Ulasan mengenai carta harta pusaka yang tular | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 20 June 2022
Wasiyyah

Ulasan rasmi Wasiyyah Shoppe terhadap carta alir yang tular

 

 

SEHARI dua ni kecoh isu satu carta alir pembahagian harta pusaka yang tular di media sosial. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang menyatakan rasa tidak puas hati di atas maklumat salah yang dipaparkan carta alir itu.

 

Asalnya saya hanya nak mendiamkan diri sahaja tapi bila ramai kawan yang minta saya komen, maka saya terpaksalah menulis artikel ini bagi memberi penjelasan walaupun yang mirip-mirip isu ini telah saya ulas semenjak 2004 lagi.

 

Sebenarnya banyak kali sudah saya perjelaskan isu yang sama namun ia kerap timbul apabila ada pihak yang mungkin kurang pendedahan tentang ilmu fiqh mawarith mengeluarkan carta alir seperti ini atau membuat kenyataan yang mungkin bercanggah dari kefahaman majoriti masyarakat.

 

Mari kita bincang dengan berlapang dada. Ilmu fiqh mawarith sangat luas dan tiada sesiapa pun boleh mendabik dada mengatakan dia telah tahu segala-galanya.  

 

Wasiyyah Shoppe Berhad memperkenalkan kaedah hibah pada tahun 2004.

 

Sama seperti wasiat, hibah ialah kaedah pembahagian harta secara ikhtiyarriah yang dibenarkan oleh Islam yang lengkap dengan nas dan pandangan ulama muktabar.

 

Semenjak itu kami dituduh dan dihentam sebagai membelakangkan hukum faraid dengan memperkenalkan hibah seolah-olahnya seperti hibah itu adalah ciptaan kami yang dibuat dengan semberono untuk tujuan untuk meraih keuntungan semata-mata.

 

Wasiyyah Shoppe Berhad sangat cermat di dalam pengenalan perkhidmatan. Kami memberi geran penyelidikan kepada universiti untuk mengkaji secara ilmiah dan profesional sesuatu topik yang ingin kami perkenalkan sebagai perkhidmatan.

 

Semenjak 2004 kami telah membelanjakan hampir RM2 juta ringgit dalam usaha pembangunan perkhidmatan yang meliputi aktiviti penyelidikan ilmiah, mesyuarat Panel Syariah dan Jawatankuasa Teknikal Syariah serta pelbagai seminar, bengkel dan forum.


 

Wasiyyah

 


Perkhidmatan yang ingin dibangunkan oleh Wasiyyah Shoppe Berhad dipastikan mesti selari dengan dapatan penyelidikan yang diperoleh.

 

Cadangan perkhidmatan ini kemudiannya akan  melalui tiga tapisan ketat iaitu pada peringkat muzarakah dengan ilmuwan fiqh mawarith dan pakar perundangan Islam, Jawatankuasa Teknikal Syariah dan Panel Syariah.

 

Selepas Panel Syariah berpuas hati bahawa perkhidmatan yang ingin diperkenalkan selari dengan dapatan penyelidikan, bertepatan dengan hukum syarak dan boleh dikuatkuasakan mengikut undang-undang Malaysia, barulah ia diluluskan dan diperkenalkan kepada masyarakat.


 

Wasiyyah
Carta alir pembahagian harta pusaka yang tular di media sosial.

 


Di dalam carta alir yang tular itu ditunjukkan selepas berlaku kematian, harta yang ditinggalkan simati akan ditolak dengan hutang terlebih dahulu. Ini memang betul kerana sebelum diagih kepada waris, harta pusaka  wajib ditolak dengan hutang terlebih dahulu.

 

Selain daripada hutang ini, obligasi perbelanjaan pengurusan jenazah dan perbelanjaan pengurusan harta pusaka turut perlu ditolak terlebih dahulu.

 

Baki harta pusaka selepas ditolak hutang dan obligasi di atas, kemudiannya akan ditolak dengan harta sepencarian. Di sini mungkin perlu pencipta carta alir tersebut perlu jelaskan bahawa tuntutan harta sepencarian bukanlah automatik berlaku dalam proses agihan harta pusaka.

 

Ia mungkin berlaku atau mungkin tidak berlaku. Ia perlu melalui proses tuntutan di Mahkamah Syariah. Selepas diluluskan mengikut kadar yang ditetapkan oleh Mahkamah Syariah, barulah kadar itu ditolak dari baki harta pusaka di atas.

 

Pencipta carta alir seterusnya mungkin ‘under simplify’, tersalah pandang atau mungkin juga tidak mendapat kefahaman yang jelas apabila cartanya mengatakan bahawa baki harta pusaka  selepas ditolak hutang dan harta sepencarian, kemudiannya perlu ditolak pula dengan hibah.

