Siapa pencetus penubuhan UiTM? | DagangNews Skip to main content

Siapa pencetus penubuhan UiTM?

Oleh DIYANA ISAMUDIN 

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) hari ini berdiri megah dengan melahirkan graduan yang menaikkan imej universiti dan menyumbang kembali kepada anak bangsa.

 

Penubuhannya juga berjaya menaikkan kedudukan orang Melayu setelah dipinggirkan di tanah air sendiri. Universiti ini juga kekal sebagai satu-satunya universiti awam untuk orang Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.

 

UiTM lebih sinonim dengan nama Institut Teknologi MARA (ITM). Penubuhan UiTM sebenarnya bermula 64 tahun yang lalu dengan entiti pertamanya, Dewan Latihan RIDA di Jalan Othman, Petaling Jaya. Kini universiti ini mempunyai 35 cawangan di seluruh negara dan menghasilkan lebih 800,000 graduan.

 

Jika dahulu kawasan sekitar kampus Shah Alam adalah ladang kelapa sawit dan hutan. Kini, pesat membangun dengan pelbagai kemudahan. Pelajar pula ramai di antara mereka memandu kereta atau menunggang motosikal. Khidmat e-hailing juga mudah didapati. Mereka juga mempunyai telefon pintar dan komputer riba. Pinjaman pendidikan seperti PTPTN juga ada dan cukup untuk menampung perbelanjaan sepanjang semester.

 

Idea UiTM sebelum Merdeka

Siapa sangka idea yang dibentang pada 1951 mampu bertahan dan berkembang menjadi universiti?

 

Allahyarham Datuk Onn Jaafar dan Tun Abdul Razak Hussein pada masa itu mengimpikan bangsa Melayu luar bandar mampu dan berkeinginan untuk meningkatkan sosioekonomi mereka.

 

Sebelum merdeka, Tanah Melayu dijajah oleh Britiish yang membawa imigran untuk kepentingan ekonomi mereka. Orang Melayu pula dinafikan dari perniagaan, perdagangan, keusahawanan dan pendidikan.

 

Kebanjiran imigran ketika itu mengancam kedudukan orang Melayu sebagai pribumi. Dasar pecah dan perintah British meletakkan Melayu di kampung, Cina di kawasan lombong dan pinggir bandar, dan India di ladang.

 

Bukan sahaja ditolak dari ekonomi moden, hak pemilikan tanah juga menjadi permasalahan bagi orang Melayu. 

 

Konflik Melayu-Cina pada masa itu meruncing akibat dominasi Cina dalam ekonomi. Tambahan pula perbezaan budaya serta aktiviti tidak bermoral yang dibawa orang Cina menyebabkan kemarahan orang Melayu untuk mempertahankan warisan Melayu dan akidah orang Islam.

 

Disebabkan mereka dinafikan pendidikan, sikap orang Melayu yang boros kerana cetek ilmu pengurusan kewangan menyebabkan mereka berhutang dengan Cina dan India. 

 

Kelahiran RIDA

Melihat keadaan anak bangsa, Datuk Onn dan Tun Abdul Razak bertindak merangka perancangan untuk pembinaan anak bangsa.

 

Paper No. 10 of 1951 dibentangkan Datuk Onn pada Majlis Mesyuarat Udang Persekutuan Tanah Melayu (MMUPTM) pada 1950 untuk menubuhkan RIDA (Rural & Industrial Development Authority) atau Lembaga Kemajuan Kampung & Perusahaan (LPKP). 

 

Badan kerajaan ini berperanan untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat Melayu di luar bandar dan satu daripadanya ialah menubuhkan sebuah institusi pendidikan khusus untuk orang Melayu. Bermula sebagai Dewan Latihan RIDA mula beroperasi pada November 1956 dengan kemasukan 25 pelajar pertama.

 

Pada konvokesyen pertama Dewan Latehan RIDA, Abdul Razak telah menyuarakan peringatan kepada 50 graduan agar setiap graduan memanfaatkan peluang dan latihan dengan keinginan bekerja, bersaing dan berjaya dalam perniagaan dan perdagangan bukan sahaja di Malaysia, malahan di serata dunia.

 

uitm


 

RIDA menjadi MARA menjadi ITM

Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama pada Jun 1965 memperhalusi peranan dan objektif RIDA. Majlis Amanah Rakyat (MARA) ditubuhkan susulan kongres itu dan Dewan Latihan RIDA bertukar nama kepada Maktab MARA.

 

Penubuhan MARA dengan struktur yang baru telah mengubah institusi ini dengan rombakan dan penambahbaikan dalam program-program yang ditawarkan.

