Malaysia perlu ratifikasi RCEP dan CPTPP akhir tahun ini, gesa ASEAN-BAC | DagangNews Skip to main content

Malaysia perlu ratifikasi RCEP dan CPTPP akhir tahun ini, gesa ASEAN-BAC

.

KUALA LUMPUR 22 Jun - Kerajaan Malaysia perlu meratifikasi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) menjelang akhir tahun ini.

 

Membuat gesaan tersebut, Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), Tan Sri Dr. Mohd Munir Abdul Majid berkata, Malaysia telah kehilangan kelebihan penggerak pertamanya kerana belum
meratifikasi kedua-dua perjanjian itu.

 

Susulan itu, ASEAN-BAC hari ini mengemukakan memorandum secara maya kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk menyokong ratifikasi RCEP dan CPTPP.

 

"Persatuan perdagangan, dewan perdagangan, badan profesional serta majlis perniagaan mengiktiraf kepentingan proses ratifikasi yang boleh meletakkan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran RCEP dan CPTPP.

 

“Ia menyediakan peluang kepada perniagaan Malaysia dengan menawarkan akses pasaran kepada hampir satu pertiga daripada penduduk dunia, memperluas saluran penyumberan intrawilayah bahan mentah pada harga yang kompetitif dan mengintegrasikan rantaian bekalan.

 

“Selain itu, ia menggalakkan ketelusan lebih tinggi untuk berkongsi kemudahan perdagangan, kerjasama ekonomi, penstandardan peraturan mengenai e-dagang dan memberi kepastian dalam perlindungan harta intelek,” katanya seperti dilapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian dalam sesi Webinar ASEAN-BAC Malaysia 2021 hari ini.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kerajaan perlu  bertindak segera bagi membolehkan perniagaan memanfaatkan kedua-dua perjanjian perdagangan bebas yang telah ditandatangani Malaysia.

 

“Kami meminta kerajaan untuk meratifikasi RCEP dan CPTPP menjelang akhir 2021 untuk meraih kelebihan penggerak awal dan memperkukuhkan ekonomi,” tambahnya lagi. - DagangNews.com