Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Anekdot Mawarith - 16 May 2022

WasiyyahShoppe

TIBA-TIBA RAYA DAN TIBA-TIBA MATI: APA BEZA?

 

 

ALHAMDULILLAH kita telah berjaya melepasi ujian di bulan Ramadhan dan direzekikan bertemu bulan Syawal tahun ini.

 

Hari raya Aidil Fitri tahun ini disambut sangat meriah walaupun dalam keadaan tiba-tiba. Riuh diperkatakan dalam media sosial tentang kelam kabutnya kita bila tiba-tiba diumumkan hari raya jatuh pada 2 Mei dan bukan 3 Mei seperti yang dijangkakan oleh kebanyakan orang.

 

Maka kelam kabutlah kita mencari ayam dan daging malam 1 Mei itu. Kedai runcit dan pasar raya terpaksa beroperasi sampai awal pagi.

 

Di rumah, semua orang kelam kabut memasang langsir, mengemas rumah dan memasak rendang, ketupat dan lemang.

 

Anak-anak yang di perantauan kelam kabut mengemas beg dan bergerak balik ke kampung. Habis semua jalan sesak teruk sebab semua orang buat secara ‘last minute’ !

 

Bila direnungkan semula, sebenarnya suasana ini amat menyeronokkan dan akan meninggalkan kenangan manis kepada kita. Dalam suasana kelam kabut itu ada ketawa dan humor.

 

Kita akan sentiasa mengenang Hari Raya Aidil Fitri 2022 sebagai ‘tiba-tiba raya’ termanis dalam hidup kita.

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

Tiba-tiba Mati

Namun begitu pengalaman manisnya ‘tiba-tiba raya’ tidak akan dirasai dalam keadaan ‘tiba-tiba mati’. Kita membaca dan dimaklumkan dengan kejadian kepulangan rakan-rakan dan kenalan kita ke Rahmatullah selepas menyambut ‘tiba-tiba raya’ ini. Saya pun melalui pengalaman itu.

 

Terperanjat bila dimaklumkan kematian seorang rakan yang lebih muda dari saya  kerana malam sebelum hari raya itu kami saling bertukar mesej memberi ucapan hari raya.

 

Di dalam facebooknya juga terpapar gambarnya segak bergaya berbaju melayu bergembira menyambut hari raya bersama keluarga. 

 

Berbeza dengan ‘tiba-tiba raya’ yang jarang berlaku, ‘tiba-tiba mati’ memang sangat kerap berlaku dalam masyarakat. Maklumlah tiada orang yang boleh secara tepat meramalkan bila dia akan mati.

 

Malah lebih ramai lagi orang yang sentiasa berfikiran dia akan mati pada umur yang tua.

 

Di awal penglibatan saya dalam industri perancangan harta ini saya kerap dimarahi masyarakat kerana bercerita tentang mati.

 

Memang tak boleh nak elak dari bercerita tentang mati kerana ia berkait rapat dengan perancangan harta.

 

Ada orang yang memarahi saya sambil berkata, “Aku belum nak mati lagi jadi tak payahlah nak cerita pasal harta pusaka!”

 

Pada ketika itu saya masih muda dan bertenaga. Maka saya akan bertanya semula, “Berapa haribulan nak mati? Pukul berapa? Sehari sebelum mati kita boleh jumpa untuk bercerita tentang harta pusaka. Tapi kenalah tahu secara tepat haribulannya sebab saya nak tetapkan dalam jadual saya sekarang !”

 

Masyarakat ketika itu berfikiran bahawa bila dah betul-betul nak mati barulah dia akan fikir tentang harta pusaka, wasiat, hibah, harta sepencarian, amanah dan lain-lain. Selagi belum nak mati  maka tak payahlah fikir tentang hal itu.

 

 

Wasiyyah

 

 

Malangnya kita semua tahu bahawa mati itu datang tanpa dijemput. Kita tidak tahu secara tepat bila akan mati. Jadi sebenarnya semua persediaan untuk mati perlu difikirkan dan diambil tindakan segera ketika kita masih diberi peluang bernyawa oleh Allah SWT.

 

Rasulullah SAW pun berpesan kepada kita bahawa orang yang paling bijak ialah orang yang sentiasa mengingati mati dan membuat persediaan untuk mati.

 

Jika kita ‘tiba-tiba mati’ sekarang, pengalaman waris-waris kita tidak akan jadi seindah pengalaman kita melalui ‘tiba-tiba raya’.

 

Pengalaman saya selama 23 tahun dalam industri ini menunjukkan perkara paling asas sekali yang menjadi keperluan di dalam pengurusan harta pusaka ialah pengumpulan dokumen yang lengkap.

