Unit Gamuda peroleh kontrak pembinaan MRT bernilai RM1.45 bilion di Singapura | DagangNews.com Skip to main content

Unit Gamuda peroleh kontrak pembinaan MRT bernilai RM1.45 bilion di Singapura

KUALA LUMPUR 22 Feb - Gamuda Bhd. meraih kontrak pembinaan terowong dan stesen Defu di Singapura bernilai SGD467 juta (RM1.45 bilion).

 

Kontrak itu diperoleh daripada Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura menerusi unitnya, Gamuda Berhad Singapore Branch (GBSG) bersama Wai Fong Construction Pte Ltd.

 

Projek tersebut akan dijalankan secara usaha sama yang menyaksikan GBSG memiliki 60% kepentingan manakala Wai Fong Construction memiliki 40% kepentingan.

 

Stesen Defu yang akan dibina sepanjang Tampines Road merupakan sebahagian daripada fasa pertama Cross Island Line (CRL) sepanjang 29 kilometer, yang terdiri daripada 12 stesen. 

 

CRL adalah jajaran transit aliran masa (MRT) kelapan di Singapura.

 

"Skop kontrak ini membabitkan kerja-kerja reka bentuk dan pembinaan satu stesen bawah tanah dan 2 terowong Defu.

 

"Projek ini dijangka bermula pada suku kedua 2022 dan dijangka siap menjelang 2030," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Wai Fong Construction merupakan entiti berdaftar ACRA yang telah beroperasi lebih 28 tahun di Singapura sejak ditubuhkan pada 1993 dan dimiliki secara langsung oleh SJK Investments Limited.

 

Ia terlibat terutamanya dalam kejuruteraan awam dan kontraktor bangunan am.

 

Gamuda menjangkakan projek terowong dan stesen Defu ini akan menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2022.

 

"Kami akan membuat pengumuman yang perlu sekiranya terdapat perkembangan material berkaitan projek ini,"
- DagangNews.com