Yinson berpotensi kaut 2 lagi kontrak dengan capex RM6.27 bilion - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Yinson berpotensi kaut 2 lagi kontrak dengan capex RM6.27 bilion - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Yinson Holdings Berhad mempunyai kapasiti untuk meraih dua lagi projek melibatkan perkhidmatan kapal penyimpanan, pengeluaran terapung dan pemunggahan (FPSO) yang berskala besar dan bersaiz sederhana. 

 

Ini berbeza dengan dua lagi pesaing industri seperti SBM dan Modec yang telah mempunyai kapasiti maksimum untuk mengambil projek baharu, menurut penganalisis di Maybank IB Research, Liaw Thong Jung.

 

Kata Thong Jung, dengan projek Marlim 2 yang sedang berjalan, firma itu melihat Yinson boleh mengambil dua lagi kontrak FSPO dengan jumlah perbelanjaan modal (capex) AS$1.5 bilion atau sekitar RM6.27 bilion tanpa memberi beban ke atas kunci kira-kiranya mahupun mendatangkan risiko sistemik. 

 

“Prospek (projek ini) adalah FSPO bersaiz sederhana Atlanta yang terletak di Brazil oleh Enauta dan FSPO berskala besar dengan perbelanjaan modal AS$1 bilion; bersaiz FSPO Marlim 2 di mana cukup untuk projek PDB Petrobras atau Angola Total.

 

“Keputusannya untuk menangguhkan sementara pembawa minyak mentah yang sangat besar (VLCC) di mana melibatkan kerja-kerja penukaran FPSO berskala besar akan mengukuhkan lagi penilaian kami berhubung perkara ini,” jelas Thong Jung dalam satu nota penyelidikan.

 

Yinson difahamkan dalam kedudukan baik untuk mengaut keuntungan daripada lonjakan semula potensi tender FSPO dalam tempoh 12 bulan akan datang. 

 

Disebabkan itu, ujar Thong Jung, firmanya membuat saranan beli saham Yinson dan menaikkan harga sasaran (TP) kumpulan sebanyak 61% kepada RM10.90 yang mengambil kira prospek tersebut dan impak terbitan hak sebanyak RM1 bilion.

 

Sebagai rekod, perniagaan FSPO kembali meningkat dengan permintaannya kini lebih kukuh berbanding paras sebelum pandemik COVID-19. 

 

Berbeza dengan tahun 2019, kebanyakan tender kini hanya mampu menarik pembida tunggal kerana tahap kesulitan dalam menjamin pembiayaan yang lebih tinggi selain kapasiti terhad bagi pengendali FSPO untuk mengambil kontrak baharu.

 

Ini sekali gus menawarkan peluang kepada pemain industri untuk memilih projek baharu.

 

Yinson menyaksikan lonjakan 26% dari segi keuntungan bersihnya pada suku kedua tahun kewangan 2022 (2QFY22) yang berakhir 31 Julai lalu kepada RM126 juta daripada RM100 juta yang dicatatkan pada tempoh sama, tahun sebelumnya. 

 

Lonjakan itu disumbangkan oleh aktivti penukaran kapal yang lebih tinggi dan perkhidmatan FSPO Abigail-Joseph, di mana telah memulakan pajakan pada Oktober 2020. - DagangNews.com