Malaysia berdepan tarif tambahan 10% AS susulan isu buruh paksa - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia berdepan tarif tambahan 10% AS susulan isu buruh paksa - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 Jun – Malaysia berkemungkinan berdepan tarif tambahan sebanyak 10% ke atas eksport ke Amerika Syarikat (AS) susulan cadangan baharu yang dikemukakan oleh Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) di bawah Seksyen 301, yang menyasarkan 60 ekonomi di seluruh dunia.

 

MBSB Research berkata, cadangan yang diumumkan pada 2 Jun 2026 itu dibuat selepas USTR mendapati negara-negara terbabit gagal melaksanakan atau menguatkuasakan secara berkesan larangan perdagangan terhadap produk yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.

 

Di bawah cadangan tersebut, ekonomi yang mempunyai rejim larangan sedia ada atau separa serta telah membuat komitmen rasmi berkaitan isu buruh paksa akan dikenakan tarif tambahan sebanyak 10%, manakala negara lain akan dikenakan tarif tambahan sebanyak 12.5%.

 

Malaysia disenaraikan dalam kumpulan tarif 10% bersama beberapa ekonomi lain termasuk United Kingdom, Taiwan, Indonesia dan Mexico berikutan komitmen yang telah dibuat terhadap larangan import melibatkan buruh paksa.

 

"Bagaimanapun, langkah itu masih belum dimuktamadkan dan tertakluk kepada proses semakan serta konsultasi awam yang sedang berlangsung," kata firma itu dalam nota kajian hari ini.

 

MBSB Research berkata, USTR menetapkan tempoh penghantaran maklum balas bertulis sehingga 6 Julai 2026 sebelum sesi pendengaran awam diadakan sehari kemudian pada 7 Julai 2026 bagi mendapatkan pandangan daripada pihak berkepentingan.

 

Firma penyelidikan itu berpandangan cadangan tersebut belum memberi kesan langsung kepada aliran perdagangan semasa memandangkan ia masih berada di peringkat konsultasi dan belum mendapat kelulusan akhir.

 

Namun begitu, skop cadangan yang melibatkan 60 ekonomi serta liputan produk yang luas dijangka memberi kesan kepada sentimen pelabur dan meningkatkan kebimbangan terhadap prospek perdagangan global.

 

"Ini terutamanya ketika pasaran masih berdepan ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah yang telah memberi tekanan kepada rantaian bekalan global, kos logistik dan harga tenaga," katanya.

 

Menyentuh perkembangan terbaharu konflik di Timur Tengah MBSB Research berkata, peningkatan semula ketegangan susulan serangan misil terbaharu Iran, selepas kedua-dua pihak sebelum ini memberi isyarat kemajuan dalam rundingan membuktikan proses ke arah keamanan masih rapuh dan terdedah kepada sebarang insiden yang boleh mencetuskan konflik baharu.

 

"Pasaran masih belum mempunyai laluan yang jelas ke arah normalisasi aliran perdagangan, perkapalan dan bekalan tenaga global, khususnya melibatkan Selat Hormuz yang menjadi laluan utama perdagangan minyak dunia," katanya.

 

Firma itu berkata, bagi membolehkan pasaran beralih kepada senario yang lebih positif atau "De-escalation Case", sekurang-kurangnya tiga perkembangan penting perlu berlaku iaitu pemeteraian rasmi perjanjian Iran-AS, pemulihan berterusan pergerakan kapal dagang melalui Selat Hormuz dan pelonggaran ketara terhadap cadangan tarif AS selepas proses konsultasi. - DagangNews.com