Skip to main content

Tenaga kerja kewangan berkemahiran pacu pemulihan ekonomi, stabilkan sistem kewangan negara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Jun - Tenaga kerja kewangan yang berkemahiran tinggi memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi negara selain mengekalkan kestabilan sistem kewangan.

 

Berdasarkan, Pelan Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia 2022-2026, pembinaan bakat yang sewajarnya adalah penting bagi memastikan kejayaan berterusan sektor itu.

 

Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) yang merupakan badan profesional tunggal bagi industri perbankan Malaysia, baru-baru ini mengiktiraf 177 Ahli Perbankan Bertauliah baharu yang berjaya melengkapkan kelayakan perbankan profesional yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.  

 

Pensijilan profesional perbankan global itu akan terus membantu dalam menyediakan generasi pegawai perbankan yang daya saing dalam kerjaya dan memberikan sumbangan kepada kedudukan negara sebagai antara hab kewangan serantau yang terkemuka. 

 

Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim berkata, mempunyai sumber Ahli Perbankan Bertauliah yang kompeten dan mampu melaksanakan tugas dengan standard profesionalisme dan etika terbaik adalah penting kepada pembangunan, kestabilan dan pertumbuhan sektor kewangan serta ekonomi.  

 

"Penekanan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam industri memerlukan Chartered Banker yang bukan sahaja memiliki kemahiran teras yang kukuh dalam pengurusan kredit, pemberian pinjaman dan risiko tetapi juga kefahaman yang mendalam terhadap tujuan etika dan sosial perbankan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

azman
Tan Sri Azman Hashim

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AICB, Edward Ling berkata, pegawai bank perlu meningkatkan kemahiran dan melatih diri bagi memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dan berkembang maju dalam landskap yang semakin pesat berubah.  

 

Katanya, sebagai badan profesional di Malaysia, AICB berusaha untuk menerapkan amalan pembelajaran sepanjang hayat yang cekap terhadap pengamal perbankan dan kewangan. 

 

"Usaha ini memberi mereka peluang untuk mengembangkan ilmu pengetahuan secara berterusan dan meningkatkan kemahiran mereka menerusi pelbagai inisiatif melalui hab pengetahuan dalam talian kami atau menerusi persidangan antarabangsa atau pelbagai sesi libat urus industri. 

 

aicb

 

"Setelah menjadi Ahli Perbankan Bertauliah, kami menggalakkan pegawai bank untuk memanfaatkan inisiatif-inisiatif ini bagi memajukan lagi pembangunan profesional dan perkembangan peribadi mereka," katanya. 

 

AICB merupakan institut tunggal yang disahkan oleh Chartered Banker Institute, United Kingdom (UK) untuk menganugerahkan status Ahli Perbankan Bertauliah di Asia Tenggara. 

 

Kini terdapat 630 Ahli Perbankan Bertauliah di Malaysia dan sumber pegawai bank kukuh yang kini berada pada pelbagai tahap kemajuan. - DagangNews.com