Skip to main content

OPR mungkin dinaikkan sehingga 3.25%, tiada keperluan berbelanja 'mewah' lagi

Pengguna berkemungkinan akan mengutamakan perbelanjaan untuk keperluan harian pada separuh kedua ini dan mengurangkan perbelanjaan tidak penting. - Gambar hiasan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Julai - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka terus melaksanakan langkah normalisasi dasar pada masa hadapan dalam usaha memperlahankan tekanan inflasi dan menangani kelemahan ringgit. 

 

Dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) semalam, bank pusat itu memutuskan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) yang yang menjadi penanda aras pinjaman dan simpanan sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.25%.

 

Kenaikan itu adalah yang kedua berturut-turut tahun ini selepas BNM menaikkan OPR sebanyak 25 bps kepada 2.00% semasa mesyuarat terakhirnya Mei lalu. 

 

Bagaimanapun, Ketua Penyelidik AmInvestment Bank Research, Dr. Anthony Das menjangkakan kenaikan sekali sebanyak 50 bps kemungkinan tidak berlaku, sebaliknya OPR dijangka mencecah sekitar 2.50% hingga 2.75% menjelang akhir tahun ini. 

 

Ini kerana sebelum ini beliau menjangkakan BNM akan mengambil langkah yang lebih agresif sama seperti bank pusat lain dengan menaikkan kadar itu sebanyak 50 bps, tetapi bank pusat hanya menaikkan OPR sebanyak 25 bps dalam mesyuaratnya yang keempat tahun ini.

 

"Oleh itu, kami melihat kadar ini akan dinaikkan sekali atau 2 lagi pada 2023 menjadikannya kepada 3.00% hingga 3.25%," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

 

shopping

 

Baca : BNM naikkan lagi OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.25%

 

Menurut beliau, meskipun terdapat kebimbangan mengenai kenaikan kadar faedah akan meningkatkan kos pinjaman untuk perniagaan dan isi rumah, tetapi adalah penting untuk menimbangkan kos dan faedah antara menaikkan kadar dan ringgit yang semakin lemah.

 

Jelasnya, dalam keadaan semasa, kelemahan ringgit adalah disebabkan dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh yang mendapat manfaat daripada kenaikan kadar yang agresif oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

 

Dengan BNM menaikkan OPR hanya 25bps, ringgit melemah kepada RM4.42 berbanding dolar AS, tambah beliau.

 

"Trend kelemahan ringgit memberi kesan ketara kepada inflasi yang diimport. Ini akan menyebabkan harga dipindahkan kepada pengguna kerana kos sara hidup meningkat. 

 

"Dan terdapat risiko tinggi untuk sesetengah isi rumah di bawah kumpulan M40 jatuh ke dalam B40 dan lebih banyak lagi daripada B40 merosot lebih jauh," jelasnya.

 

Anthony berkata, tanpa subsidi, inflasi akan meningkat sekitar 11% berbanding 2.8% ketika ini, tetapi mengakibatkan kerajaan menanggung subsidi lebih RM71 bilion. 

 

BNM menyifatkan pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi. 

 

MPC akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

 

Bagi bank pusat, kesan tekanan inflasi menjadi lebih tinggi sebahagiannya akan terus dibendung oleh kawalan harga yang sedia ada, subsidi bahan api dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Sementara itu, CGS-CIMB Research berkata, prospek makroekonomi yang dijangka lemah (disebabkan kenaikan inflasi, kadar faedah dan pemansuhan subsidi) akan menghakis keupayaan perbelanjaan pengguna dan memperlahankan permintaan bagi barangan pengguna terutamanya perbelanjaan yang kurang penting. 

 

Ini mendorong firma itu menyemak turun sektor pengguna kepada 'overweight' daripada 'neutral' berikutan pemampatan margin dan kenaikan tekanan kos yang akan menyaksikan beberapa syarikat berkaitan pengguna berdepan persekitaran operasi yang lemah. 

 

"Di tengah-tengah hakisan dalam kuasa berbelanja, pengguna berkemungkinan akan mengutamakan perbelanjaan untuk keperluan harian pada separuh kedua ini manakala permintaan untuk barangan tidak penting akan semakin lemah," katanya. 

 

Firma itu menjangkakan syarikat berkaitan pengguna akan berdepan tekanan margin sekitar 2 hingga 3% pada separuh kedua 2022 berikutan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi daripada kos seperti tenaga buruh dan utiliti.

 

"Walaupun kebanyakan syarikat pengguna di bawah liputan kami boleh menaikkan harga produk untuk mengimbangi kos input yang lebih tinggi, kami berpendapat terdapat ruang yang terhad kerana kenaikan harga jualan selanjutnya boleh memberi kesan kepada jumlah jualan.

 

"Namun, kami menjangkakan syarikat ini akan menyerap sebahagian kos yang lebih tinggi bagi menyokong jumlah jualan, dan ini mengakibatkan pemampatan margin," jelasnya. - DagangNews.com