Skip to main content

Kekalkan tarif: Ismail Sabri tolak bourgeois di dalam Kabinet

Yang menarik kali ini ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat kejutan menolak keputusan Kabinet.

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

SEJAM sebelum mesyuarat bersama CEO Suruhanjaya Tenaga, Ts Abdul Razib Dawood pada Jumaat (24 Jun 2022), satu panggilan diterima memberitahu sesi bersama editor dibatalkan!

 

Dan pada lewat petang Jumaat, Putrajaya mengumumkan tarif elektrik sejak Januari dikekalkan hingga hujung tahun.

 

Dan sebenarnya, beberapa hari sebelum panggilan sesi bersama Suruhanjaya Tenaga itu, DagangNews dimaklumkan bahawa `Kabinet sudah pun bersetuju supaya tarif dinaikkan’ daripada sumber kerajaan dan entiti utiliti.

 

Desas-desus ini diperkuatkan lagi dengan media arus perdana sudah memainkan cerita kenaikan itu, bagaimana Tenaga Nasional Berhad berdepan dengan beban kos penjanaan elektrik yang tinggi terutamanya disebabkan kos arang batu yang melonjak ke langit pada masa ini.

 

Paling terbaharu, TNB terpaksa membayar AS$3 bilion atau RM13.14 bilion kepada pengeluar arang batu Indonesia untuk tempoh 3 tahun yang diterjemahkan sebagai RM4 bilion setahun!

 

Sesi yang sepatutnya diadakan bersama editor – sama seperti sesi yang diadakan pada Januari lalu – adalah bagi memperjelaskan rasional di sebalik keputusan menaikkan tarif.

 

Percayalah, sesi Januari yang turut dihadiri oleh DagangNews sarat dengan persoalan tajam dan keras daripada editor-editor yang hadir. Dan ini diperakui oleh Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri, Shahril Sufian Hamdan yang turut hadir di dalam sesi tersebut.

 

Sementelahan memahami mengapa tarif terpaksa dikaji setiap enam bulan, para editor mahu birokrat dan teknokrat yang berada di dalam dewan taklimat ketika itu supaya memikirkan betapa Malaysia baharu sahaja keluar daripada pasung Perintah Kawalan Pergerakan pada Oktober 2021 di mana rakyat baharu hendak bangkit semula terutama dalam soal kewangan.

 

Malah, bencana banjir Lembah Klang pada Disember 2021 telah menjadikan kerajaan sebagai sasaran kritikan kerana ketiadaan penyelarasan bantuan. Maka logikkah Januari diumumkan pula kenaikan tarif elektrik?

 

merrepak
Kereta dan barangan rumah yang musnah dalam banjir besar di Kg Jawa, Klang pada disember 2021. - Gambar DagangNews.com

 

 

Media massa bonafide tahu peranan yang digalas untuk menjelaskan kepada audiens masing-masing rasional di sebalik keputusan kerajaan untuk mengekalkan surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) pada kadar semasa serta mengekalkan kadar tarif air semasa.

 

Para editor tahu Tenaga Nasional Berhad tidak rugi apa pun. Apa sahaja kekurangan akibat dasar kerajaan berkenaan tarif, TNB akan mendapat pampasan daripada kerajaan. Istilah saintifiknya ialah subsidi.

 

Yang menarik kali ini ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat kejutan dengan keputusannya menongkah arus daripada keputusan asal Kabinet.

 

Sebab PM kena kerap buat begitu, supaya kritikan umum bahawa beliau dibuli oleh menteri-menteri pelbagai parti di dalam Kabinetnya dapat dihentikan. Malah menteri dari parti yang sama pun perlu tunjukkan keputusan mereka adalah sealiran dengan PM. Bila PM keluarkan pembaris, jangan ada lagi yang garisan terkeluar.

 

Namun sepatutnya dan selayaknya Perdana Menteri diberi pujian kerana mengambil keputusan eksekutif yang berani dan tegas untuk membuat keputusan yang berat, lagi rumit ini.

 

 

PM

 

 

Implikasi keputusan kekalkan tarif

Ini kerana berikutan keputusan terkini Perdana Menteri Jumaat lalu, kerajaan kini menampung kos harga bahan api sebanyak RM5.8 bilion.

 

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz pada Sabtu tampil dengan kenyataan media bahawa unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan yang berjumlah RM77.3 bilion setakat ini bagi 2022 adalah jumlah subsidi tertinggi di dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.

 

  1. Unjuran subsidi kepenggunaan ini meliputi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) (RM37.3 bilion); minyak masak (RM4 bilion); tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, serta bil subsidi (RM9.7 bilion), tidak termasuk bantuan kebajikan lain.

