Menziarahi makam Nabi Musa di Magha'er Shuaib, Jordan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 4 May 2023

Menziarahi makam Nabi Musa di Shuaib, Jordan

 

 

KAMI bertiga, Zulkifli Noordin dan Abdul Hakim Husin turun di Amman, Jordan untuk memulakan kembara.

 

Saya cukup berkobar-kobar kerana pertama kali menjejak kaki di sebuah negara Arab yang dikuasai Kerajaan Hashemite Jordan dan terletak secara strategik di Timur Tengah.

 

Diikat oleh Syria di utara, Iraq di timur laut, Arab Saudi di timur dan selatan, Laut Merah di selatan, dan Israel dan Pihak Berkuasa Kebangsaan Palestin di barat, Jordan meliputi kepelbagaian landskap.

 

Penduduk Jordan melebihi 11 juta orang. Ammān ialah ibu negara Jordan. Bandar ini memiliki penduduk sekitar 2.5 juta orang mengikut anggaran tahun 2008.


 

amman
Bangunan pencakar langit di Al Abdali, Amman, Jordan

 


Bandar ini sudah disebut pada abad ke-12 sebelum Masehi. Ketika itu bandar ini disebut Rabbath Ammon dan dihuni oleh suku Ammon. Kemudian bandar ini ditaklukkan oleh orang Yunani dan diberi nama Philadelphia.

 

Setelah ditakluki bangsa Arab yang menyebarkan agama Islam, bandar ini disebut Amman. Sungguh menakjubkan, nama ini serupa dengan namanya yang dahulu. Bandar Amman moden didirikan pada tahun 1878.

 

Jordan adalah salah satu negara yang paling menakjubkan di Timur Tengah, terkenal dengan tapak arkeologi, seni Jordan yang menakjubkan, landskap yang indah dan masakan yang lazat. Jordan adalah rumah kepada beberapa bandar tertua dan keajaiban semula jadi di dunia, jadi terdapat banyak perkara menarik untuk dipelajari tentang Jordan.

 

Timur Tengah biasanya bukan wilayah yang murah untuk dilawati, dan Jordan tidak terkecuali dalam hal ini. Mata wang yang kukuh dan kekurangan kemudahan yang memenuhi keperluan pelancong bajet yang lebih rendah menjadikan Jordan destinasi percutian yang berpotensi mahal.

 

Jordan diklasifikasikan oleh Bank Dunia sebagai "negara berpendapatan sederhana atas".


 

parafrasa
Tapak kota peninggalan Rom di bandar Amman, Jordan

 


Menurut Indeks Kebebasan Ekonomi Yayasan Warisan, Jordan mempunyai ekonomi ketiga paling bebas di Timur Tengah dan Afrika Utara, di belakang hanya Bahrain dan Qatar, dan ke-32 paling bebas di dunia.

 

Jordan ialah destinasi yang luar biasa dengan bandar-bandarnya yang megah, runtuhan purba, muzium yang menarik, pantai yang menakjubkan, laut yang luas, masakan yang lazat, penduduk tempatan yang mesra dan kehidupan malam yang menggegarkan.

 

Kami menyusuri Amman seperti Jejak Rasul yang diterbitkan oleh kawan-kawan sekerja di TV3 dan melihat keindahan dan kepelbagaian dengan penuh minat. Kami dibawa berjalan dan diceritakan sejarah rasul-rasul oleh seorang Palestin yang bekerja di konsulat Malaysia.

 

Tidak ramai yang mengetahui tempat di mana Nabi Musa tinggal sebelum baginda menjadi Nabi Allah dan dihantar dalam misi menyampaikan kebenaran kepada Firaun. Rasanya tidak ramai yang mengunjungi tempat sejarah itu, walaupun kisah dan lokasinya disebut dalam al-Quran dengan baik sekali.

 

Saya diberitahu keutamaan tempat itu terletak pada nama "Shuaib," milik Nabi Shuaib yang berkawan dengan Nabi Musa dan menjadi ayah mertuanya. Gunung-ganang yang diukir menjadi saksi rawayat abadi yang berlaku di wilayah pemerintahan Al-Bida'a, salah satu tempat bersejarah terkaya berhampiran Laut Merah.

 

 

parafrasa

 Magha'er Shuaib

 

Magha'er Shuaib adalah sebuah tempat bersejarah tempat di mana Musa berpindah dan tinggal di situ selama satu dekad. Musa tinggal untuk memenuhi syarat mas kahwin untuk mengahwini salah seorang anak perempuan Nabi Shuaib. Sebelum baginda kembali ke Mesir untuk berdakwah ke atas Firaun dan pengikutnya supaya beriman kepada Allah.

 

Saya ralit mendengar kisah yang selama ini tidak diceritakan. Riwayat dalam Al-Quran diceritakan secara terperinci sejak Musa melarikan diri dari Mesir kerana selepas berlaku kejadian di mana baginda secara tidak sengaja menyebabkan seorang lelaki yang mati, setelah melihatnya bertengkar dengan seorang Israel. 