 

Untuk menguruskan harta pusaka, kita memerlukan dokumen seperti perjanjian jual-beli hartanah, hak milik tanah, maklumat akaun bank, tabung haji, akaun pelaburan, polisi takaful, sijil nikah dengan pasangan dan kad pengenalan waris mengikut hukum faraid.

 

Jika simati ada memiliki saham dalam syarikat, segala maklumat berkaitan saham itu juga diperlukan. Selain maklumat harta, tidak ketinggalan, maklumat hutang juga diperlukan. Dengan siapa dan institusi mana simati berhutang.

 

Ada pula yang tanya saya, apa yang susahnya nak dapatkan dokumen dan maklumat-maklumat ini? Susahnya ialah jika tuan punya badan sendiri tak tahu di mana ia disimpan, jika berlaku ‘tiba-tiba mati’, maka waris yang ditinggalkan akan lebih ‘blur’.

 

Tanya diri anda sendiri, jika anda ‘tiba-tiba mati’, adakah pasangan dan anak-anak anda tahu mana nak cari semua dokumen dan maklumat di atas?

 

Jika jawapan anda ialah ‘TIDAK’ , maka harta pusaka anda akan menjadi beban yang sangat berat untuk diuruskan oleh waris-waris anda.

 

Pastikan anda ‘plan’ kematian anda dengan tepat tarikhnya dan tidak ‘tiba-tiba mati’ (ini nada sinis kepada masyarakat).

 

 

Wasiyyah

 

 

Jika anda telah mengumpulkan dokumen anda dengan baik dan waris-waris tahu pula di mana ingin mencarinya selepas anda ‘tiba-tiba mati’ , cabaran seterusnya kepada waris ialah siapa di kalangan mereka yang ingin mengambil inisiatif untuk memulakan prosiding tuntutan harta pusaka?

 

Adakah waris yang mengambi inisiatif ini akan menanggung semua kos secara bersendirian atau waris-waris lain turut bersetuju untuk sama-sama menampung kos itu?

 

Adakah waris yang mengambil inisiatif ini tahu secara tepat apakah langkah-langkah semua proses perundangan yang terlibat?  Ada masakah dia ingin membuat semua kerja ini?

 

Kalaulah dua  isu yang paling asas ini pun sudah bermasalah, agaknya bagaimanalah waris  nak bermuafakat tentang agihan harta pusaka yang mereka ‘tiba-tiba dapat’ mengikut ketetapan hukum faraid?   

 

Bolehkah waris-waris ini berkompromi dengan baik di antara satu sama lain ? Mereka tidak pernah pun terfikir untuk mempunyai hak ke atas rumah, tanah, wang tunai, kenderaan sport simati tetapi mereka ‘tiba-tiba dapat’.

 

Agaknya mereka akan sujud syukur dan berkompromi atau mereka  ‘fight’ habis-habisan untuk mendapatkan hak itu ?

 

Pengalaman ‘tiba-tiba mati’ tidak seindah pengalaman ‘tiba-tiba raya’. Oleh kerana urusan harta pusaka banyak melibatkan emosi selain daripada fakta, prosesnya akan menjadi sangat mencabar, memakan belanja yang banyak dan mampu meruntuhkan institusi kekeluargaan jika tidak cara pengendaliannya.

 

 

Wasiyyah

 

 

Bagaimana nak mengelakkan isu yang timbul akibat ‘tiba-tiba mati’ ini? Wasiyyah Shoppe boleh membantu.

 

Dari segi pengurusan harta pusaka, pasukan perundangan profesional kami boleh datang ke rumah untuk membantu waris melalui semua proses perundangan ini dengan mudah dan tepat.

 

Dari segi kos pula, kepada pelanggan yang melanggan perkhidmatan Al Wasitah kami, urusan tuntutan harta pusaka mereka adalah PERCUMA dan tiada fi profesional akan dikenakan oleh pihak kami kepada waris.

 

Jadi tidak perlu risau tentang kos. Waris hanya perlu membayar fi-fi yang dikenakan oleh pihak berkuasa sahaja.

 

Dari pembahagian harta pusaka pula, perkhidmatan hibah, wasiat, harta sepencarian dan amanah kami jika dilanggan pelanggan semasa hidupnya, akan memberikan formula pembahagian harta yang tepat dan berkuatkuasa mengikut undang-undang.

 

Memanglah tak banyak yang dapat kami bantu waris sekiranya pelanggan sendiri semasa hidupnya tidak mengumpul dokumen dan maklumat yang berkaitan tetapi sekurang-kurangnya waris tidak akan terkapai-kapai ‘blur’ kerana ada pihak profesional yang akan membimbing mereka melalui proses ini sehingga selesai.

 

Jika anda telah melanggan perkhidmatan Wasiyyah Shoppe Berhad, anda tidak perlu risau jika anda ‘tiba-tiba mati’.   

 

 

ariffinsabirin
Tuan Hji Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags