Projek KVDT2 diteruskan oleh Dhaya Maju LTAT - Peguam Kanan Persekutuan | DagangNews Skip to main content

Projek KVDT2 diteruskan oleh Dhaya Maju LTAT - Peguam Kanan Persekutuan

KUALA LUMPUR 14 Jun - Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa kerajaan memutuskan projek naik taraf Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) akan diteruskan oleh Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd.

 

Peguam Kanan Persekutuan Asliza Ali  berkata perkara itu diputuskan semasa mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Mei lepas.

 

Beliau  yang mewakili kerajaan dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam satu kes saman memaklumkan demikian semasa pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Lim Chong Fong pada Isnin.

 

“Projek KVDT2 diteruskan oleh Dhaya Maju LTAT dengan kos kontrak sebanyak RM4.475 bilion dikekalkan dengan skop projek serta terma pelaksanaan dikekalkan sebagaimana yang dipersetujui dalam Surat Setuju Terima pada 19 Ogos 2019,” katanya ketika dihubungi Bernama.

 

Sehubungan itu Asliza berkata pihak-pihak dalam kes saman itu telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman berkenaan.

 

“Pihak plaintif (Dhaya Maju) akan menarik balik kes saman itu selepas kontrak itu ditandatangani oleh kedua-dua pihak (kerajaan dan Dhaya Maju). 

 

“Mahkamah menetapkan 30 Jun ini untuk pihak-pihak memaklumkan mengenai perkembangan penyelesaian kes saman tersebut,” katanya.


 

dhaya

 


Pada 27 Okt 2020, Dhaya Maju LTAT memfailkan saman terhadap kerajaan, Wee, Opus Consultants (M) Sdn Bhd dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) selaku responden berhubung penamatan kontrak syarikat itu dalam projek KVDT2.

 

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Dhaya Maju LTAT antara lain mendakwa bahawa sehingga kini, notis penamatan rasmi tidak diserahkan kepada syarikat itu dan ia
langsung tidak menyedari tentang penamatan itu sehinggalah ia diumumkan Wee dalam satu kenyataan media.

 

Selain ganti rugi, Dhaya Maju LTAT iaitu syarikat usahasama Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang diperbadankan pada 5 Jun 2017 di bawah Akta Syarikat 2016, memohon deklarasi bahawa keputusan menamatkan kontrak itu adalah tidak sah dan batal.

 

Pertikaian itu timbul selepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengeluarkan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang dianugerahkan menerusi rundingan terus semasa pentadbiran Pakatan Harapan dan ia turut membabitkan projek KVDT2 bernilai RM4.475 bilion yang diberikan kepada Dhaya Maju LTAT. - DagangNews.com