Buat kesekian kalinya saya katakan hibah tidak semestinya dibuat pindah milik! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 29 May 2024

BUAT KESEKIAN KALINYA SAYA KATAKAN HIBAH TIDAK SEMESTINYA DIBUAT PINDAH MILIK !

 

 

 

Letih betul nak cerita benda yang sama berulang-ulang kali selama beberapa tahun.

 

Beberapa hari lepas ketika saya masih bercuti di Maldives, saya ditanyakan soalan yang sama iaitu adakah benar pandangan sesetengah pihak bahawa jika kita buat dokumen hibah sahaja tanpa berlaku pindah milik maka hibah itu tidak sah?

 

Adakah benar jika ini kaedahnya maka ia menjadi wasiat kerana turun milik hanya berlaku selepas kematian ?

 

Kalau sesiapa membaca ratusan artikel penulisan saya di mana saya mencurahkan segala 26 tahun pengalaman saya di dalam industri perancangan harta secara Syariah ini, mereka akan dapat faham dengan baik hujah-hujah yang saya kemukakan iaitu PINDAH MILIK BUKANLAH RUKUN KEPADA HIBAH DAN IA TIDAK DIPERLUKAN BAGI MENJADIKAN SESUATU HIBAH ITU SAH!

 

wasiyyah

 

 

Jenis yang tidak faham ini ialah mereka yang sengaja tidak membaca, sengaja tidak mengkaji dan paling teruk sangat jumud dengan pandangan peribadi mereka tanpa mengambil kira pandangan intelektual yang lain.

 

Dalam bahasa mudahnya, mereka ini merasakan bahawa pendapat mereka sahaja yang betul dan pendapat orang lain semuanya salah!

 

Pada peringkat ini saya TIDAK APOLOGETIK DAN DIPLOMASI mengatakan sedemikian kerana saya rasa selepas bergelumang selama 26 tahun dalam industri ini dan dalam keadaan isu harta pusaka orang Islam semakin kronik dan merugikan, masih ada golongan sebegini yang wujud.

 

Mereka tidak membantu malah menjadi batu penghalang dengan meracuni fikiran masyarakat dengan pandangan yang sempit.  

 

Saya sebenarnya sangat malas nak berhujah dengan golongan yang berpegang kepada pandangan sempit ini kerana ia tidak memberikan sebarang hasil. Ia hanya membuang masa dan tenaga.

 

Saya sangat setuju dengan pandangan Imam Shafie bahawa setiap kali berdebat dengan orang pandai, dia akan menang tetapi apabila berdebat dengan orang bodoh, dia akan kalah!

 

Kalah bukan kerana Imam Shafie itu kurang kepandaiannya tetapi kerana orang bodoh itu memang sangat jumud dan sempit pemikirannya.

 

 

wasiyyah

 

 

Semenjak Wasiyyah Shoppe Berhad ditubuhkan pada 2004 sehingga hari ini , kami telah berbelanja lebih RM2 juta di dalam urusan penyelidikan ilmiah.

 

Apa sahaja yang ingin kami perkenalkan kepada masyarakat, kami akan pastikan ia disokong oleh data penyelidikan mantap dan bukannya berdasarkan pengalaman atau pengetahuan peribadi sahaja. Kami tahu pengalaman dan pengetahuan peribadi itu ada limitasinya dan ia berisiko salah terutamanya jika kita taksub terhadap pandangan sendiri.

 

Kami mempunyai 7 orang panel syariah berkepakaran tinggi di dalam bidangnya maasing-masing yang jika dihimpunkan pengalaman semuanya menjangkau sehingga 210 tahun, namun kami tetap tidak mahu mengambil risiko membangunkan apa-apa perkhidmatan atau proses hanya berdasarkan pengalaman mereka sahaja.

 

Kami memberi geran kepada pasukan penyelidik daripada universiti untuk menyelidik semua pandangan mazhab ahli sunnah wal jamaah dari kitab seantero dunia bagi sesuatu topik yang terkait dengan perkhidmatan ini.

 

Dapatan penyelidikan ini pula dicanai oleh Jawatankuasa Teknikal Syariah kami yang dianggotai 3 orang ahli sebelum dibawa ke Muzakarah Isu Kontemporari Pusaka yang disertai oleh hampir 30 orang pakar undang-undang Syariah dan Sivil berpengalaman dan berautoriti dari seluruh Malaysia.

