Petronas Carigali lengkapkan pindah milik EPOMS kepada Janamurni | DagangNews Skip to main content

Petronas Carigali lengkapkan pindah milik EPOMS kepada Janamurni

KUALA LUMPUR 30 Mac - Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) melengkapkan transaksi pemindahan keseluruhan pemilikannya dalam E&P O&M Services Sdn. Bhd. (EPOMS) kepada Janamurni Sdn. Bhd., hari ini.

 

Petronas dalam satu kenyataan berkata, EPSOMS merupakan syarikat milik penuh E&P Venture Solutions Co. Sdn Bhd (EPVS) iaitu anak syarikat PCSB.

 

EPOMS yang ditubuhkan pada 2012 menyediakan perkhidmatan barisan hadapan dan penyelenggaraan untuk kemudahan terapung termasuk perkara berkaitan saluran alir dan saluran paip di Malaysia.

 

"EPVS menandatangani Perjanjian Jual dan Beli (SPA) pada 29 Disember 2021 bersama Janamurni termasuk pemindahan kontrak kakitangan EPOMS kepada pemilik baharu.

 

"Langkah itu adalah bertepatan dengan penilaian Petronas terhadap portfolio perniagaannya dalam memastikan ia sesuai dengan strategi pertumbuhannya dalam landskap tenaga yang semakin berkembang," katanya.

 

Pada masa sama, Petronas kekal fokus dalam mengekalkan portfolio perniagaannya dengan mampan selain mengembangkan perniagaan bukan tradisional mereka termasuk tenaga baharu dan boleh diperbaharui bagi menambah baik profil rendah karbon dan memajukan agenda pembangunan lestari. - DagangNews.com