 

Institusi ini diangkat ke taraf institut pada 14 Oktober 1967. Abdul Razak merasmikan penamaan Institut Teknologi MARA (ITM) ketika meletakkan batu asas pembinaan kampus ITM iaitu kampus UiTM Shah Alam pada hari ini.

 

Dalam majlis itu, Abdul Razak telah berkata:

“Tiap-tiap penuntut MARA yang berdiri di hadapan khalayak ramai petang ini, mestilah menyifatkan istiadat meletak batu asas Institut Teknologi MARA sebagai satu ketika, riwayat hidup mereka itu, bagi meletakkan batu asas pendirian mereka itu sendiri, yang teguh lagi bermakna, bersendikan semangat yang cergas lagi dinamis, menyambut dan menjunjung hasrat, amanah rakyat bumiputera pada mereka, supaya mencari ilmu pelajaran, latihan dan kemahiran yang betul-betul akan menukarkan cara dan corak mereka itu berfikir, dan hidup dengan lebih mewah, mulia, kaya dan segar yang benar-benar akan memberi makna pada bangsa dan nusa mereka kelak.

 

Alumni cemerlang

Bermula saat itu, pelbagai kejayaan dicapai ITM. Ramai graduan ITM boleh dijadikan contoh kepada generasi hari ini.

 

Antara mereka yang dikenali adalah pengerusi AirAsia Group Sdn Bhd. Datuk Kamarudin Meranun; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sri Nancy Shukri; bekas Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum dan pereka fesyen Datuk Rizalman Ibrahim serta ramai lagi.

 

Langkah seterusnya adalah mengangkat taraf institut tersebut menjadi universiti. Menyedari nilai kelulusan mereka, para pelajar bangkit menuntut taraf universiti agar gaji setaraf dengan lulusan ijazah. Ketika itu, graduan ITM berkelulusan diploma dan gaji setaraf STPM. 

 

Naik taraf universiti

22 April 1974 adalah tarikh keramat kepada 6000 pelajar ITM dalam tuntutan tersebut. Memorandum yang dihantar kepada kerajaan tidak diendahkan menyebabkan mereka bersatu hati menjalankan demonstrasi.


 

uitm

 

 

Dan 25 tahun selepas demonstrasi tersebut, ITM dijadikan universiti. Pada 26 Ogos 1999, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan ITM dinaik taraf kepada universiti. Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173) digubal sempena penubuhan UiTM.

 

Sudah 64 tahun berlalu semenjak penubuhan Dewan Latihan RIDA sehingga menjadi UiTM. Banyak kejayaan yang dikecapi oleh universiti ini dan para pelajar. Di sini juga lahirnya graduan-graduan berwibawa yang berjasa kembali kepada anak bangsa. Sejarah penubuhannya adalah bukti universiti ini aset penting dalam pembinaan anak bangsa.

 

Universiti itu mengikut statistik sehingga Jun 2020, memiliki kampus induk di Shah Alam dan 34 kampus di seluruh negara, seramai 17,346 warga kerja terdiri daripada akademik dan bukan akademik, 180,558 pelajar yang mengikut lebih 500 program dari asasi sehingga sarjana. - DagangNews.com

 

ARTIKEL BERKAITAN: Cabaran semasa UiTM

 

TERKINI: Dr Roziah Mohd Janor dilantik sebagai Naib Canselor UiTM baharu

 

 

Sumber rujukan:

  1. Sejarah Pembangunan. Laman web rasmi UiTM.  https://www.uitm.edu.my/index.php/ms/kenali-uitm/others/sejarah-pembangunan?showall=1
  2. Penubuhan Dewan Latehan RIDA.  https://news.uitm.edu.my/wp-content/uploads/2018/03/Dewan-Latehan-RIDA.pdf
  3. Speech by The Deputy Prime Minister in The Graduation Ceremony of The Dewan Latihan R.I.D.A., Kuala Lumpur on 19th December, 1964.  http://lib.perdana.org.my/PLF/Speech_ab/TR51264.pdf
  4. "UiTM bukan sebarang universiti" - Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (Astro Awani, 8 November 2016.  http://www.astroawani.com/berita-malaysia/uitm-bukan-sebarang-universiti-sultan-nazrin-muizzuddin-shah-121895
  5. Zarina Begam Abdul Kadir dan Ahmad Kamal Ariffin Mohd Rus.  Peranan Majlis Amanah Rakyat Dalam Penubuhan Dan Perkembangan Institut Teknologi  Mara, 1966-1976. SEJARAH: Journal of the Department of History, [S.l.], v. 21, n. 1, nov. 2017. ISSN 1985-0611.  https://ejournal.um.edu.my/index.php/SEJARAH/article/view/9255/6559