Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 8 March 2021

wasiyyahshoppe

AHLI PERNIAGAAN MAHU WARISKAN BISNES, MESTI BACA ARTIKEL INI !

 

MINGGU ini saya akan fokus perbincangan kita kepada pewarisan perniagaan atau ‘business succession’. Kenapa saya pilih tajuk ini? Kerana saya dapati umat Islam rugi bila seorang ahli perniagaan mati dalam keadaan tidak merancang pewarisan perniagaannya.

 

Bila sebut sahaja harta pusaka, ramai yang membayangkan harta pusaka ini terdiri dari rumah, tanah, akaun bank, kenderaan, barang kemas dan lain harta yang kita nampak dimiliki secara fizikal oleh simati. Tapi kita sering terlepas pandang bahawa saham syarikat yang dimiliki oleh simati juga merupakan harta pusaka apabila dia mati.

 

Kenapa pula saham ini harta yang penting untuk dirancang semasa hidupnya pemegang saham? Kerana pemegang taruh yang terlibat adalah sangat ramai. Bagi harta pusaka biasa seperti rumah, tanah, akaun bank, waris yang terlibat ialah waris mengikut hukum faraid sahaja. Oleh kerana saham terkait dengan syarikat, maka ada pelbagai pihak yang terlibat.

 

Kecelaruan dan masalah dalam pewarisan saham syarikat akan memberi kesan kepada pemegang saham lain dalam syarikat, lembaga pengarah, pengurusan, pekerja, pembekal, pengedar, pembiaya dan pelbagai pihak yang lain. Jika saham syarikat lewat diuruskan pewarisannya, maka ada kemungkinan besar operasi syarikat akan terjejas.

 

Malah ada kes-kes tertentu, syarikat terpaksa ditutup kerana isu pewarisan ini gagal diselesaikan. Bila syarikat ditutup maka semua pemegang taruh akan rugi. Waris tidak mendapat apa-apa manfaat langsung, pemegang saham dan pembekal akan rugi dan pekerja pula akan kehilangan pekerjaaan.  

 

Adalah satu kerugian yang amat besar kepada umat Islam apabila perniagaan yang dibina di atas keringat dan pengorbanan pemegang saham selama puluhan tahun terpaksa ditutup hanya kerana isu pewarisannya tidak selesai.  

 

 

wasiyyahshoppe

 

 

Bila pemegang saham mati, siapakah yang berhak ke atas saham syarikatnya itu? Pastinya yang berhak ke atas saham itu ialah semua waris mengikut hukum faraid. Seperti yang pernah saya ceritakan sebelum ini, mereka termasuklah pasangan, anak-anak dan dalam keadaan tertentu adik-beradik dan anak saudara pun ada kemungkinan berhak ke atasnya.

 

Bayangkan saham yang dimiliki si pemegang saham itu bakal dimiliki oleh waris-waris ini yang ada kemungkinannya tidak mempunyai hubungan yang baik sesama mereka. Adakah mereka boleh bermuafakat sebagai pemegang saham? Adakah mereka akan berbalah sesama sendiri?

 

Seorang sahabat minta bantuan saya untuk rancangkan pewarisan perniagaannya. Sahabat ini hanya mempunyai seorang anak perempuan sahaja. Ceritanya, ketika dia bercuti ke luar negara, adik lelaki tunggalnya yang dia gajikan untuk membantu kerja-kerja umum di syarikatnya, telah mengumpulkan semua pekerjanya di dalam satu mesyuarat di bilik abangnya.

 

Sambil duduk di kerusi ‘boss’, adik lelaki ini memberi arahan kepada semua pekerja. “Korang semua dengar ni. Bila Dato meninggal dunia nanti, saya ialah antara pewaris syarikat ini . Jadi kamu semua kena dengar arahan saya. Kita mesti bekerja keras blah blah blah.”

wasiyyahshoppe

 

 

Cerita ‘mesyuarat’ anjuran adik lelakinya  ini sampai ke telinga sahabat saya. “Aku bagi dia kerja tolong-tolong kat pejabat sebab kesiankan anak bini dia. Aku tak mahu dia menganggur saja. Rupanya di belakang aku, ada hati pula dia nak menguasai syarikat selepas aku mati. Belajarlah dahlah tak seberapa, pendidikan pun kurang.” Cerita sahabat ini kepada saya.