 

Firaun lantas memerintahkan Nabi Musa ditangkap.  Apabila mendengar kabar  Nabi Musa segera meninggalkan Mesir sehiggalah sampai di sebuah tempat bernama Madyan.

 

Kemudian Nabi Musa berjalan menuju Madyan di seberang Laut Merah. Sewaktu Musa tiba di sebuah telaga, baginda melihat dua orang gadis menunggu giliran untuk mengambil air bagi haiwan ternakan mereka.

 

Nabi Musa datang lantas menawarkan pertolongannya kepada kedua orang gadis itu dan kemudian pergi ke tempat teduh. Ketika gadis-gadis itu kembali kepada ayah mereka, Nabi Shuaib, puterinya memintanya memberi penghargaan kepada Musa atas bantuannya.

 

Nabi Shoaib mengukur Nabi Musa seorang pemuda yang bersikap sopan dan gagah berani lalu memintanya untuk tinggal bersamanya selama lapan tahun. Nabi Musa menawarkannya untuk menikahi puterinya.  Musa menerima dan memperpanjang masa tinggalnya hingga 10 tahun.


 

Magha'er Shuaib
Rujuk surah Al-Qasas ayat 23-28, yang ada menceritakan kisah Nabi Musa, Nabi Shuaib dan 2 orang anak perempuan Nabi Shuaib.

 


Magha'er Shuaib yang terletak di wilayah Bida'a, adalah bahagian dari barat laut Semenanjung Arab, sebuah lokasi yang menyimpan rahsia, dan prasasti yang tidak terhitung jumlahnya. Sebahagian besar masih belum digali untuk kajian.

 

Nabi Musa atau Moses, nabi dan rasul yang mempunyai tongkat sakti, diberi pelbagai jenis mukjizat yang nyata. Diantaranya diberi kelebihan untuk Kalamullah, mampu membelah Laut Merah dan berjaya mengalahkan kerajaan Firaun yang sesat dan melampau.

 

Penghijrahan Nabi Musa  bersama pengikut yang setia ke Palestin menjadi titik permulaan bangsa Israel mendiami tempat baharu. Bangsa Yahudi masuk ke tanah Palestin seperti yang diperintahkan oleh Allah.

 

Kisah Moses ini menjadi kunci utama dalam pemahaman kitab Taurat kaum Yahudi. Kisah bagaimana Moses menerima perjanjian di atas Gunung Sinai dan seterusnya menjadi inspirasi dalam Injil, perpindahan suci (Exodus) Moses bersama pengikut menerusi Laut Merah yang terbelah dua. Nabi Musa antara nabi yang dikurniakan dengan kitab Taurat. 

 

Walaupun sepanjang jalan terlihat gersang namun sebenarnya sekali-sekali terlihat adanya pepohonan hijau diatas bebatuan diantara bukit pasir campur tanah tersebut. Udaranya pun sejuk tidak terlalu panas. Sebuah pemandangan yang sungguh unik dan mengesankan. Sekitar 2 km setelah melewati tanda yang menunjukkan ketinggian laut, kami berbelok menuju makam Nabi Musa. Makam ini ternyata terletak di salah satu ruang masjid yang berdiri di atas bukit.

 

 

parafrasa

 

parafrasa

 


Jordan dilihat satu-satunya benteng warisan para Nabi atau anbia terakhir yang mesti dipelihara, dipulihara dan dipromosi kesan-kesan peninggalan anbia yang tidak ramai ketahui.

 

Jordan amat bertuah sebab masih memiliki banyak warisan Islam berharga sewaktu banyak khazanah Islam di negara-negara Islam yang lain satu persatu musnah. Kerana angkara perang sesama sendiri, pemusnahan secara sengaja atas alasan menghindari perkara khurafat umat dan banyak terbiar tanpa dipelihara lantas dibiarkan sahaja.

 

Jika makam para nabi dan rasul di Jordan lenyap mungkin dunia Islam akan kehilangan warisan dan tamadun paling berharga. Dengan bukti kehadiran nabi dan rasul utusan Allah menyampaikan risalah kebenaran kepada manusia.

 

Sepatutnya apa yang tinggal di Jordan seharusnya menjadi benteng terakhir warisan para nabi dan rasul yang perlu dipertahankan untuk umat Islam mengkaji sejarah dan tamadun.


 

parafrasa

 


Antara makam yang masih terdapat di Jordan ialah Makam Nabi Yushak, Nabi Yahya, Nabi Sulaiman, Nabi Ilyas, Nabi Luth, Nabi Khidir, Nabi Hud, Nabi Musa dan ramai lagi.

 

Makam yang dimaksudkan bukanlah kubur yang menempatkan jenazah tetapi lebih merupakan tempat persinggahan. Dengan tempat yang dipercayai ada kaitan dengan para nabi dan rasul semasa hayat mereka yang hidup untuk berdakwah.

(Bersambung)

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL WAINUIOMATA

 

Portfolio Tags