Ramssol lancar platform Profile.la mudahkan proses pengambilan pekerja | DagangNews Skip to main content

Ramssol lancar platform Profile.la mudahkan proses pengambilan pekerja

KUALA LUMPUR 28 Jun - Ramssol Group Bhd. melancarkan platform pengesahan resume Profile.la untuk memberi perkhidmatan kepada pencari kerja dan majikan semasa proses pengambilan pekerja.

 

Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif kumpulan untuk memenuhi permintaan semasa, trend dan keperluan untuk mengenalpasti keaslian calon demi keselamatan organisasi dan bagi melindungi organisasi daripada penipuan calon.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi Ramssol, Lee Miew Lan berkata, dengan pelancaran platform Profile.la, kumpulan mengalu-alukan penyertaan semua pengguna dan membuka akaun dengan percuma hari ini.

 

Katanya, platform tersebut memudahkan dan mempercepatkan perkongsian resume melalui kod QR atau pengalaman temu duga tanpa kertas, terutama semasa pameran kerjaya dan membolehkan pengguna menjejaki siapa yang telah mendapatkan semula profil mereka. 

 

"Syarikat percaya ia berada dalam landasan yang tepat untuk memanfaatkan usaha pendigitalan negara, dan ia hanyalah permulaan perjalanan untuk menawarkan penyelesaian yang lebih inovatif.

 

"Kami komited untuk terus meneroka dan membangunkan potensi Profile.la sebagai salah satu penyelesaian utama dalam pengurusan sumber manusia," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Profile.la, adalah penyelesaian digital yang membawa perubahan, dibangunkan secara dalaman, oleh Ramssol yang menggabungkan teknologi kecerdasan pintar (AI), dan Robotic Process Automation (RPA) untuk menapis resume dan latar belakang calon dengan lebih baik.

 

Platform itu bertujuan untuk merevolusikan semakan latar belakang tradisional dan menawarkan penyelesaian dalam talian tanpa berdepan sebarang kerumitan.

 

Menerusi platform berkenaan, pengguna boleh berkongsi atau mendapatkan semula profil profesional individu yang disahkan melalui penyelesaian Profile.la.

 

Data peribadi disimpan dalam platform yang sangat selamat menggunakan teknologi blockchain yang akan mengurangkan risiko penipuan, pelanggaran dan serangan siber yang lain. - DagangNews.com