Mana lagi untung - konvensional atau syariah? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 8 March 2022

Mana lagi untung - konvensional atau syariah?

 

 

MINGGU lalu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan kadar dividen 2021 sebanyak 6.1% untuk Simpanan Konvensional dengan pembayaran berjumlah RM50.5 bilion manakala 5.65% untuk Simpanan Syariah 2021 dengan pembayaran berjumlah RM6.3 bilion. 

 

Jumlah dividen itu adalah lebih tinggi berbanding tahun lalu dengan 5.2% bagi konvensional dan 4.9% untuk syariah. 

 

Bagaimanapun, data yang diperoleh menunjukkan hanya 15.1% pencarum muslim yang memilih akaun syariah ini. Apa sudah jadi dengan 84.9% pencarum muslim yang lain? 

 

Malah jika dihitung, hanya 8.3% sahaja daripada keseluruhan pencarum KWSP memilih akaun KWSP syariah.

 

Menyedihkan!

 

Kepada pencarum muslim yang masih belum bertukar kepada syariah, penulis ingin menyatakan bahawa bukan kesemua dividen 6.1% konvensional itu boleh diiktiraf sebagai halal. 

 

‌Ini kerana 68% hingga 70% pelaburan secara konvensional adalah tidak patuh syariah. Sebaliknya, hanya 30% sahaja boleh diterima sebagai dividen yang halal.

 

Oleh itu, sebahagian besar daripada dividen tersebut mestilah dibersihkan dengan menyalurkan kepada Baitulmal atau badan-badan kebajikan.

 

 

KWSP

 

 

Bertukarlah, tiada lagi alasan

 

Terdapat beberapa komentar yang menyuarakan kebimbangan mereka, takut-takut orang awam terkeliru dengan mengatakan mereka boleh terus simpan dalam akaun konvensional dan kemudian hanya bersihkan bahagian yang tidak patuh syariah itu sahaja.

 

Bukan begitu. Ini tidak benar. Mana-mana pelaburan yang tidak patuh syariah sememangnya tidak dibenarkan syariat. 

 

Namun, jika pencarum daripada awal sudahpun terjebak dengan KWSP secara konvensional ini, maka 
barulah pembersihan dividen tersebut dibuat. 

 

Isunya, masih ramai lagi orang awam (rata-rata muslim) yang masih terjebak sehingga sekarang.

 

Mesej penulis berkaitan dividen KWSP ini ialah TUKAR kepada KWSP syariah. Tidak ada 2 pilihan lagi.
Akaun konvensional ternyata tidak patuh syariah. 

 

Tetapi, bagi mereka yang masih lagi belum sampai WAHYU (pengetahuan) tentang perkara ini dan masih berpegang kepada KWSP konvensional,sebenarnya mereka diwajibkan membersihkan dividen itu mengikut seperti yang ditetapkan Ahli Jawatankuasa Syariah KWSP.

 

Merujuk kes di atas, setelah mereka tahu yang KWSP syariah sebenarnya sudah pun disediakan, maka, mereka WAJIB menukarnya serta-merta kepada syariah tanpa alasan. 

 

Pada masa sama, juga terbukti bahawa dividen konvensional yang boleh diterima (patuh syariah) adalah lebih kecil daripada dividen syariah. 

 

Ada yang telah membuat pengiraaan dan mendapati sebenarnya hanya 1.85% sahaja dividen yang boleh diterima oleh pencarum akaun KWSP konvensional, dan bukannya 6.1%. 

 

Buktinya, ialah dengan menolak peratusan pelaburan konvensional yang tidak patuh syariah daripada dividen 6.1% yang telah diisytiharkan. 

 

Mana lagi untung? Adakah 1.85% (daripada 6.1%) atau 5.56%? Jadi, tukarlah kepada KWSP syariah! - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm


 

Portfolio Tags