Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Anekdot Mawarith - 6 September 2021

Wasiyyah

KENAPA PERLU DISIPLIN ILMIAH KETAT DI DALAM PEMBANGUNAN PERKHIDMATAN PERANCANGAN HARTA?

 

 

SEJAK COVID-19 melanda, permintaan untuk perkhidmatan penyediaan dan pelaksanaan dokumen perancangan harta dalam kalangan orang Islam di Malaysia semakin meningkat.

 

Di Wasiyyah Shoppe Berhad, kami menyaksikan lonjakan permintaan melebihi 100% bila dibandingkan tahun kewangan 2019/2020 dan 2020/2021. Tercungap-cungap kami nak berdepan dengan permintaan ini.

 

Kakitangan kami telah bekerja bertungkus-lumus untuk menyediakan dokumen perancangan yang diminta terutamanya hibah dan wasiat. Alhamdulillah dengan penyusunan sumber lebih optimum dan pengenalan pelbagai teknologi baharu, semua permintaan  ini dapat diatasi dengan baik.

 

Apabila permintaan semakin tinggi dari masyarakat maka muncullah pelbagai individu atau organisasi yang menawarkan perkhidmatan ini bagi memenuhi permintaan. Situasi permintaan dan penawaran ini adalah perkara biasa di dalam perniagaan.

 

Jika penulisan saya minggu lepas menyentuh tentang unsur kelangsungan perniagaan atau ‘perpetuity’ , minggu ini kita ingin melihat aspek disiplin ilmiah di dalam pembangunan perkhidmatan perancangan harta.

 

Faktor ini mesti dilihat serius oleh masyarakat iaitu sama ada individu atau organisasi yang menawarkan perkhidmatan  ini mempunyai disiplin ilmiah ketat di dalam pembangunan perkhidmatannya atau perkhidmatannya sekadar ikut-ikutan, tiru-tiruan atau hanya berdasarkan pengalaman dan pengetahuan peribadi sahaja.  

 

Kenapa kali ini saya ingin membicarakan aspek disiplin ilmiah ini? Bukankah membuat dokumen perancangan harta itu perkara yang mudah sahaja? Bukankah hukum syarak telah pun menetapkan secara tepat kesahihan sesuatu instrumen perancangan harta itu. Ikut sajalah apa susahnya.  ‘Template’ dokumen seperti hibah dan wasiat ini pun boleh didapati dengan mudah dan murah dalam media sosial. Bukankah sama sahaja dokumennya?

 

Wasiyyah Shoppe Berhad telah membelanjakan hampir RM2 juta di dalam penyelidikan dan pembangunan sejak 2004. Kami memang sangat menitikberatkan aspek ini kerana kami mahu memastikan semua perkhidmatan yang diperkenalkan kepada masyarakat adalah patuh hukum syarak, patuh undang-undang syariah dan boleh dikuatkuasakan mengikut undang-undang di Malaysia.

 

 

Wasiyyah

 

 

Setakat pengetahuan saya sehingga hari ini, di dalam industri perancangan harta di Malaysia, hanya Wasiyyah Shoppe Berhad ialah satu-satunya syarikat amanah yang mengamalkan disiplin penyelidikan ilmiah dalam pembangunan perkhidmatannya.

 

Wasiyyah Shoppe Berhad menetapkan apa topik yang ingin dibangunkan sebagai satu perkhidmatan yang telah dikenal pasti dapat memenuhi keperluan masyarakat. Topik ini diserahkan kepada universiti untuk ditetapkan ruang lingkup penyelidikannya. Apabila telah dipersetujui bersama, Wasiyyah Shoppe akan memberikan geran penyelidikan.

 

Penyelidikan ini diketuai oleh pensyarah pakar di dalam bidang fiqh mawarith dan dibantu oleh beberapa pembantu penyelidikan. Selain al-Quran dan hadis, mereka juga mengkaji kitab-kitab ulama muktabar ahli sunnah wal jamaah seluruh dunia di samping penulisan ilmuwan Malaysia, undang-undang yang terguna pakai di negara-negara Islam, kes-kes yang telah diputuskan di Mahkamah Malaysia dan wawancara dengan hakim-hakim mahkamah syariah. Kesemua dapatan penyelidikan ini dikumpulkan, disimpulkan dan dibuat panduan terperinci mengenainya.

