Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Anekdot Mawarith - 3 August 2020

Apa yang kecoh sangat pasal pusaka ni?

 

 

SAYA ucap terima kasih kepada pihak Dagang News kerana sudi memberikan saya peluang berkongsi pengalaman, pengetahuan dan pandangan saya dalam kolum Anekdot Mawarith, yang akan disiarkan setiap Isnin mulai hari ini, 3 Ogos 2020.

 

Banyak sebenarnya  yang nak dikongsikan hasil pemerhatian dan pengalaman 22 tahun saya bergiat dalam industri perancangan harta dan pengurusan pusaka di Malaysia.

 

Saya datang dari latar belakang industri kewangan. Memulakan kerjaya di sebuah bank antarabangsa dan seterusnya berhijrah ke bank yang lain.  

 

Saya bukanlah  siswazah undang-undang mahupun dari bidang syariah. Saya ‘terjebak’ di dalam industri ini pada 1998 dengan izin Allah selepas bertemu dengan Allahyarham Ustaz Hj Ridzuan Awang, seorang pensyarah di Fakulti Pengajian Islam UKM dalam satu seminar yang saya hadiri.

 

wasi1

 

Permulaan perkenalan itu mengubah hidup saya dan membawa saya berjinak-jinak mempelajari segala selok belok industri perancangan harta ini sehinggalah jatuh cinta kepadanya dan membawa kepada penubuhan Wasiyyah Shoppe Berhad pada tahun 2004.

 

Mencecah usia 15 tahun, Wasiyyah Shoppe Berhad hari ini ialah syarikat amanah patuh syariah dengan jumlah pelanggan teramai di Malaysia dengan nilai harta yang telah berjaya diuruskan mencecah RM650 juta. Nilai harta pelanggan yang bakal dibantu urus pula mencecah RM35 bilion sehingga 31 Disember 2019.

 

Jadi apa sebenarnya yang kecoh sangat tentang isu pusaka di Malaysia ini? Adakah ia satu isu serius yang perlu kita fikirkan?

 

Seorang timbalan Menteri pada 2017 pernah memaklumkan bahawa terdapat hampir RM60 bilion nilai harta pusaka tertunggak yang masih di atas nama si-mati dan belum diwariskan kepada waris yang sepatutnya.

 

Kenapa pula saya sanggup meninggalkan bidang kewangan yang lebih mewah dari segi pulangannya dan mempertaruhkan segala-galanya untuk menceburi bidang ini yang ketika itu industrinya hampir tidak wujud?

 

Saya masih ingat ketika saya bermula pada 1998, umat Islam di Malaysia 99% tidak faham tentang faraid, tidak tahu apa itu wasiat dan perkataan hibah langsung tidak kedengaran tidak seperti sekarang.

 

Bila saya membawa ilmu-ilmu ini terutamanya tentang hibah, saya dikatakan membawa ajaran sesat yang tiada dalam Al Quran!

 

Saya terpanggil membina industri ini kerana dari 1998 lagi saya sudah nampak bahawa harta pusaka terbeku yang tidak dapat diwariskan kepada generasi seterusnya adalah satu kerugian ekonomi yang besar kepada umat Islam sedangkan tanah adalah salah satu sumber modal yang sangat berharga.

 

wasi2

 

Tanah yang masih di atas nama si-mati tidak dapat digembleng secara ekonomi oleh waris-waris disebabkan pelbagai kekangan undang-undang.

 

Jika pun ada waris yang mengusahakan tanah itu pula, ia terkait pula dengan isu hukum kerana segala hasil tanah itu adalah hak semua waris sedangkan selagi pengurusan pusaka tidak dibuat,  mereka tidak jelas mengenai bahagian mereka.

 

Ini menimbulkan pula isu perbalahan di antara waris seterusnya meruntuhkan institusi kekeluargaan. Hari ini pun sangat banyak isu perbalahan waris sudahpun berlaku kerana harta pusaka.      

 

Begitu juga dengan harta kita yang lain seperti wang tunai di dalam bank, saham syarikat, saham di Bursa Malaysia, kenderaan, saham koperasi dan lain-lain harta yang masih di atas nama si-mati, semuanya tidak dapat dimanfaatkan oleh waris jika pengurusan pusaka tidak dibuat. 

 

Islam telah memberi garis panduan lengkap bagaimana kita boleh merancang harta semasa hidup namun kita yang tidak mengetahuinya atau mungkin juga ilmu itu tidak sampai kepada sesetengah daripada kita.

 

Atas sebab itulah bidang ini sangat ‘personal’ dan sentimental kepada saya. Saya seronok bekerja sejak 22 tahun lepas dalam bidang ini kerana saya tahu saya bukan sekadar bekerja tetapi juga berfardhu kifayah.

 

wasi3

Tiada istilah pencen dalam kerja ini dan saya akan terus berdakwah kepada umat Islam di Malaysia selagi hayat dikandung badan.

 

Insyallah dapat juga saya tinggalkan salah satu dari amalan yang tidak akan putus dari anak adam walaupun selepas kematiannya iaitu ilmu yang bermanfaat.  Anda masih fikir pusaka ini bukan isu serius dan tidak perlu difikirkan? – DagangNews.com  

 

Ariffin Sabirin adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad. Sila lawat http://wasiyyahshoppe.com.my

Portfolio Tags