Kementerian Kerja Raya iktiraf 'Hero' Lebuh Raya | DagangNews Skip to main content

Kementerian Kerja Raya iktiraf 'Hero' Lebuh Raya

Yusof Osman dan Muhammad Al Ammar Borkhan (Peronda Lebuhraya PLUS) menerima anugerah Hero Lebuh Raya dari Menteri Kanan Kerja Raya, Dato' Seri Mohd Fadillah Yusof.
 
 

KUALA LUMPUR 3 Dis - Lima Hero Lebuhraya diraikan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada Anugerah Industri Lebuhraya yang berlangsung di Putrajaya malam tadi atas keberanian, kecekalan dan komitmen mereka dalam memastikan pelanggan lebuhraya menikmati perjalanan yang selamat.

 

Mereka ialah Mohd Iqmal Hairi Abd Aziz (Peronda Lebuh Raya Jambatan Kedua Sdn Bhd), Yusof Osman & En. Muhammad Al Ammar Borkhan (Peronda Lebuhraya PLUS), Mohd Nizam Salleh (Peronda Lebuh Raya (Lingkaran Transkota Sdn Bhd). 

 

Supt. Dr. Bakri Zainal Abidin (Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan & Penguatkuasaan trafik PDRM) serta Kelab Kroni Y15 Grey Malaysia masing-masing menerima plak penghargaan dari Menteri Kanan Kerja Raya, Dato' Seri Mohd Fadillah Yusof. 

 

Mohd Iqmal telah berjaya menyelamatkan nyawa seorang pelanggan yang terjun dari Jambatan Kedua Pulau Pinang, manakala kedua-dua anggota PLUSRonda telah membantu seorang pelanggan lebuhraya melahirkan bayi di tepi lebuh raya NKVE.


 

PLUS diumumkan pemenang Anugerah Komunikasi Lebuh Raya Terbaik pada  Anugerah Industri Lebuh Raya 2021. Hadiah disampaikan oleh Pengerusi LLM, Datuk Abdul Rashid Asari kepada Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail di Putrajaya, 2 Disember 2021.
PLUS diumumkan pemenang Anugerah Komunikasi Lebuh Raya Terbaik pada  Anugerah Industri Lebuh Raya 2021. Hadiah disampaikan oleh Pengerusi LLM, Datuk Abdul Rashid Asari kepada Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail di Putrajaya, 2 Disember 2021.

 


Anugerah Industri Lebuhraya turut menyaksikan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menggondol 2 anugerah iaitu Anugerah Highway Best Brand Communication dan Anugerah Pengurusan Maklumat Terbaik, lebuhraya LATAR memenangi Anugerah Lebuhraya Hijau.

 

Majlis gilang-gemilang tersebut turut memberi penghargaan kepada pelbagai agensi kerajaan yang telah berkolaborasi bersama LLM dalam membantu meningkatkan tahap perkhidmatan serta operasi industri lebuhraya di negara ini.


 

PLUS
Datuk Azman Ismail mewakili PLUS menerima Anugerah Pengurusan Maklumat Terbaik pada majlis Anugerah Industri Lebuhraya LLM 2021.

 


Terdahulu dalam ucapannya Mohd Fadillah berkata, sektor lebuh raya telah memberi impak kepada ekonomi negara dari tahun 1974 hingga 2018 dengan mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM51.1 bilion.

 

Beliau berkata, sektor tersebut juga telah menyediakan 290,000 peluang pekerjaan secara langsung. 

 

“Sehingga kini, terdapat 30 lebuh raya yang sedang beroperasi dan lima lebuh raya dalam pembinaan di bawah pengawalseliaan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),” katanya.


 

PLUS
MENTERI Kanan Kerja Raya menerima anugerah Kepimpinan Lebuh Raya pada majlis Anugerah Industri Lebuhraya LLM 2021 pada 2 Disember 2021.

 

Menurutnya,beliau berharap syarikat konsesi lebuh raya meneruskan komitmen dalam menyediakan dan menyelenggara fasiliti serta perkhidmatan berorientasikan pengalaman terbaik pengguna. 

 

Beliau yakin ia dapat dicapai dengan menambah baik sistem pengurusan lebuh raya sedia ada termasuk penggunaan teknologi terkini selaras dengan Revolusi Industri 4.0. - DagangNews.com