 

Dapatan penyelidikan ini dibentangkan kepada Jawatankuasa Teknikal Syariah Wasiyyah Shoppe Berhad untuk diperhalusi aspek syariahnya. Selepas draf dipersetujui oleh Jawatankuasa Teknikal Syariah, ia dibawa pula ke dalam satu muzakarah yang mengumpulkan pakar-pakar undang-undang syariah dan pakar fiqh mawarith seluruh Malaysia.

 

Kumpulan 15 ke 20 orang pakar-pakar  ini memberikan pandangan pengukuhan dan penambahbaikan kepada dapatan penyelidikan ini bagi ia memastikan apabila ia dibangunkan sebagai perkhidmatan oleh Wasiyyah Shoppe, ia boleh dikuatkuasakan mengikut undang-undang yang terguna pakai di Malaysia.

 

Hasil muzakarah dikumpulkan dan dibincang di Panel Syariah Wasiyyah Shoppe untuk dikemaskini dan diluluskan sebagai perkhidmatan yang akan diperkenalkan kepada masyarakat. Semua perincian perkhidmatan yang telah dimuktamadkan akan dibawa pula ke Lembaga Pengarah untuk kelulusan akhir dari segi operasi.

 

Lembaga Pengarah akan melihat kepada aspek tadbir urus korporat dan had kuasa bagi memastikan perkhidmatan ini selari dengan semua undang-undang yang mengikat Wasiyyah Shoppe sebagai syarikat amanah.

 

Selepas diluluskan Lembaga Pengarah, perincian perkhidmatan didaftarkan sebagai SOP rasmi Syarikat mengikut standard MS ISO 9001 dan dikawal selia oleh Jabatan Audit Dalaman untuk aspek pematuhannya. Sistem digital yang berkenaan juga dibangunkan bagi memastikan pengoperasian perkhidmatan dibuat secara cekap dan tepat.   

 

 

Wasiyyah

 

 

Bagi membangunkan sesuatu perkhidmatan, Wasiyyah Shoppe melalui proses disiplin ilmu ketat yang dari peringkat pembangunan sehinggalah operasi. Kami tidak membangunkan perkhidmatan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sendiri sahaja.

 

Kami juga tidak membangunkan perkhidmatan berdasarkan agak-agakan atau tiru-tiruan sahaja. Semua proses diperhalusi dari segenap aspek dan keputusan dibuat secara kolektif dan musyawarah, bukan keputusan individu. 

 

Kenapa pula kami hendak bersusah-payah menyusahkan diri sendiri melalui proses sukar dan mengeluarkan perbelanjaan yang banyak semata-mata untuk melalui disiplin ilmu ini?

 

Kerana kami tahu apabila masyarakat menggunakan perkhidmatan kami, ia adalah satu  amanah yang mesti kami laksanakan sebaik mungkin. Lebih dari sekadar satu perniagaan, apa yang kami lakukan ialah satu ibadah fardu kifayah untuk  menegakkan muamalat di Malaysia terutamanya di dalam industri perancangan harta secara syariah  dan seterusnya memartabatkan undang-undang syariah apabila kesemua perkhidmatan kami dibawa ke Mahkamah Syariah untuk pengesahan.

 

Kami juga faham semua orang mempunyai struktur faraid, portfolio harta dan hasrat yang berbeza. Kebanyakan dokumen ‘template’ standard yang ada di media sosial dalam pemerhatian saya dibentuk dengan secara umum sahaja dan kemungkinan besar  tidak menepati keperluan unik individu.

 

 

Wasiyyah

 

 

Disiplin ilmiah ketat yang Wasiyyah Shoppe amalkan dapat menjamin cangkupan parameter yang lebih luas dalam sesuatu aspek perancangan harta dan boleh memenuhi hampir kesemua keperluan unik individu di Malaysia.

 

Disiplin ilmiah ketat yang Wasiyyah Shoppe amalkan dalam pembangunan perkhidmatan kami menjamin bahawa bukan sahaja keperluan individu unik individu dapat dipenuhi mengikut kaedah syariah tetapi dalam masa yang sama dokumen-dokumen yang dibuat juga boleh berkuatkuasa dan mencapai hasrat masyarakat.

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags