Skip to main content

MDEC sasar latih 4,000 pekerja bebas digital lagi menerusi program GLOW Aspirasi 2022

Oleh FAIZAL ZAKARIA

PERKEMBANGAN teknologi maklumat yang berlaku kira-kira 20 tahun lalu telah merubah lanskap kehidupan masyarakat dunia pada ketika itu.

 

Beberapa tahun kemudian, perkembangannya semakin pesat dengan penggunaan teknologi maklumat dianggap semakin penting khususnya selepas kegawatan ekonomi dunia yang berlaku pada tahun 2007.

 

Ekoran daripada itu, pada tahun 2008, istilah ekonomi gig mula mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat global yang mula menceburi bidang pekerjaan baharu berasaskan aplikasi teknologi.

 

Ledakan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang berlaku pada masa ini pula telah menyebabkan teknologi digital semakin berkembang dan menjadi tumpuan dunia, sekali gus memperlihatkan pekerjaan berasaskan ekonomi gig kini semakin popular.

 

Melihat kepada kepentingan dan peluang besar yang ada dalam sektor ekonomi gig, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) mengambil langkah proaktif dengan memperkasa program Global Online Workforce (GLOW)  menerusi GLOW Aspirasi bagi tahun 2022.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, program tersebut yang dirangka dilaksanakan bermula bulan Mei hingga September 2022 dijangka mampu melatih kira-kira 4,000 rakyat negara ini sebagai persediaan menjadi seorang freelancer ekonomi digital.

 

“Dalam suasana perkembangan ekonomi gig yang berlaku pada masa ini, kita mahu rakyat negara ini terus merebut peluang untuk meningkatkan pendapatan isi rumah.

 

“Hasrat itu boleh dicapai sekiranya anggota masyarakat meningkatkan kemahiran mereka menerusi penglibatan mereka dalam program GLOW, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran pekerja gig di peringkat global

 

“Justeru, kami menjangkakan program GLOW Aspirasi yang berlangsung pada tahun ini dapat menyediakan sekurang-kurangnya 75 peratus daripada keseluruhan peserta untuk mula menjadi pekerja freelancer digital bagi menjana pendapatan,” katanya.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz
                                             Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz

 

 

Jelas Mahathir, program itu menyasarkan graduan menganggur dengan keutamaan bagi mereka yang memiliki diploma atau ijazah sarjana muda dalam Teknologi Maklumat (IT), Sains Komputer, Multimedia, Perniagaan, Pemasaran, Hospitaliti dan Linguistik.

 

MDEC juga akan mengutamakan pekerja dari sektor pelancongan dan hospitaliti, kreatif media dan pendidikan yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19, khususnya pekerja yang diberhentikan serta mereka yang mengalami pengurangan gaji melebihi 30 peratus.

 

Katanya, syarat untuk menyertai program GLOW juga sangat mudah iaitu para peserta hanya perlu celik komputer, mampu menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, memiliki set kemahiran khusus yang dikehendaki, serta yang paling penting ialah perlu memberi komitmen serta usaha dan ketekunan yang berterusan untuk mempelajari kemahiran yang disediakan.

 

Mengulas lanjut mengenai GLOW, Mahathir berkata, program yang telah diperkenalkan sejak tahun 2016 itu merupakan satu inisiatif untuk terus menyokong rakyat Malaysia menjadi pekerja bebas digital yang kompetitif di platform global.

 

Jelasnya lagi, program GLOW menawarkan latihan dan bimbingan oleh tenaga pengajar yang berpengalaman untuk mempersiapkan peserta untuk menjadi seorang freelancer dan meraih pendapatan menerusi penglibatan mereka dalam ekonomi gig.

 

Sepanjang sesi latihan, pelbagai panduan akan dikongsi dengan peserta bagi meningkatkan lagi kemahiran mereka dalam mencari pekerjaan, melaksanakan tugas dan membida di platform digital.

 

“Dengan menyertai GLOW, para peserta akan diberi pendedahan dan bimbingan untuk mengenal pasti platform online yang berpotensi untuk dimanfaatkan untuk menjadi platform bagi menjana pendapatan.

 

“Para peserta akan diperkenalkan kepada lima topik berkelompok penting seperti laman web, IT dan perisian; penulisan kandungan; reka bentuk, media dan seni bina; kemasukan data dan pentadbir pejabat maya; dan jualan dan pemasaran.

 

“Sesi latihan kemahiran akan diketuai oleh jurulatih GLOW yang berpengalaman yang akan menyediakan bimbingan maya secara percuma sehingga ke tahap peserta telah berjaya memperoleh projek pada platform yang diiktiraf oleh MDEC,” katanya.

 

 

MDeC

 

 

Bagi menjamin pasaran pekerjaan, kata Mahathir, MDEC telah menjalin kerjasama dengan pelbagai rakan kongsi platform antarabangsa dan tempatan untuk memberi peluang freelancer digital membida pekerjaan dan projek dalam persekitaran digital yang selamat dan terjamin.

 

Antara platform tersebut ialah Upwork, Freelancer.com, Workana, Topcoder, 123RF, Favser.com, Rtist, Experfy, DesignCrowd dan PeoplePerHour.

 

Tambah beliau lagi, sejak diperkenalkan enam tahun lalu, GLOW telah berjaya melatih 73,198 individu yang berjaya menjana pendapatan melebihi RM240 juta secara keseluruhannya.

 

Sila layari mdec.my/glowmalaysia untuk mengetahui lebih lanjut tentang GLOW Aspirasi dan untuk mendaftar. – DagangNews.com