Berakhirnya Empayar Taib Mahmud, kata Sin Chew Jit Poh | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 29 January 2024

Berakhirnya Empayar Taib Mahmud, kata Sin Chew Jit Poh

Sin Chew Jit Poh 27 Januari 2024

 

 

PADA Jumaat lepas, Sarawak secara rasminya menyambut Yang Dipertua Negeri Sarawak baharu. Perubahan politik sentiasa berlaku dengan sekelip mata, tiada siapa yang dapat meramal perkara yang akan berlaku di masa hadapan.

 

Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafa sememang dianggap sebagai calon kuda hitam yang akan mengambil alih jawatan Yang Dipertua Negeri Sarawak, menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang menyandang jawatan tersebut selama tiga penggal.

 

Namun semua andaian terkubur, selepas Wan Junaidi dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara. Ramai yang berpendapat beliau tiada peluang untuk memegang jawatan tertinggi Sarawak itu. 

 

Bagaimanapun dalam tempoh lebih kurang tujuh bulan, akhirnya Wan Junaidi dapat memegang kukuh jawatan tersebut.


 

hikayat

 


Taib Mahmud pemimpin yang disegani

Perlantikan Wan Junaidi bermakna tamatnya empayar Taib Mahmud, dan beliau akan beransur-ansur hilang dari pandangan orang ramai. Namun beliau tetap akan menjadi tumpuan orang ramai kerana kes mahkamah keluarganya.

 

Orang ramai mengenali Taib Mahmud dengan jolokan ‘Pek Mo’ dan hampir semua generasi rakyat Sarawak memanggil beliau dengan nama tersebut. Bukan sahaja kerana imej megahnya yang tersendiri, di sebalik panggilan ‘Pek Mo’ yang kedengaran mesra sebenarnya tersimpan kebencian dan kemarahan rakyat Sarawak sekian lama.

 

Taib Mahmud sememangnya seorang pemimpin politik yang bijaksana. Malah boleh dikatakan sebagai contoh golongan yang berjaya dalam hidup. Berkerjaya sebagai seorang peguam, beliau akhirnya berpindah ke dunia politik selepas beberapa tahun bekerja dalam bidang perundangan.

 

Kerjaya politik Taib Mahmud melonjak, beliau menjadi menteri termuda di Sarawak pada usia 27 tahun. Pada tahun 1981, beliau telah berada di kedudukan teratas dalam arena politik Sarawak dengan perlantikan sebagai Ketua Menteri Sarawak yang keempat.

 

Sepanjang tempoh selama 33 tahun sebagai Ketua Menteri, beliau diangkat sebagai bapa pemodenan dan pembangunan yang telah mengubah landskap Sarawak.

 

Meskipun beliau dipandang tinggi dan menerima pujian dalam politik, namun pada sisi lain, ekoran terlalu lama memegang jawatan dan ditambah lagi dengan dominasi keluarga dalam pembangunan ekonomi Sarawak, beliau menerima kritikan berterusan daripada orang ramai.


 

yeah

 


Lindungi Sarawak dari segi politik

 Adakah kebaikan ‘Pek Mo’ lebih besar daripada kesalahannya, biar sejarah sahaja yang menilainya. Walau bagaimanapun, satu yang tepat dikatakan oleh rakyat Sarawak iaitu pencapaian terbesar beliau adalah dalam melindungi Sarawak dari segi politik.

 

Semasa zaman kegemilangan UMNO yang paling kuat dan kuasa Mahathir berada di kemuncaknya, UMNO telah membuat percubaan berulang kali untuk menyeberangi Sarawak.

 

Umno telah membuat percubaan berulang kali untuk menyeberang ke arah timur ke Sarawak. Walaupun ‘Pek Mo’ mempunyai motif kepentingan sendiri, dalam hal ini beliau tidak membenarkan mana-mana peluang untuk melemahkan kuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB).

 

Apatah lagi selepas melihat Sabah berpecah dan dirompak dari sedi politik dan ekonomi sejak negeri itu membuka pintu kepada UMNO, ‘Pek Mo’ berjaya mematahkan niat UMNO yang berkobar-kobar.

 

Hari ini, UMNO yang pernah berkuasa telah merosot dan rakan parti seperti MCA dan Gerakan juga tidak mampu berbuat apa-apa, jadi adalah mustahil untuk melibatkan diri di Sarawak.

 

Jaga keharmonian agama dan bangsa

Taib Mahmud berketurunan Melanau Islam. Beliau mendapat pendidikan di St Joseph’s Secondary School berlatar belakang Katolik. Oleh kerana pendidikannya, beliau sentiasa mengekalkan sikap terbuka terhadap agama, meletakkan asas yang baik kepada keharmonian kaum dan agama dalam Sarawak.

 

Pada tahun 2011, beliau menderma sebulan gajinya sebagai ketua menteri kepada sekolah St Joseph yang sedang dalam pembinaan pada masa itu. Sudah tentu bagi Taib Mahmud yang kaya raya, sebulan gaji hanya sikit sahaja. Tetapi disebaliknya, beliau menyatakan sokongan terhadap pendidikan merentasi sekatan agama dan bangsa. 


 

hikayat

 


Apatah lagi, sekolah St. Joseph bukan sahaja diasaskan oleh Gereja Katolik, tetapi dalam mematuhi dasar pendidikan kebangsaan, sekolah itu juga mementingkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar.

 

Apabila sekolah St Joseph dirasmikan pada tahun 2012, Taib Mahmud telah mengumumkan peruntukan RM3 juta sebagai dana pembangunan untuk sekolah itu. Beliau juga mula menyatakan sokongan terhadap pembangunan pendidikan pelbagai aliran.

 

Selepas itu, penggantinya Adenan Satem turut memulakan penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR). Peruntukan untuk pertubuhan agama selain Islam meningkat kepada RM110 juta tahun ini.

 

Karier politik merundum

Jika ada kekesalan dalam karier politik ‘Pek Mo’, adalah pada ketika beliau tidak menyerahkan baton pemerintahan secara sukarela kepada Adenan Satem pada 2014. Sebaliknya penyerahan dilakukan selepas pelbagai pandangan dan kritikan umum yang memaksa beliau untuk beralah.

 

Kemudian beliau mengambil alih jawatan Yang Dipertua Negeri Sarawak selama tiga penggal berturut-turut. Boleh dikatakan ia adalah sejenis ‘penghormatan’ yang diberikan kepada beliau oleh mereka yang berkuasa.

 

Pada Pilihan Raya Negeri 2011 (PRN), slogan DAP ‘rakyat makan rumput, jika Pek Mo tidak turun’, benar-benar memberi kesan kepada rakyat. DAP telah berjaya menawan 12 kawasan bandar pada pilihan raya itu, memberi tamparan yang hebat kepada BN Sarawak.

 

Beberapa tahun kebelakangnya ini, kesihatan Taib Mahmud semakin merosot. Beliau sudah tidak banyak bercakap dan langkahnya juga semakin perlahan.


 

hikayat

 


Bak kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman, ‘setiap orang pasti akan tua dan setiap permulaan mesti ada penghujungnya’.

 

Pelantikan Wan Junaidi bermakna berakhirnya empayar ‘Pek Mo’ yang sudah dikenali oleh rakyat Sarawak selama lebih 40 tahun.

 

Namun pertikaian undang-undang keluarganya sentiasa menjadi topik perbualan orang ramai. - DagangNews.com

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 27 Jan 2024, telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

 

 

 

parafrasa

 

Portfolio Tags