KUALA LUMPUR 11 Ogos - Ketidaktentuan mengenai pengecualian tarif Amerika Syarikat (AS) diramal menjejaskan prospek pertumbuhan sektor semikonduktor Malaysia, kata Nomura.
Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan unjuran asas pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 2025, Malaysia dan Filipina menghadapi risiko penurunan paling besar, disebabkan pendedahan mereka terhadap tarif cip Seksyen 232 yang bakal dilaksanakan.
Unjuran pertumbuhan KDNK asas semasa oleh Nomura bagi Malaysia ialah 4.4% untuk 2025 dan 4% bagi tahun 2026.
Minggu lalu, Presiden AS,Donald Trump mengenakan tarif sebanyak 100% ke atas import semikonduktor, dengan pengecualian untuk syarikat yang telah komited atau sedang dalam proses membina kemudahan pengilangan di AS.
April lalu, pentadbiran Trump melancarkan siasatan Seksyen 232 terhadap semikonduktor, yang akan menilai sama ada import menjejaskan keselamatan AS dan membolehkan presiden mengenakan tarif sebagai tindak balas.
ARTIKEL BERKAITAN: Tarif 100% cip dan semikonduktor: Kerajaan laksana langkah mitigasi
Pentadbiran AS memberi isyarat untuk mempercepatkan semakan tersebut, dengan beberapa laporan mencadangkan keputusan mungkin diumumkan beberapa bulan lebih awal daripada tarikh akhir asal pada Disember — berkemungkinan seawal Ogos atau September.
Nomura berkata, jangka hayat kadar tarif efektif (ETR) yang rendah di Asia bergantung secara kritikal kepada masa pelaksanaan tarif AS ke atas sektor farmaseutikal dan semikonduktor.
Buat masa ini, menurut Nomura, memandangkan peratusan pengecualian yang lebih tinggi, ETR adalah jauh lebih rendah bagi Singapura dan Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN: Trump umum kenakan tarif 100% ke atas cip dan semikonduktor kecuali syarikat melabur di AS
“Analisis kami menunjukkan, pendedahan Taiwan dalam sektor elektronik adalah yang tertinggi di rantau Asia, dengan pendedahan akhirnya kepada AS mencecah 2.8% daripada KDNK.
“Malaysia berada di kedudukan kedua dengan 2.3% daripada KDNK, diikuti Singapura, Korea Selatan dan Thailand (masing-masing antara 1.3% hingga 1.4% daripada KDNK),” katanya.
Nomura berkata, walaupun peralihan pelaburan dalam sektor seperti cip dan farmaseutikal mengambil masa, syarikat-syarikat boleh berdepan tekanan margin serta-merta.
“Pengecualian daripada tarif sektoral bagi negara yang melabur di AS mungkin menawarkan kelegaan jangka pendek, namun ia menimbulkan dilema jangka panjang: pelaburan yang dipercepatkan di negara itu boleh menjejaskan model pertumbuhan sedia ada mereka,” katanya. - DagangNews.com








