KUALA LUMPUR 2 Okt – Pertelingkahan keluarga dalam Greenyield Bhd semakin memuncak apabila para pemegang saham yang berpihak kepada Tham Chong Sing, abang kepada Pengerusi Bukan Eksekutif Foo Keong, 69, membuat percubaan baharu untuk memanggil mesyuarat agung luar biasa (EGM).
Tujuan EGM kali ini bagi menyingkirkan Foo Keong dan tiga lagi pengarah bebas yang lain.
Kumpulan tersebut terdiri daripada Tham Chong Sing, Chew Kee Foo, Foong Sai Cheong dan DKIC Capital Sdn Bhd yang memiliki lebih 10% pegangan saham dalam Greenyield.
Mereka sedang berusaha untuk menyingkirkan Foo Keong bersama tiga pengarah bebas iaitu Saryani Che Ab Rahman, Supramaniam R Ramasamy dan Mohd Ghozali Yahaya.
Timbalan Pengerusi Bukan Eksekutif, Foo Choon, yang juga abang kepada Chong Sing dan Foo Keong serta anaknya Kin Shun yang berpihak kepada Chong Sing tidak terlibat dalam cadangan perubahan lembaga tersebut.
Chong Sing dan rakan-rakannya mencadangkan pelantikan ahli lembaga baharu iaitu Voon Sze Lin, Tham Kin Yiq, Tham Kin Wai dan Chong Sin Hao serta tiga pengarah bebas iaitu Syakur Mohd Suhaimi, Kamarudin Md Derom dan Lee Kim Hong.
Awal bulan ini, tiga beradik Tham iaitu Chong Sing, Foo Choon dan Fau Sin bersama tiga lagi pemegang saham yang memiliki 51.1% kepentingan dalam Greenyield cuba menyingkirkan anak saudara mereka, Tham Kin-On daripada jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).
Alasan penyingkiran itu ialah pemegang saham tidak lagi yakin terhadap keupayaannya untuk menerajui syarikat.
ARTIKEL BERKAITAN: Perang saudara Greenyield: 3 pakcik mahu singkirkan anak saudara dari jawatan CEO
Kin-On, anak kepada Foo Keong dilantik pada Februari 2025 namun meletakkan jawatan pada 19 September lalu.
Pada 22 September, Greenyield menolak permintaan EGM daripada Chong Sing, Foo Choon dan Fau Sin untuk melantik Kin Yiq, Kin Wai dan Chong sebagai pengarah dengan alasan resolusi yang dikemukakan tidak jelas.
Sehari selepas itu (23 Sept), Greenyield menamakan Lalith Shamshir Shamsul, 53 tahun, sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) sehingga diberitahu kelak.
ARTIKEL BERKAITAN: Greenyield lantik Lalith Shamshir sebagai pemangku CEO Kumpulan susulan peletakan jawatan Tham Kin-On
Greenyield yang diasaskan oleh keluarga Tham pada tahun 1937, membangunkan dan memasarkan produk serta sistem agro-teknologi.
Syarikat itu melaporkan kerugian bersih sebanyak RM1.4 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2025, walaupun mencatatkan sedikit peningkatan hasil kepada RM16.6 juta.
Foo Keong merupakan pemegang saham tunggal terbesar dengan 17.31% kepentingan manakala Chong Sing ialah pemegang saham kedua terbesar dengan 13.06%. Foo Choon pula memiliki 12.99%, manakala Fau Sin mempunyai 10.89%. - DagangNews.com








