Widad dapat kontrak RM53 juta, bina sekolah baharu di Bukit Mahkota, Selangor | DagangNews Skip to main content

Widad dapat kontrak RM53 juta, bina sekolah baharu di Bukit Mahkota, Selangor

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Widad Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya,  Widad Builders Sdn. Bhd (WBSB) telah meraih kontrak bernilai RM53.2 juta daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi pembinaan sebuah sekolah baharu dan lain-lain kemudahan yang terletak di Bukit Mahkota, Bangi, Selangor. 

 

Tender pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mahkota dengan 42 bilik darjah itu telah diserahkan oleh JKR kepada WBSB pada 17 Ogos 2021, menurut makluman Widad di Bursa Malaysia.

 

“WBSB secara dasarnya terlibat dalam aktiviti pembinaan dan pengurusan kemudahan bersepadu. 

 

“Kontrak itu bernilai RM53.2 juta dengan tempoh kerja selama 132 minggu bermula 23 Ogos 2021 hingga 3 Mac 2024.

 

“Projek ini tidak akan mendatangkan sebarang impak ke atas modal saham diterbitkan dan pegangan saham oleh pemegang saham besar Widad. Namun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan dan aset bersih Widad serta anak syarikatnya sepanjang tempoh projek berkenaan,” jelas Widad. 

 

Tambah Widad, projek itu dijangka dibiayai menerusi dana dalaman dan/atau pinjaman luaran.

 

Sekitar tahun 2018, kerajaan yang memerintah ketika itu dilaporkan berhasrat untuk membina sebuah SMK di Bandar Bukit Mahkota, Bangi ekoran kepadatan pelajar di sekolah sedia ada.

 

Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan memberitahu, hanya ada sebuah SMK di kawasan berkenaan yang mempunyai bilangan pelajar seramai 3,000 orang.

 

Setakat 3.16 petang, harga saham Widad menokok 0.05 sen kepada 38 sen. - DagangNews.com