Pinda Akta Racun segera kepada cukai dan kawal selia produk nikotin vape | DagangNews Skip to main content

Pinda Akta Racun segera kepada cukai dan kawal selia produk nikotin vape

Kementerian Kesihatan Malaysia perlu mengambil langkah untuk mengawal selia industri vape sekarang

KUALA LUMPUR 8 Mac  – Retail and Trade Brands Advocacy Malaysia Chapter (RTBA Malaysia menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengawal selia dan mencukaikan produk vape nikotin dengan segera.

 

RTBA, sebuah organisasi bukan kerajaan yang memberi advokasi terhadap dasar kawal selia, kewangan dan polisi pencukaian berkaitan peruncit dan jenama mengulas pengumuman Menteri Kesihatan baru-baru ini mengenai pembentangan Akta baharu untuk mengawal produk vape telah ditangguhkan.

 

Ini bermakna cukai berkaitan produk vape nikotin tidak boleh dilaksanakan sehingga Akta tersebut selesai proses perundangannya lewat tahun ini.

 

Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Dato' Fazli Nordin  berkata, pihaknya menghargai dan mengalu-alukan usaha Kementerian Kesihatan dalam dalam usaha untuk membangunkan peraturan dan dasar yang betul untuk produk vape namun proses ini mengambil masa yang terlalu lama.

 

‘’Kita tidak boleh melengahkan lagi langkah untuk membenarkan industri beroperasi secara sah dan menyumbang hasil yang sangat diperlukan kepada tabung Kerajaan," katanya.

 

Fazli mengulangi bahawa KKM perlu mengambil langkah untuk mengawal selia industri vape sekarang.

 

Menurutnya, ia boleh dilakukan dengan segera dengan mengeluarkan arahan atau peraturan mengenai ramuan untuk produk vape nikotin terutamanya pada tahap nikotin yang dibenarkan dan meminda Akta Racun 1952 untuk membolehkan cukai dikenakan ke atas cecair vape nikotin.

 

 

Dato' Fazli Nordin
                  Dato' Fazli Nordin

 

 

“Jika kelewatan itu disebabkan akta yang belum dimuktamadkan, KKM harus bertindak pantas untuk meminda Akta Racun 1952 bagi membolehkan produk vape nikotin dijual dan mengeluarkan arahan atau peraturan mengenai ramuan produk kepada semua pemain industri.

 

''Ini adalah untuk memastikan mereka mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti terutamanya pada tahap nikotin dan ramuan cecair vape, di samping membayar cukai untuk produk tersebut.”

 

“Dengan kelewatan ini, bukan sahaja pengguna akan terus membeli produk yang tidak dikawal, Kerajaan juga akan kehilangan berjuta-juta Ringgit dalam kutipan cukai yang merupakan hasil yang amat diperlukan. Oleh itu KKM tidak boleh membuang masa lagi.”

 

Pada November lepas, Menteri Kewangan dalam pembentangan Bajet 2022 telah mengumumkan duti eksais RM1.20 semiliter untuk gel atau cecair berasaskan nikotin untuk vape dan rokok elektronik.

 

Bagaimanapun, pelaksanaan cukai eksais itu telah ditangguhkan kerana cecair vape nikotin kini disenaraikan sebagai racun Kumpulan C di bawah Akta Racun 1952.

 

Industri vape Malaysia kini dianggarkan bernilai RM2.27 bilion. Selain potensinya untuk menyumbang secara signifikan kepada hasil Kerajaan dalam bentuk cukai, industri yang terdiri daripada 3,300 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) itu turut menyediakan pekerjaan kepada lebih 15,000 pekerja di Malaysia.

 

Kelewatan itu juga bermakna ia akan menghalang pertumbuhan industri ini di Malaysia dan menyebabkan masa depan beribu-ribu pekerja terjejas.

 

“KKM perlu melihat perkara ini secara objektif dan mempertimbangkan pelbagai implikasi dengan kelewatan itu. Masa depan beribu-ribu pekerja diperjudikan dan industri masih beroperasi tanpa satu faris panduan yang jelas daripada Kerajaan.

 

''Akhirnya, pengguna akan terus mendapat produk yang tidak terkawal dan Kerajaan kehilangan hasil cukai yang sangat diperlukan. Semua ini boleh diselesaikan dengan penyelesaian yang mudah,” kata Fazli. – DagangNews.com