KUALA LUMPUR 2 Jun - FWD Takaful Bhd menganugerahkan biasiswa kepada seramai 11 pelajar universiti tempatan yang menunjukkan dedikasi dan komitmen luar biasa dalam pengajian mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful, Salim Majid Zain berkata, program biasiswa yang dilancarkan pada 2021 itu terbuka kepada pelajar daripada keluarga B40 dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 yang memerlukan bantuan kewangan melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT).
Beliau berkata, program itu bertujuan membangunkan kemahiran dan bakat berdaya tahan untuk industri takaful dengan mempromosi serta menggalakkan bakat muda untuk mengikuti pengajian dalam bidang takaful, syariah, sains aktuari, kewangan Islam dan teknologi maklumat/digital.
Katanya, FWD Takaful memberi penekanan kepada pendidikan dan pembangunan modal insan mencerminkan dedikasi pihaknya untuk mengubah pandangan orang ramai terhadap takaful.
"Kami berhasrat untuk membangunkan dan meningkatkan kapasiti dan kemahiran belia negara dalam usaha membentuk bakal profesional dalam industri.
"Dengan Program Biasiswa FWD Takaful, pelajar yang kurang bernasib baik akan dapat memulakan pendidikan tinggi mereka, yang akan menjadi batu loncatan penting untuk menjadi pemimpin masa depan dalam bidang pengajian masing-masing," katanya dalam kenyataan hari ini.
Salim berkata, permohonan Program Biasiswa FWD Takaful menerima sambutan yang mengalakkan yang mana ia telah membiayai sepenuhnya program pengajian 4 tahun (termasuk pra-universiti).
Katanya, ia termasuk keseluruhan yuran kursus seperti yuran pengajian, yuran peperiksaan, yuran asrama, elaun sara hidup, pembelian sekali sahaja untuk komputer riba dan pencetak, buku serta bahan kursus.
"Di samping itu, FWD Takaful juga telah menyediakan perlindungan takaful dan menugaskan mentor kepada semua pemohon yang berjaya sepanjang program biasiswa," katanya.
Ketua Pegawai Sumber Manusia FWD Takaful, Lisa Lew pula berkata, pihaknya mahu terus melakukan transformasi yang positif dan amat diperlukan untuk pelajar kurang berkemampuan dengan menyokong minat dan bakat mereka untuk membuat perubahan yang bermakna.
Menurutnya, bidang pengajian itu selaras dengan keperluan yang semakin meningkat bagi kumpulan bakat untuk industri.
"Memupuk bakat muda yang bersemangat dalam bidang ini dari semasa ke semasa akan menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan berkaitan takaful dan fungsi lain berkaitan dalam industri untuk membawa lebih banyak produk, perkhidmatan dan teknologi yang inovatif," katanya.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Program Biasiswa FWD Takaful, sila layari fwd.com.my/latest/fwd-takaful-scholarship-programme atau emel [email protected].
Sebagai alternatif, hubungi 1300-13-7988 atau emel [email protected] untuk maklumat lanjut. - DagangNews.com