 

Hibah sebenarnya berkuatkuasa semasa hidup apabila semua rukun dan syaratnya telah sempurna.

 

Harta yang telah sah dihibah sepatutnya tidak dimasukkan sebagai harta pusaka kerana ia telah berlaku semasa hidup lagi.

 

Proses pengasingan ini pula boleh berlaku selepas perintah pengesahan hibah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah atau semua jika semua waris bersetuju dengan hibah itu dan tiada apa-apa bantahan terhadapnya.    

 

Di dalam carta alir ini , penciptanya juga terkeliru atau mungkin salah faham apabila dia mencatatkan selepas harta pusaka ditolak dengan hutang, harta sepencarian dan hibah, ia kemudiannya perlu ditolak pula dengan harta amanah.

 

 

Wasiyyah

 

 

Kedudukan harta amanah ini juga sama dengan hibah. Amanah itu berkuatkuasa semasa hidup pemilik harta apabila semua keperluan hukum syarak dan undang-undang sivil berkaitan statut amanah disempurnakan oleh pemilik harta. Harta amanah bukanlah sebahagian dari harta pusaka.

 

Pencipta carta alir kemudiannya mencatatkan pula wasiat 1/3 yang dibuat pemilik harta (sekiranya ada) akan ditolak dari baki harta pusaka selepas ditolak harta amanah di atas.

 

Secara teorinya memang wasiat 1/3 ditolak terlebih dahulu sebelum baki harta pusaka diagih kepada waris mengikut hukum faraid.

 

Namun pada saya apabila kedudukan hibah dan harta amanah (yang tidak sepatutnya berada di dalam carta alir kerana ia bukan harta pusaka)  itu sudah tidak tepat, maka keseluruhan proses itu  sudah terpesong.

 

Dalam isu carta alir yang tular ini, saya rasa pencipta carta alir itu dan kebanyakan masyarakat mungkin kurang jelas dengan perbezaan konsep harta dan harta pusaka. Saya perhatikan kekeliruan yang timbul berpunca dari kegagalan memahami konsep ini.  

 

Harta ialah milik si pemilik harta semasa hidupnya. Dia bebas untuk bertasarruf dan bertransaksi dengan hartanya mengikut kehendaknya kerana harta itu milik dia.

 

Dia nak hibah, nak wakaf, nak wasiat, nak jual, nak sewa, nak gadai, nak sedekahkan malah nak buat apa sahaja pun memang tiada masalah langsung kerana harta itu hak dia. Dia cuma perlu pastikan semua transaksi ini disempurnakan ketika hidupnya.

 

Adalah tidak logik langsung untuk kita mengatakan pemilik harta tidak boleh bertasarruf melalui transaksi yang saya sebutkan di atas tadi terhadap hartanya sendiri semasa hidup kerana ia tindakan melarikan diri dari hukum faraid.

 

Ia seolah-olah mengatakan kita tiada hak untuk mengeluarkan wang dari akaun kita sendiri kerana apabila kita mati, wang dalam akaun itu menjadi harta pusaka yang haknya jatuh kepada waris-waris mengikut hukum faraid.

Wasiyyah

 

 

Hak waris-waris mengikut hukum faraid itu HANYA TIMBUL apabila kita sudah mati kerana syarat untuk mempusakai itu ialah mestilah berlaku kematian.

 

Selagi pemilik harta itu masih hidup (belum mati) , waris mengikut hukum faraid tiada hak langsung ke atas harta itu. Jenuh saya cerita konsep asas ini kepada masyarakat semenjak 23 tahun yang lepas.     

 

Selepas berlaku kematian, barulah semua harta yang sah milik pemilik harta (harta yang masih berdaftar dan dimiliki secara sahnya oleh si pemilik harta) menjadi harta pusaka dan barulah timbul hak waris-waris mengikut hukum faraid ke atasnya.

 

Pada ketika ini, hukum faraid WAJIB dipatuhi.

 

Adalah haram untuk kita mengeluarkan harta pusaka itu bagi tujuan lain kecuali untuk pembayaran hutang atau obligasi seperti yang saya jelaskan di awal artikel ini.

 

Harta pusaka ini sudah menjadi milik waris mengikut hukum faraid dan apa pun yang dibuat ke atasnya mestilah dengan persetujuan waris tersebut.

 

Dalam apa keadaan sekalipun, hak waris-waris hukum faraid mesti dipelihara dan diserahkan kepada mereka mengikut jumlah yang sepatutnya. Harap penjelasan saya ini memadai untuk menjawab persoalan tular ini.

    

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Bhd
ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags