Skip to main content

Aonic dilantik sebagai pusat perkhidmatan rasmi DJI Enterprise di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Sept - Aonic (dahulunya dikenali sebagai Poladrone), merupakan rakan kongsi DJI Enterprise sejak 2017 yang kini bergelar Gold Partner, telah dilantik sebagai Pusat Perkhidmatan Rasmi DJI Enterprise pertama di Malaysia. 

 

Pelantikan ini meningkatkan keupayaan Aonic untuk menyediakan kepakaran dan perkhidmatan kepada pelanggan perusahaan yang memerlukan  sokongan teknikal dan penyelenggaraan dron.

 

Dengan penjenamaan serba baharu, Aonic mempunyai lima vertikal perniagaan, pertanian, perindustrian, perkhidmatan, peruncitan dan akademi yang bertujuan untuk menyediakan ekosistem holistik melangkaui keupayaan terasnya yang berpaksikan dron. 

 

Aonic juga merupakan Remote Pilot Training Organisation (RPTO) pertama yang dilantik Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di Malaysia, sekali gus memastikan sokongan latihan untuk memastikan dron dikendalikan dengan selamat dan tepat. 

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Aonic, Cheong Jin Xi berkata, syarikat bermula dengan berbekalkan semangat untuk membawa keupayaan transformatif teknologi dron kepada para usahawan dan ahli perniagaan berbakat. 

 

"Dengan perkembangan teknologi dron yang digunakan merentasi pelbagai spektrum aplikasi di Malaysia, matlamat kami kini adalah untuk membina satu ekosistem  yang kehadapan bagi memajukan ahli perniagaan tradisional. 

 

"Pelantikan sebagai Pusat Perkhidmatan Rasmi DJI Enterprise pertama di Malaysia merupakan bukti komitmen kami untuk menyediakan penyelesaian menyeluruh yang disesuaikan untuk keperluan perniagaan pelanggan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

dji
(Dari kiri) Cheong Jin Xi bergambar bersama Holly Huo, Ketua Bahagian Pembangunan Ekosistem Teknologi Drone Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), WM Farhan dan wakil MTDC, Muhammad Farid pada majlis pelancaran Aonic sebagai pusat perkhidmatan DJI Enterprise yang sah di Malaysia dan pelancaran produk DJI MAVIC 3 Enterprise.

 

 

dji

 

 

Pengurus Jualan Asia Tenggara DJI Enterprise, Holly Huo pula berkata, pihaknya memberi fokus untuk mengembangkan teknologi dron dengan menyediakan bukan sahaja penyelesaian yang lebih mudah alih dan cekap, tetapi juga perkhidmatan setempat. 

 

"Aonic telah membuktikan secara konsisten komitmen mereka untuk memastikan bahawa kami dapat bersama-sama mengukuhkan lagi reputasi DJI dalam menyediakan penyelesaian inovatif kepada perusahaan yang ingin meningkatkan keupayaan operasi harian mereka," katanya.

 

 

dji

 

 

Pusat servis Aonic tempatan akan menjamin servis penyelenggaraan dan pembaikan yang lebih pantas untuk para pelanggan dengan sokongan pasukan jurutera dalaman Aonic yang dilatih khas oleh DJI. 

 

Produk-produk yang dihantar untuk dibaiki di Aonic, sebagai Pusat Servis Rasmi pertama di Malaysia, akan terus diberikan jaminan DJI.

 

Selain itu, Aonic turut memperkenalkan DJI Mavic 3 Enterprise terbaharu dalam barisan produk DJI Enterprise. Dengan slogan ‘Your Everyday Commercial Drone” (Dron Komersial Harian Anda), model terbaharu ini disasarkan untuk menjadi dron permulaan yang paling berpatutan untuk kegunaan industri. - DagangNews.com