PM tidak teragak-agak lakukan keputusan drastik demi membantu rakyat | DagangNews Skip to main content

PM tidak teragak-agak lakukan keputusan drastik demi membantu rakyat

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selaku Perdana Menteri beliau tidak teragak-agak melakukan keputusan-keputusan drastik demi memastikan kesan inflasi pada tahap minimum, yang membantu rakyat. 

 

Menurut Perdana Menteri, beliau tidak boleh selesa hanya dengan angka pelaburan, angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sebagainya jika rakyat tidak merasai nikmat kek ekonomi dengan saksama. 

 

Misalnya kata beliau, kerajaan membelanjakan subsidi dan bantuan tunai sebanyak hampir RM80 bilion ringgit, angka paling besar dalam sejarah atau untuk memansuhkan AP makanan, mahupun menghentikan eksport ayam. 

 

"Walaupun sesetengah keputusan ini dilihat kontroversi, tetapi jika ia membantu rakyat, maka itulah keputusan yang tepat. Contohnya, hari ini harga ayam juga telah turun di bawah paras harga siling. 

 

"Walaupun inflasi berlaku di Malaysia, tetapi angka inflasi 3.4 peratus adalah yang paling rendah di Asia Tenggara. Tanpa campur tangan Kerajaan, tidak mustahil angka itu boleh melonjak tiga atau empat kali ganda. 

 

"Ini yang saya sebutkan tadi. Saya dididik dengan cara dan budaya UMNO dan BN. Kita tidak teragak-agak melaksanakan keputusan yang berani dan tegas selagi ia  membantu rakyat. Itu cara parti kita sejak turun temurun. Itulah juga cara saya," kata Ismail Sabri. 

 

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian semasa berucap pada Konvensyen Wanita Barisan Nasional (BN) di sini hari ini.

 

PM

 

Perdana Menteri berkata, Pelaburan langsung asing (FDI) mencatatkan angka rekod tertinggi pada suku keempat 2021 dengan RM26.7 bilion. Kemudian disusuli dengan RM23.3 bilion pada Suku Pertama 2022.

 

Beliau berkata, dengan pengumuman terbaru kemasukan FDI pada Suku Kedua 2022 sebanyak RM24.1 bilion, jumlah pelaburan FDI selama sembilan bulan sahaja adalah sebanyak RM74.1 bilion. 

 

"Dalam tempoh sembilan bulan ini sahaja sudah mengatasi jumlah FDI tahunan pada tahun 2021, 2020, 2019 mahupun 2018. Maka janganlah kita termakan dengan dakwaan bahawa syarikat asing tidak minat lagi dengan Malaysia. 

 

"Data menjadi saksi. Dan saya sendiri menjadi saksi, dalam lawatan-lawatan ke luar negara, mahupun apabila syarikat asing bertemu dengan saya di sini, ternyata jika kepimpinan negara terurus baik, Malaysia tetap menjadi pilihan utama pelabur,'' kata beliau.

 

Perdana Menteri berkata, bukan sahaja FDI, malah nilai jualan borong dan runcit negara juga mencatatkan prestasi terbaik sejak 2013 dengan data terkini RM132.8 bilion untuk Jun 2022.

 

Beliau berkata, nilai jualan sektor pembuatan pula tidak kurang hebatnya, melonjak 23.4 peratus kepada RM153.5 bilion juga pada Jun 2022. 

 

"Semua angka yang saya sebut ini, serta data lain yang tidak sempat saya senaraikan, telah menyumbang kepada indikator paling besar yang diumumkan kelmarin iaitu  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita, atau dalam erti kata lain pertumbuhan ekonomi negara untuk suku kedua 2022, memecut ke angka 8.9 peratus.

 

"Angka ini ialah yang paling tinggi di Asia Tenggara. 

 

"Sekali lagi membuktikan, sebarang dakwaan mengatakan bahawa ekonomi Malaysia tenat, atau pelabur lari dan sebagainya, amatlah tersasar. Di bawah Perdana Menteri dari BN, dibantu oleh jentera dari BN, dididik dengan cara dan budaya BN yang mementingkan rakyat, Insya-Allah, ekonomi Malaysia lebih terpelihara. 

 

"Semua ini bukan alasan untuk kita mendabik dada. Cabaran dijangka terus hebat. Tekanan inflasi sedunia juga dirasai di Malaysia," ujar Ismail Sabri. - DagangNews.com