Maxis raih tiga anugerah emas pada Contact Centre World Awards di Bali | DagangNews Skip to main content

Maxis raih tiga anugerah emas pada Contact Centre World Awards di Bali

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Sept - Maxis berjaya menggondol tiga anugerah emas di ‘Contact Centre World Awards’ yang diadakan di Bali, Indonesia, baru-baru ini.

 

Ketua Pegawai Jualan & Perkhidmatan Maxis, Patrick Er berkata, pihaknya berbesar hati dengan pengiktirafan penting ini yang tidak mungkin dapat dilakukan tanpa pelanggan mereka. 

 

"Ini adalah hasil daripada tumpuan padu ke arah mewujudkan perkhidmatan yang berbeza. 

 

"Pencapaian ini juga mendorong kami untuk terus berinovasi dan sentiasa berusaha untuk menaikkan taraf perkhidmatan kami untuk menjadi lebih baik, terutama dalam lanskap digital ini, di mana pelanggan mengharapkan yang terbaik daripada kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Untuk meningkatkan perkhidmatan pelanggannya, Maxis telah berinovasi dalam beberapa segmen, seperti penambahbaikan berterusan dalam pengalaman pembelian digital, pembangunan keupayaan digital layan diri untuk pelanggan seperti pengenalan kotak sembang MAX, dan peningkatan proses untuk pemasangan fiber serta penyelesaian kerosakan.

 

Anugerah ini diadakan semasa persidangan 17th Annual Contact Centre & CX Best Practices untuk rantau Asia Pasifik.

 

Maxis menakluki tempat pertama serantau bagi tiga kategori, antaranya Pusat Panggilan Terbaik dalam kategori Pusat Panggilan Besar di bawah Anugerah Perkhidmatan Pelanggan, Kempen Jualan Terbaik di bawah Anugerah Strategik dan Penggunaan Teknologi Layan Diri Terbaik di bawah Anugerah Teknologi.

 

 

maxis

 

 

'Contact Centre World Awards’ diadakan pada setiap tahun dan dianjurkan oleh ‘ContactCenterWorld’, iaitu organisasi pusat panggilan terbesar di dunia. 

 

Anugerah ini telah menerima penyertaan lebih 80 negara dan 2,000 syarikat serta individu sejak diadakan buat kali pertama. 

 

Organisasi-organisasi berpeluang untuk memenangi anugerah ‘Contact Centre World Awards (CCWA) Top Ranking Performers’ di tiga rantau, iaitu Amerika, Asia Pasifik dan Eropah, Timur Tengah serta Afrika. - DagangNews.com