Tengku Zafrul nafi laporan letak jawatan Menteri Kewangan | DagangNews Skip to main content

Tengku Zafrul nafi laporan letak jawatan Menteri Kewangan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Mac - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menafikan laporan yang bertanya sama ada beliau sudah meletakkan jawatan selaku Menteri Kewangan.

 

Isu berkenaan timbul selepas Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd. Shahar Abdullah membuat pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2021 (2022) di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Ketika Mohd. Shahar membuat pembentangan, Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) meminta kepastian sama ada Tengku Zafrul sudah meletakkan jawatan atau belum.

 

Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ramli Mohd. Nor berkata, mengikut peraturan mesyuarat, Timbalan Menteri Kewangan boleh menjadi wakil dalam pembentangan RUU itu dan pihaknya masih belum menerima sebarang makluman berhubung perletakan jawatan Tengku Zafrul.

 

Tengku Zafrul menerusi satu hantaran di Facebook menjelaskan bahawa, beliau tidak hadir ke Dewan Rakyat kerana berlaku sedikit kecemanas peribadi yang terpaksa diuruskan pada sebelah pagi dan perkara itu sudah dimaklumkan lebih awal.

 

Beliau juga, berterima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad kerana membacakan jawapan bagi pihaknya kerana berdasarkan prosedur yang ditetapkan, hanya menteri sahaja yang boleh membacakan jawapan menerti lain dan ia bukan kali pertama berlaku.
 

 

zafrul

 

"Tiada niat untuk tidak menunaikan tanggungjawab saya menjawab soalan sebagai Menteri Kewangan. 

 

"Semua soalan tambahan akan saya sediakan jawapan secara bertulis dan saya meminta maaf kepada YB Padang Serai (M. Karupaiya) serta YB Tumpat (Datuk Che Abdullah Mat Nawi) dan YB Pokok Sena atas kesulitan yang telah berlaku," katanya.

 

Dalam pada itu, Tengku Zafrul juga meminta agar Utusan Malaysia berlaku adil dalam membuat laporan berita dan menggunakan kuasa yang ada untuk menceritakan perkara yang benar selain tidak menyebarkan khabar angin.

 

"Tahun lepas pun, Timbalan Menteri Kewangan juga yang bentangkan, atau mungkin Utusan Malaysia buat-buat tak tahu, tak ingat atau tak kisah? 

 

"Mereka boleh saja minta pengesahan dari pejabat atau pegawai saya. Saya mohon, kalau boleh, adillah sikit bila buat laporan media – gunakanlah kuasa pena anda untuk menceritakan hal yang betul, bukan menghebahkan khabar angin," katanya. - DagangNews.com