Loji tenaga TNB, SPG dinobat Stesen Janakuasa Terbaik 2021 | DagangNews Skip to main content

Loji tenaga TNB, SPG dinobat Stesen Janakuasa Terbaik 2021

SPG adalah stesen jana tenaga pertama yang menggunakan turbin gas General Electric (GE) 9HA.02 secara komersial. Turbin itu adalah model terbaharu yang paling efisien.
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Julai - Southern Power Generation (SPG) dinobatkan sebagai Stesen Janakuasa Terbaik 2021 oleh POWER Magazine, penerbitan majalah dari Amerika Syarikat (AS) yang mengkhususkan berita perundangan dan kawal selia serta maklumat operasi dan penyelenggaraan berkaitan industri penjanaan tenaga. 

 

Sebagai rekod, TNB serta anak syarikatnya, TNB dan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) memiliki pegangan ekuiti sebanyak 70% dalam SPG manakala SIPP Energy Sdn. Bhd. memiliki baki 30%. 

 

SPG membekalkan tenaga kepada TNB menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 21 tahun. 

 

Pengarah Urusan TNB Genco, Datuk Nor Azman Mufti berkata, anugerah itu melambangkan satu lagi pengiktirafan terhadap kejayaan TNB dalam menyempurnakan projek besar dengan menggunakan teknologi terkini bagi memenuhi keperluan tenaga negara. 

 

“TNB sentiasa memilih untuk menggunakan teknologi terkini dalam projek janakuasa kami bagi menyampaikan tenaga elektrik yang selamat, berdaya harap dan mampan kepada pelanggan.  

 

Nor Azman Mufti
Nor Azman Mufti

 

"Bagi SPG, kejayaan ini diperolehi menerusi kerjasama dan sokongan semua pemegang taruh  termasuk badan kawal selia, pihak berkuasa, rakan usaha sama projek, pembiaya dan kontraktor,” katanya dalam satu kenyataan.

 

SPG adalah stesen jana tenaga pertama yang menggunakan turbin gas General Electric (GE)  9HA.02 secara komersial.

 

Turbin itu merupakan model terbaharu yang paling efisien keluaran GE, menampilkan integrasi teknologi serta menjadi contoh kepada keseimbangan terhadap  pemeliharaan alam sekitar, kemampuan dan daya harap sistem tenaga di Malaysia. 

 

SPG yang mengendalikan dua loji janakuasa 720MW setiap satu, terletak di Pasir Gudang, Johor dan menjadi elemen penting terhadap pengukuhan kestabilan bekalan elektrik  Semenanjung Malaysia. 

 

Dengan menggunakan gas asli sebagai bahan api utama, turbin kitaran gabungan 9HA.02 mampu menjana elektrik dengan kadar kecekapan melebihi 60%. 

 

Menerusi penggunaan teknologi terkini yang paling efisien, ia membolehkan TNB untuk  mengurangkan tahap pelepasan yang dibebaskan loji jana tenaga konvensional. 

 

Operasi dan penyelenggaraan kedua-dua loji diuruskan REMACO, iaitu anak syarikat TNB Genco yang membangunkan, mengendalikan dan menyelenggara portfolio jana tenaga TNB. 

 

Sementara itu, Editor Kanan Bersekutu POWER, Sonal Patel dalam artikel tulisannya memuji SPG yang berjaya mencapai satu kemajuan dalam teknologi turbin gas dan menyatukannya dalam satu  sistem canggih yang mampu menangani cabaran perubahan tenaga masa kini dan masa hadapan yang semakin pesat.

 

“Loji itu memastikan kestabilan bekalan tenaga di kawasan yang berkembang pesat itu, dan pada masa yang sama ia memenuhi aspek kemampuan mengikut acuan yang ditentukan  kerajaan bagi mengurangkan kesan perubahan iklim,” tulis beliau.

 

Unit 1 SPG berjaya mencapai tarikh operasi komersialnya pada 1 Januari 2021 manakala Unit 2 pada 19 Februari 2021. 

 

Kedua-dua loji itu menghasilkan 1,440MW tenaga bagi meningkatkan kapasiti elektrik negara kepada 26,552.42MW. - DagangNews.com