Saranan Islam ketika suasana pilihan raya | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 12 November 2021

Saranan Islam Ketika Suasana Pilihan Raya

 

 

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah memutuskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran. Pada tanggal 8 November 2021 adalah tarikh bagi hari penamaan calon, manakala 16 November 2021 adalah hari mengundi awal dan hari pengundian ditetapkan pada 20 November 2021.

 

Sejumlah 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan pada PRN Melaka untuk membentuk kerajaan yang memerlukan mana-mana gabungan parti menang sekurang-kurangnya 15 daripada 28 kerusi yang dipertaruhkan.

 

Pilihan raya adalah salah satu konsep dalam sistem demokrasi yang dijalankan di Malaysia. Melalui pilihan raya, rakyat memilih calon wakil untuk dilantik sebagai pemimpin sama ada di peringkat negeri atau parlimen. Pemilihan tersebut dilakukan dengan cara mengundi salah seorang daripada calon-calon yang layak bertanding.

 

Pilihan raya juga memberikan hak kebebasan kepada mana-mana individu untuk bertanding sebagai calon dan rakyat bebas memilih sesiapa sahaja yang layak daripada calon-calon yang bertanding untuk menjalankan amanah dengan baik dan komited.

 

Al-Quran dan Hadis tidak menyebut dengan khusus tentang pilihan raya. Namun, terdapat beberapa ayat al-Quran secara tidak langsung menunjukkan keperluan untuk mempunyai satu mekanisme yang berkesan untuk mempunyai wakil-wakil politik.

 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-Amri’ (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya” (Surah al-Nisa’: 59).

 

Islam memberi penekanan kepada aspek etika dan moral dalam proses politik. Penglibatan masyarakat Islam dalam politik bukan hanya memenuhi kepentingan peribadi, tetapi untuk mendapatkan keredaan Allah SWT.

 


 

irsyad
Penyokong Perikatan Nasional semasa pengumuman manifesto pilihan raya negeri Melaka.

 

 

Justeru, masyarakat Islam yang terlibat dalam proses pilihan raya adalah terikat untuk mengikut prinsip etika dan kerohanian Islam. Dalam hal ini, terdapat beberapa saranan dan langkah yang digariskan oleh Islam bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan hubungan dalam kalangan masyarakat.

 

Pertama, saling menghormati dan menghargai pendirian masing-masing. Mengutamakan dan memelihara ukhwah atau persaudaraan dalam kalangan masyarakat. Perpaduan perlu diusahakan supaya wujud suasana aman dan harmoni.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara, maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat” (Surah al-Hujurat: 10).

 

Selain itu Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Apabila kamu diberi penghormatan dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik dari padanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa), sesungguhnya Allah memperhitungkan segala sesuatu” (Surah al-Nisa’: 86).

 

Kedua, bijak dan matang dalam mengurus perbezaan. Bersikap terbuka dan berlapang dada dalam menerima perbezaan yang berlaku tanpa menimbulkan ketidakpuasan hati yang berpanjangan dan berlarutan.

 

Perbezaan pendapat merupakan satu lumrah dalam kehidupan kerana Allah SWT menciptakan manusia dengan akal fikiran yang berbeza antara satu sama lain. Justeru itu, lahirlah pelbagai perbezaan dalam kalangan ahli ilmu dan juga masyarakat.

 

Dalam menyelesaikan isu perbezaan, sikap ‘tasamuh’ (berlapang dada) adalah formula yang telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud: “Maka maafkanlah mereka dan lapangkanlah dada kerana sesungguhnya Allah mencintai orang yang melakukan kebaikan” (Surah al-Maidah:13)

 

 

irsyad
Tiga kumpulan berlainan bertanding di pilihan raya negeri Melaka. Mungkinkah ini gambaran sama pilihan raya umum kelak?

 

 

Ketiga, bersikap objektif dan fokus dalam memperjuangkan agenda kebajikan rakyat berbanding melakukan kritikan dan komentar terhadap pihak lawan.

 

Pihak calon parti yang bertanding perlu lebih fokus dan serius terhadap manifesto yang ditawarkan supaya lebih realistik dan menawan hati masyarakat yang inginkan keadilan dan kebajikan terpelihara dan terbela dalam kehidupan. Janji yang telah diberikan perlu ditunaikan dan diusahakan untuk dilaksanakan selepas mencapai kemenangan.

 

Allah SWT memuliakan orang yang memiliki sifat menepati janji dengan memberikan ganjaran pahala. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai Bani Israel! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang Aku berikan kepada kamu dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) dengan-Ku supaya Aku sempurnakan perjanjianKu dengan kamu dan kepada Aku sahaja hendaklah kamu berasa gerun takut (bukan kepada sesuatu yang lain)” (Surah al-Baqarah: 40).

 

Manakala bagi golongan yang ingkar juga terdapat ancaman seksa kerana merosakkan janji. Firman Allah SWT yang bermaksud: “…dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya” (Surah Al-Isra’: 34).

 

Keempat, menghindari sikap mencari kesalahan dan mencela antara satu sama lain. Perbuatan negatif tersebut boleh menimbulkan suasana panas dan tegang sehingga boleh mencetuskan konflik dan perpecahan.

 

Allah SWT telah memberi peringatan dalam ayat yang bermaksud: ”Wahai orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang lelaki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik, dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik, dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandungi ejekan, seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan sesiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang yang zalim” (Surah al-Hujurat: 11).

 

Demikianlah Islam menganjurkan semua masyarakat yang terlibat dalam pilihan raya termasuk anggota badan pengurusan pilihan raya, calon, pemimpin parti politik, dan pengundi secara peribadi bertanggungjawab untuk menjalankan keadilan dan kebebasan dalam proses pilihan raya.

 

Panduan asas ini sewajarnya diikuti oleh masyarakat dalam memelihara hubungan silaturrahim supaya tidak terputus dalam suasana musim pilihanraya. Kematangan dan kebijaksanaan dalam berpolitik perlu diterapkan supaya menjamin keharmonian dan kesejahteraan Negara. - DagangNews.com

 

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

 

 

Portfolio Tags