Berpuasa di Semenanjung Gaza dirai mesra penduduk Palestin Bahagian 2 | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 13 April 2023

Berpuasa di Semenanjung Gaza dirai mesra penduduk Palestin Bahagian 2

 

 

DI hari pertama di Semenanjung Gaza kami dibawa ke pejabat Hamas untuk berinteraksi dengan Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh. Kami disambut penuh kehormatan dan dibawa dengan mesra.

 

SAMBUNGAN MINGGU LEPAS: Berpuasa di Semenanjung Gaza dirai mesra penduduk Palestin

 

Kami sempat ditunjuk pejabat lama yang dibom oleh Israel dan melihat kemusnahan yang teruk dengan kawasan yang lantainya menjadi lubang dalam.

 

Saya merasa marah dan membenci Israel, menyumpah-nyumpah dengan kekejaman Israel. Sesungguhnya Israel tidak mempunyai perikemanusiaan.

 

Saya kemudian ke rumah Ismail Haniyeh di kawasan pelarian Gaza bersama Misi Ramadan ke Gaza 2010.  Rumah flatnya sempit tetapi kemas untuk kami masuk. Ada taman kecil di luar. Hanya dua bilik untuk dikongsi dengan keluarga.

 

Satu pengorbanan kerana pangkat dan kedudukan ditengah kemelesetan masyarakat tidak bererti apa-apa kerana kehidupan terbelenggu.

 

Perumahan setinggan di Gaza benar-benar meruntun hati dengan penghuni yang sendat dan ramai. Bangunan yang ada bertingkat untuk orang Palestin menghuni sungguh menyayat. Saya mengalirkan air mata, mahu membantu tetapi tidak berdaya dengan terancam setiap masa.

 

Saya ke rumahnya selepas bersolat tarawih di sebelah kanan Ismail di masjid utama Palestin. Terasa tenang kerana di sebelah Ismail walau tentera Israel mengepung seluruh Semenanjung Gaza. Untuk ke kawasan pelarian pun ada pengawal.

 

Kami dihidangkan dengan tamar dan air. Bercakap mengenai kekejaman Israel dengan semangat, tetapi realiti terus menekan dan mengawal kehidupan.

 

Inilah keluarga Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh, yang tetap berdoa sebelum menikmati makan bersama anak-anak. Dengan berpakaian santai.


 

parafrasa
Ismael Haniyeh bersama keluarga.

 


Duduk bersimpuh bersama kehangatan alas duduk dan rasa cinta di antara mereka. Nampak tembok rumahnya yang sudah kusam, dan makanan sederhana berserta minuman ala kadarnya.

 

Sebelum itu kami di hotel bergelap kerana ada kapal terbang Israel yang menjejak dan mengawasi. Gelap-gelita.

 

Saya yang duduk tingkat teratas dengan Zulkfli Noordin menyorok di bawah katil. Pertama kali diserang Israel dan saya menggeletar ketakutan. Hanya air mata tergenang kerana tentera Israel agak lama namun tiada serangan, hanya terbang untuk mengawasi.

 

Membayangkan ada bom meletup di bangunan hotel itu, mana saya mahu pergi? Mungkin nyawa saya masih panjang dan kami bangun untuk bersahur sehingga subuh untuk bersolat bersama.

 

Seorang Palestin membawa saya ke satu pusat untuk balu-balu Palestin yang hampir semuanya masih muda.

 

“Carilah mana yang berkenan,” katanya tersenyum. Saya terkejut kerana tidak pernah fikir untuk ke arah itu. Tidak pernah terfikir langsung.


 

parafrasa

 


Saya melihat balu-balu Palestin bekerja sama antara mereka untuk kehidupan dengan perbelanjaan yang terhad. Boleh dikatakan wanita Palestin kebanyakan adalah cantik-cantik.

 

Suami mereka telah gugur apabila menentang Israel dan ramai balu yang meneruskan kehidupan tanpa suami. Namun bekerjasama antara satu sama lain.

 

Saya bertanya kepada sahabat saya, adakah balu-balu ini sanggup ke Malaysia jika berkahwin rakyat Malaysia?

 

“Balu-balu ini hanya tinggal di Gaza untuk mempertahankan tanah tumpah mereka, sesiapa yang mahu mengambil sebagai isteri, mesti sanggup menetap di Gaza.”

