1,200 pelajar terima sumbangan bantuan persekolahan MYAirportCARES bernilai RM125,000 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

1,200 pelajar terima sumbangan bantuan persekolahan MYAirportCARES bernilai RM125,000

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

SEREMBAN 18 Ogos - Seramai 1,200 murid termasuk pelajar pendidikan khas daripada 20 buah sekolah sekitar Semenanjung menerima sumbangan alat bantuan pembelajaran yang keseluruhannya berjumlah RM125,000 di bawah inisiatif tanggungjawab korporat (CR) Malaysia Airports, MYAirportCARES. 

 

Majlis penyerahan sumbangan diadakan di salah sebuah sekolah terlibat yang mana 63 pelajar daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Labu Ulu, Batu 8 di sini hadir untuk menerima sumbangan alat bantuan pembelajaran seperti buku latihan, buku cerita dan set alat tulis semalam. 

 

Menurut Pengerusi Malaysia Airports, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Malaysia Airports sentiasa komited dalam usahanya membantu masyarakat sekitar dalam pelbagai aspek dan telah menganjurkan pelbagai program untuk merealisasikan matlamat itu. 

 

"MYAirportCARES Alat Bantuan Pembelajaran merupakan salah satu daripadanya dan ia bertujuan untuk membantu para pelajar meningkatkan prestasi akademik mereka. 

 

"Kami berpendapat bahawa pendidikan merupakan pelaburan yang sangat penting demi pembangunan sesebuah negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Zambry, 10 daripada sekolah terlibat merupakan sekolah yang pernah menyertai program sekolah angkat Beyond Borders Malaysia Airports dari tahun 2007. 

 

Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Pintar atas kerjasama dalam mengenal pasti sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan. 

 

 

MAHB

 

 

MAHB

 

 

Majlis tersebut turut dihadiri Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports, Mohd Arif Jaafar; Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Md Fiah Md Jamin; Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Seremban,  Norazam Nayan dan Guru Besar SK Labu Ulu, Nur Fairudzaini Zainal Abidin. - DagangNews.com