Tan Chong berdepan persaingan sengit dalam pasaran tempatan, HLIB kekal saranan 'jual' | DagangNews Skip to main content

Tan Chong berdepan persaingan sengit dalam pasaran tempatan, HLIB kekal saranan 'jual'

Kumpulan baru-baru ini melancarkan aksesori Tomei baharu untuk model Almera pada Ogos lalu untuk membolehkannya kekal relevan dalam pasaran.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 2 Sept - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'jual' terhadap Tan Chong Motor Holdings Bhd. (TCM) dengan harga sasaran tidak berubah pada 75 sen berikutan prestasi kewangannya pada separuh pertama yang mengecewakan. 

 

Ini disebabkan margin yang lebih rendah dan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi daripada jangkaan pada tempoh berkenaan.

 

Kerugian bersih TCM mengecil kepada RM13.28 juta dalam tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022 daripada RM14.48 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat 28.63% kepada RM1.58 bilion daripada RM1.23 bilion.

 

Namun, menurut firma itu, keputusan pada separuh pertama masih menyaksikan peningkatan tahun ke tahun berikutan jualan domestik yang lebih kukuh, manakala sumbangan daripada Indochina kekal mendatar setakat ini.

 

“Walaupun kami menjangkakan peningkatan pada 2022, kami masih agak bimbang dengan persekitaran pasaran domestik yang kompetitif secara berterusan dalam pelbagai segmen pasaran dan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Jumlah jualan TCM di Malaysia secara dasarnya meningkat 28.7% tahun ke tahun dipacu peningkatan pengeluaran dan penghantaran pada separuh pertama, tetapi hasil perkhidmatan kewangannya menurun secara mengejut sebanyak 5.2% tahun ke tahun. 

 

Kumpulan juga baru-baru ini telah melancarkan Serena-S Hybrid facelift pada awal Julai dan juga aksesori Tomei baharu untuk model Almera pada Ogos untuk membolehkannya kekal relevan dalam pasaran.

 

Ketika ini, inventori berada pada tahap rendah RM589 juta (bertahan sekitar 3 bulan) disebabkan kekurangan bekalan, manakala pesanan baharu masih agak menggalakkan selepas tamatnya pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

 

Bagi pasaran  di luar negara pula, Laos, Kemboja dan Myanmar menyaksikan pertumbuhan jumlah jualan setakat ini dan pertumbuhan hasil sebanyak 44.6%, berikutan pembukaan semula ekonomi di negara tersebut.

 

Bagaimanapun, keseluruhan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) teras diheret turun kerugian kadar tukaran asing yang tidak direalisasikan.

 

Susulan itu, menurut HLIB, kumpulan mengambil sikap berhati-hati di negara-negara ini berikutan sentimen pengguna yang merosot di Laos dan Kemboja serta ketidaktentuan politik di Myanmar.

 

Setakat 10.23 pagi, harga saham TCM kekal tidak berubah pada RM1.12 dengan 1,000 saham diniagakan. - DagangNews.com