 

Saya teruja dengan jawapan itu. Balu-balu tidak mahu meninggalkan Gaza kerana di sinilah tempat tanah tumpah darah.


 

parafrasa
Sukarelawan Malaysia bertemua dengan NGO Palestin.

 


Saya melihat balu-balu yang cukup dedikasi dan komitmen yang tinggi untuk membantu rakan-rakan senasib. Balu-balu duduk setempat dengan kekurangan namun tabah sekali.

 

Tergenang air mata memikirkan betapa tiada tarafnya saya yang melupakan sengsara Palestin apabila pulang ke Malaysia.

 

Saya di bawa ke sempadan Israel di utara Gaza dengan jarak 1 km dikosongkan. Dari situ saya dapat melihat pergerakan tentera laknat Israel yang melihat ke arah Gaza.

 

Bila-bila masa tentera Israel boleh menyerang, ikut suka hati.

 

Saya terpegun melihat suasana orang Palestin dengan kerja seharian tanpa mempedulikan tentera Israel. Orang Palestin tidak kisah kerana sudah menjadi kebiasaan sejak 1945.

 

Saya merasa sungguh teruja dengan semangat orang Palestin yang tinggi kerana kemiskinan dan kesukaran yang mereka hadapi.

 

Sesungguhnya saya tidak boleh bayangkan rakyat Malaysia dalam keadaan yang memencilkan dari seluruh pelosok dunia, terbiar tanpa bantuan dengan hidup sendiri menghadapi musuh.

 

Pada hari pertama di Gaza saya pergi ke Hospital Kanak-Kanak untuk melihat penderitaan dan kesengsaraan yang di alami dengan rejim ganas dan pengganas Israel.


 

parafrasa

 


Dalam hospital, saya menangis melihat keadaan kanak-kanak yang pelbagai trauma, psikologikal dan kesakitan. Saya menangis mengenang betapa bersyukur Allah melahirkan di bumi Malaysia sebagai Islam, walau tidak 100% Melayu dengan keturunan campur.

 

Saya tiba di sebuah bilik kanak-kanak koma dan masuk melihat seorang budak perempuan berusia lima tahun tidak sedarkan diri.

 

Saya terus menangis tersedu-sedu.

 

Tiba-tiba budak perempuan itu tersenyum dan saya terkejut kerana dia koma, lantas memanggil jururawat yang sama terkejut dan mula bising kerana seorang koma boleh tersenyum.

 

Saya menangis sepuas-puasnya kerana senyuman itu untuk saya dan dia kembali tidak sedarkan diri.

 

Apabila waktu hampir petang saya pergi ke pantai Gaza melihat ramai manusia bermain, berkumpul dan bergembira. Seolah-olah tiada ada apa-apa berlaku.

 

Perempuan lelaki, kanak-kanak dan orang tua semua berseronok. Memang terasa kegembiraan dan kecerian.

 

Saya berjalan di sepanjang pantai yang cantik dengan landai. Di daratan berdiri bangunan penuh sesak. Hampir 3 juta orang di kawasan hanya 3 km.


 

parafrasa

 


Saya bertemu dengan nelayan yang baru pulang dengan membawa tangkapan. Nelayan tidak dibenarkan Israel untuk berada sejauh 2 km dari pantai. Sesuatu yang sangat ditentang oleh nelayan Gaza.

 

Tetapi saya melihat kesabaran yang tinggi dikalangan nelayan Gaza untuk hidup dengan sekatan yang tidak menguntungkan.

 

Dibawa ke kebun yang agak luas dengan banyak tanaman. Sungguh produktif dengan hasil yang semakin baik dan menurut orang Palestin diimport ke luar seperti Turki, Lebanon dan Mesir.

 

Saya sempat berbuka di sebuah ladang kurma yang bersebelahan Israel. Mulanya kawasan kurma itu ditakluki oleh Israel kemudian orang Palestin berjaya mendapat balik. Dikawal ketat dengan tentera Israel mengelilingi.

 

Saya merasa kurma Palestin sungguh sedap dan makan banyak hari itu. Makan tradisional Arab yang disediakan oleh penganjur.


 

parafrasa

 


Sambil berborak dan bercerita tentang keamanan Malaysia, sebuah negara yang tidak habis dengan politik dan politikus saling bergaduh. Bayangkan politikus ini hidup di Gaza, apa yang boleh politikus lakukan?

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL WAINUIOMATA

Portfolio Tags