, sebanyak 42 projek telah siap sepenuhnya, 18 projek di peringkat pelaksanaan atau pembinaan dan 19 projek berstatus pra bina. 

 

"Bagi projek menaik taraf dan membangun semula sekolah yang mempunyai bangunan daif, sebanyak 26 projek telah diluluskan dalam tempoh 2017-2022 dengan kos sebanyak RM60.93 juta. Sebanyak 21 projek telah siap manakala baki sebanyak lima projek dalam peringkat pra bina," katanya.

 

Beliau berkata, di bidang kesihatan pula, projek Hospital Dungun dengan kapasiti 110 buah katil lengkap dengan peralatan perubatan dan projek High Dependency Ward Hospital di Besut merangkumi lima katil terbuka, sebuah katil bilik isolasi dan enam zon utama dijangka siap dibina pada tahun ini. 

 

"Lima lagi projek dijangka siap tahun depan melibatkan pembinaan Hospital Kemaman setinggi sembilan tingkat dengan kapasiti 300 katil, klinik kesihatan di Kampung Raja, Besut, kerja-kerja menaik taraf dan penggantian sistem lif di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, Klinik Kesihatan di Rhu Sepuluh, Setiu, dan pembinaan Klinik Kesihatan di Paya Datu, Kuala Terengganu," katanya. - DagangNews.com