 

Selepas input diperoleh, spesifikasi perkhidmatan kami ini dibawa ke Panel Syariah bagi memastikan segala elemen kepatuhan Syariah dipenuhi sepenuhnya.

 

Selepas keputusan Panel Syariah diperoleh, Jawatankuasa Pembangunan Produk kami akan bermesyuarat pula untuk memastikan sistem yang berkenaan dibangunkan untuk menyokong pengenalan perkhidmatan itu kepada masyarakat supaya aspek kepatuhan Syariahnya tidak tersasar.

 

Proses pembangunan sesuatu perkhidmatan kami melibatkan lebih 50 orang pakar berpengalaman dan memakan masa sehingga 18 bulan dan pastinya disokong oleh data ilmiah! Begitulah cermatnya kami dalam memastikan apa yang dibuat itu patuh Syariah sepenuhnya.

 

 

wasiyyah

 

 

Semenjak 2004, ratusan perintah pengesahan hibah telah Wasiyyah Shoppe perolehi daripada mahkamah syariah seluruh Malaysia dan di dalam kesemua kes itu PINDAH MILIK HARTA TIDAK BERLAKU SEMASA HIDUP!

 

Yang berlaku ialah Wasiyyah Shoppe memastikan semua rukun dan syarat hibah telah dipenuhi oleh kedua-dua pemberi dan penerima hibah.

 

Tiba-tiba ada pihak (bukan hakim mahkamah syariah) yang mendakwa hibah yang berlaku tanpa pindahmilik itu tidak sah mengikut Hukum Syarak.

 

Saya nak mengingatkan pihak berkenaan bahawa di Malaysia (kalau dia betul ada belajar), sama ada sesuatu hibah itu sah atau tidak adalah BIDANG KUASA EKSKLUSIF MAHKAMAH SYARIAH !

 

Tiada profesor, tiada ustaz atau mana-mana individu yang boleh memberikan kenyataan berautoriti bahawa sesuatu hibah itu tidak sah jika tidak berlaku pindah milik.

 

Kalau dia mengeluarkan kenyataan seperti itu, ia hanyalah pandangan yang berdasarkan pengetahuan dan pengalaman peribadi sahaja. Dari sudut inilah saya katakan bahawa pandangan peribadi itu berisiko salah!

 

Pihak berkenaan yang mengatakan bahawa hibah tanpa pindah milik itu tidak sah dan secara sinis mengatakan bahawa syarikat penyedia dokumen hibah hanya pandai berjanji bulan dan bintang tetapi kepatuhan syariah dokumennya diragui, secara tidak langsung telah merendahkan intelektual para hakim mahkamah syariah yang telah memutuskan HIBAH TANPA BERLAKU PINDAH MILIK ITU SAH!

 

 

wasiyyah

 

 

Buktinya? Wasiyyah Shoppe telah melalui proses ini berpuluh tahun lamanya dan tidak pernah langsung timbul isu hibah itu diputuskan TIDAK SAH KERANA TIADA PINDAH MILIK.

 

Adakah pihak ini berfikir bahawa mereka lebih pandai dan lebih patuh Syariah berbanding dengan para hakim mahkamah syariah yang bijaksana? Bacalah alasan-alasan penghakiman terbaru daripada mahkamah syariah dan anda akan faham apa yang saya maksudkan.

 

Artikel saya minggu ini bunyinya agak keras kerana saya mahukan semua pihak yang terlibat di dalam industri perancangan harta dan pengurusan pusaka orang Islam ini untuk berfikiran terbuka. Cukuplah kita bermain sentimen ‘aku lebih pandai daripada engkau’.

 

Semua pihak ada kepandaiannya masing-masing. Bukalah mata, telinga, fikiran dan hati untuk melihat aspek ini dari sudut yang lebih terbuka dan matang.

 

Terlalu ramai orang Islam di luar sana yang perlu kita bantu. Semakin kronik dan merugikan isu harta pusaka ini. Jika kita tidak mahu membantupun sekurang-kurangnya janganlah mensabotaj usaha yang telah dibuat dengan baik oleh pihak lain.

 

Ingatlah memusnahkan sesuatu itu amat mudah namun membinanya memakan masa berpuluh tahun. Adakah anda ingin menjadi pemusnah atau pembina ?

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews

 

 

 

 

 

    

Portfolio Tags