 

Dari segi hukum faraid ada betulnya cakap adik lelakinya ni. Dia memang mewarisi 6/16 dari keseluruhan harta pusaka abangnya manakala anak saudara perempuannya mewarisi 8/16 dan kakak iparnya hanya mewarisi 2/16. Modal berbayar syarikat ini ialah RM10 juta pada nilai par RM1 sesaham.

 

Tetapi berdasarkan kepada prestasi syarikat yang memberangsangkan, nilai sesahamnya kini ialah RM7.50 sesaham. Sekiranya sahabat saya ini meninggal dunia sekarang, RM10 juta sahamnya itu adalah milik waris-warisnya mengikut hukum faraid iaitu 3,750,000 saham hak adik lelakinya, anak perempuannya 5,000,000 saham dan isterinya 1,250,000.

 

Jika anak perempuan dan isterinya ingin ‘menebus’ bahagian adik lelaki tadi (dengan andaian kalau dia setuju bahagiannya ditebuslah), mereka perlu membayar nilai RM7.50 sesaham bagi setiap 3,750,000 hak saham adik lelaki tadi. Berapa jumlahnya yang mereka perlu bayar? RM28,125,000 !! Mampukah anak perempuan dan isteri tadi membayar jumlah ini?

 

Tapi dari kisah yang diceritakan oleh sahabat ini, saya tidak nampak petanda adik lelaki ini berminat untuk melepaskan hak bahagian faraidnya ke atas saham syarikat abang itu. Kemungkinan besar dia akan berpegang kepada bahagian itu dan bertegas ingin terlibat di dalam pengurusan syarikat secara aktif. Lagipun semasa abangnya bercuti, adik lelaki ini sudahpun merasa duduk di kerusi empuk ‘boss’ di bilik abangnya dan dia menyukainya!

 

 

wasiyyahshoppe

 

 

Kelam-kabut sahabat saya ini bertanya, apa yang mesti dilakukan. Memang dia sayangkan adik lelakinya tetapi dia lebih percayakan pasukan pengurusan profesional syarikatnya yang telah dilatih bertahun-tahun lamanya untuk menguruskan syarikat itu. “Kalau adik aku yang urus syarikat ini, mahu lingkup dibuatnya,” ujarnya.

 

Jawapan saya, rancanglah pewarisan perniagaan syarikat ini dengan menggunakan kaedah At-Tijarah yang diperkenalkan Wasiyyah Shoppe Berhad khusus untuk ahli perniagaan. Melalui kaedah ini dia boleh memastikan bahawa saham syarikat itu akan dimiliki oleh isteri dan anak perempuannya sahaja.

 

Adik lelaki itu tidak mempunyai apa-apa hak ke atas saham syarikat. Melalui At-Tijarah juga, dia boleh memastikan pengurusan profesionalnya dapat terus menguruskan syarikat tanpa gangguan, syarikat akan kekal untung dan isteri dan anak perempuannya akan terus menikmati faedah dari syarikat itu. Kalau dia mahukan adik lelakinya pun mendapat manfaat, boleh dirancang melalui kaedah At Tijarah.

 

Ramai ahli perniagaan yang saya temui juga membuat amal jariah melalui perniagaan mereka selain dari memberikan sumbangan kepada ahli keluarga mereka untuk tujuan kebajikan. Semua usaha ini dapat disambung selepas kematian pemegang saham sekiranya mereka merancang melalui At Tijarah.

 

Bukankah sangat bagus jika selepas pemegang saham mati, perniagaan itu dapat terus beroperasi dan memberi manfaat kepada semua orang yang bergantung kepadanya selama ini? Ahli perniagaan perlu merancang pewarisan perniagaan mereka!  

 

ariffinsabirin
ARIFFIN SABIRIN adalah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad.

       

ariffinsabirin

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

 

Portfolio Tags