Sapura Energy dijangka terus alami kerugian sehingga 2024 | DagangNews Skip to main content

Sapura Energy dijangka terus alami kerugian sehingga 2024

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Rugi bersih Sapura Energy Bhd dijangka terus meningkat kepada RM831.5 juta pada tahun kewangan 2022.

 

Public Invest Research berkata, selain itu, pihaknya turut menjangkakan margin keuntungan Kumpulan akan terus tidak menentu disebabkan oleh tahap produktiviti yang kekal rendah susulan sekatan dan prosedur operasi standard ketat (SOP) yang masih dilaksanakan.

 

"Kami meningkatkan unjuran rugi bersih tahun kewangan 2022 hingga 2024 masing-masing kepada RM831.5 juta, RM376.4 juta dan RM281.9 juta daripada RM286.7 juta, RM115.1 juta dan RM13.1 juta yang dibuat sebelum ini.

 

"Unjuran ini dibuat selepas mengambilkira pelaksanaan yang lebih perlahan dan kemajuan pengebilan serta margin operasi yang lebih rendah memandangkan persekitaran operasi yang mencabar.

 

"Kami mengekalkan panggilan 'Neutral'  dengan harga sasaran yang disemak sebanyak RM0.11 (dari RM0.14 sebelumnya)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sapura Energy melaporkan keputusan yang lebih lemah daripada jangkaan bagi laporan kewangan suku kedua 2022 dengan kerugian utama sebanyak RM1.5 bilion disebabkan I terutamanya oleh peruntukan kerugian yang boleh diramalkan berjumlah RM1 bilonn untuk projeknya di Taiwan dan India.

 

Tambah Public Invest, pihaknya turut melihat ketidakstabilan kewangan dalam Kumpulan Sapura Energy selepas ia melaporkan EBITDA negatif sebanyak RM1.2 bilion.

 

"Ini bermakna bahawa Kumpulan telah melanggar perjanjian hutang RM10 bilion yang baru dibiayai, yang telah diklasifikasikan semula kepada semasa liabiliti dalam keputusan kewangan 2QFY22.

 

"Walaupun begitu, kami memahami bahawa Sapura Energy telah memperoleh pengecualian dari pemberi pinjamannya untuk pelanggaran tersebut dan kemudahan tersebut akan diklasifikasikan semula kepada liabiliti tidak lancar pada suku berikutnya.



"Oleh itu, kami memahami bahawa perjanjian hutang akan dikaji semula pada suku keempat," katanya.-DagangNews.com