Sesuatu yang hilang dalam Bajet 2022 - Oriental Daily | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 6 November 2021

SESUATU YANG HILANG DALAM BAJET 2022

Oriental Daily 2 November 2021

 

 

 

SEBELUM bajet diumumkan, PM memberitahu media bahawa tiada golongan yang akan tercicir dalam Bajet 2022. Kenyataan PM ini memberi gambaran “wow” kepada yang mendengarnya.

 

Tetapi jika anda memahami teori dasar awam, pasti menyedari bahawa tiada dasar yang boleh menjaga semua rakyat. Paling tidak dasar itu hanya boleh menjaga sebahagian rakyat sahaja.

 

Bajet 2022 dianggap sangat penting kerana selepas impak pandemik COVID-19, negara dan rakyat berdepan dengan krisis ekonomi.

 

Terutamanya kesinambungan hidup perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kerajaan berdepan dengan sekatan tertentu dalam kutipan cukai dan bagaimana untuk membawa ekonomi negara keluar daripada kesuraman.

 

Sehubungan itu, kerajaan tidak semestinya menggunakan kaedah agih duit untuk menggalakkan pemulihan. Tetapi  memberi cadangan penyelesaian bagi industri yang terjejas terutamanya dalam isu pekerjaan.

 

Oleh itu, mewujudkan lebih banyak industri yang pelbagai adalah lebih baik agar golongan penganggur dan usahawan boleh mendapat manfaat bersama.

 

Bajet 2022 tidak semeriah bajet pilihan raya yang lepas, dan juga tidak menjadi topik perbincangan hangat di media sosial. Keadaan ini memperlihatkan Bajet 2022 semakin menjauhi rakyat.

 

Tetapi ini tidak bermakna bajet tersebut langsung tiada kaitan dengan rakyat kerana ia digubal sebagai dasar negara untuk sepanjang tahun depan.

 

Sudah tentu yang paling penting adalah dari mana kerajaan memperolehi pendapatan dan perbelanjaan yang menjadi keutamaan.


 

cina
Oriental Daily kata `Bajet 2022 semakin menjauhi rakyat'. Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz semasa membentangkan Bajet 2022 di Parlimen pada 29 Oktober 2021.

 

Kerajaan perlu mengemukakan rancangan yang praktikal untuk membantu PMKS terus bertahan, bukan sekadar bantuan kewangan tetapi yang paling penting adalah dari segi dasar.

 

Sebagai contoh, jika PMKS mengambil graduan atau anak muda bekerja dalam peratusan tertentu, maka mereka boleh menikmati pinjaman tanpa faedah, potongan cukai khas dan sebagainya.

 

Dalam usaha untuk memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial, kerajaan harus mempunyai data golongan yang berpendapatan rendah dan tiada pekerjaan tetap agar bantuan dapat disediakan segera.

 

Menyentuh mengenai isu perubatan pula, selain meningkatkan kebajikan kakitangan perubatan dan potongan cukai, kerajaan perlu mengukuhkan pembinaan perisian.

 

Perubatan kesihatan bukan sekadar penjagaan fizikal tetapi juga kesihatan mental. Sebagai contoh, mengikut statistik Kementerian Kesihatan pada tahun 2019, mendapati hampir 500,000 individu yang berumur 16 tahun ke atas mengalami kemurungan.

 

Justeru, dasar perubatan bukan sahaja perlu menitikberat kebajikan kakitangan perubatan dan menyediakan keperluan peralatan pencegahan wabak. Kerajaan juga harus memperkukuhkan perkhidmatan psikologi dan kaunseling  dengan kerjasama pihak swasta.

 

Satu daripada sorotan Bajet 2022 adalah bantuan kit kebersihan termasuklah bantuan tuala wanita kepada remaja wanita dari keluarga B40, peruntukan khas untuk memperkasakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak sebagainya. Begitu juga, peningkatan kesedaran orang ramai terhadap kesaksamaan gender juga sama penting.

 

Dalam hal ini, kerajaan boleh meneruskan dua aspek. Pertama, merangka semula kurikulum dengan menerapkan kesedaran berkaitan kesaksamaan gender bermula daripada sekolah rendah.

 

Kedua, bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam menyediakan penjualan tuala wanita di sekolah menengah agar pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dapat membeli dengan harga yang lebih murah daripada harga di pasaran.

cina

Sudah tentu, perkara yang paling penting adalah meluluskan rang undang-undang berkaitan gangguan seksual di parlimen.

 

Satu daripada risiko yang harus dipertimbangkan semasa membincangkan belanjawan tahunan ialah bagaimana untuk menangani lebih banyak defisit, sekiranya kerajaan tidak dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan untuk hasil cukai tahun depan.

 

Selain meningkatkan had hutang negara, adakah rancangan kerajaan memperluaskan cukai akan menyebabkan pemindahan industri dan mengurangkan pelaburan? Akhirnya rancangan memperluaskan cukai tidak dapat mencapai sasaran menyeluruh.

 

Kesimpulannya, meskipun Bajet 2022 tidak memperuntukkan wang yang banyak dalam pembinaan infrastruktur, ia juga tidak memaparkan perancangan yang jelas untuk pemulihan.

 

Seterusnya adalah untuk melihat sama ada parti pemerintah dan pembangkang menerusi pandangan politik yang berbeza, dapat membuat pengagihan semula belanjawan terhad ini.

 

Sekurang-kurangnya industri dan rakyat yang terjejas akibat pandemik, boleh menerima agihan bantuan yang sama untuk mengharungi tahun 2022.

 

 

 

Rencana ini disiarkan di dalam akhbar Oriental Daily, 2 November 2021 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

 

 

Portfolio Tags