 

  1. Unjuran subsidi untuk 2022 itu adalah jika harga bersubsidi serta harga pasaran minyak, arang batu dan komoditi lain kekal pada paras semasa.

 

  1. Apabila ditambah dengan bantuan-bantuan lain seperti Bantuan Kebajikan Masyarakat termasuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) (RM11.7 bilion) dan lain-lain subsidi (RM14.6 bilion), jumlah keseluruhan subsidi setakat ini adalah RM77.3 bilion bagi 2022,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

 

  1. Ini juga mengambil kira pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai bantuan tunai tambahan RM630 juta yang meningkatkan jumlah BKM Fasa 2 bagi golongan berpendapatan rendah kepada RM1.74 bilion mulai 27 Jun, 2022.

 

Mekanisme ICPT

Pelepasan Kos Tidak Seimbang ini dalam bahasa mudahnya adalah mekanisme yang sama seperti bayaran bulanan rumah kita. Moratorium yang diperintah kerajaan semasa PKP bukan bersifat `pelupusan’ tetapi sekadar `penangguhan’.

 

Jadi bila ditangguh, maknanya akan ada `datang balik’ nanti dan segala benda yang tidak dicaj sepanjang tahun ini, akan terkumpul apabila dilaksana pada sesi ICPT seterusnya. Tetap kena bayar.

 

Untuk mengurangkan kesan kos penjanaan tambahan ini kepada pelanggan, Kerajaan telah menggunakan dana yang ada sebanyak RM715 juta daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) untuk menyediakan bantuan yang disasarkan kepada pelanggan Domestik (dengan mengekalkan rebat 2 sen/kWj).

 

Mekanisme ICPT telah dilaksanakan dengan jayanya sejak 2015, dengan penampan daripada KWIE.

 

Pelarasan kepada kos Penjanaan Pembeli Tunggal (Single Buyer) telah diserahkan kepada pelanggan sebanyak 14 kali ICPT yang lalu sejak 2015.

 

Sektor ini telah menguruskan kesan turun naik harga bahan api dengan sangat baik melalui ICPT termasuk melindungi pelanggan domestik dengan menggunakan dana KWIE1 semasa tempoh surcaj.

 

Sejak 2015, jumlah rebat yang diberikan dan surcaj dikenakan kepada rakyat ialah:

Rebat : RM8.5 bilion

Surcaj : RM3.7 bilion

Perbezaan: hanya ditambah tolak 5% daripada tarif asas.

 

Di bawah Peraturan Berasaskan Insentif (IBR), kos penjanaan sebenar diselaraskan melalui ICPT.

 

Fakta sahih: surcaj tidak pernah dikenakan ke atas Pelanggan Domestik.

 

tarif
Tarif elektrik yang dilaksanakan sejak Januari 2022 hingga Jun, kini akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2022.

 

 

Impak terhadap TNB

Sebagai sebuah syarikat tersenarai awam, persoalan kenaikan tarif ini menjadi satu barometer kepada pelabur domestik dan paling sensitif kepada pelabur antarabangsa.

 

TNB juga memiliki perniagaan di luar negara dan memerlukan suntikan dana (bahasa korporat menggantikan hutang). Tarikan utama kepada pelabur atau bank global ialah sama ada sesebuah entiti itu berpeluang meraih keuntungan berterusan untuk membayar balik hutang.

 

Dalam konteks TNB sebagai sebuah entiti utiliti yang merupakan sektor penting kepada ekonomi serta berstatus monopoli pula, TNB tidak berdepan isu besar khususnya dalam aspek keyakinan pelabur. TNB tetap `darling’ kepada pelabur.

 

Impak kepada kerajaan

Apa sahaja dasar yang diputuskan ke atas TNB, memberi gambaran mengenai kerajaan di mata dunia – sama ada bersifat mesra pelabur, mesra perniagaan atau tidak tahu mengurus ekonomi.  

 

Ketika dunia berdepan dengan inflasi, kemelesetan yang serius pasca-pandemik dan perang Rusia-Ukraine, keputusan Malaysia mengekalkan tarif elektrik sedia ada bukan luar biasa.

 

Benar negara-negara jiran sudah menaikkan tarif masing-masing. Indonesia misalnya, mengenakan tarif berlainan bagi pengguna yang menggunakan elektrik pada tahap tertentu sahaja, jadi mengecualikan rakyat marhaen.

 

Samalah seperti Malaysia. Tarif sekarang mengenakan tarif berbeza bagi pengguna yang selama ini harga bil elektriknya RM300-RM400 naik 20% hingga 30% di bawah tarif sedia ada.

 

Golongan rakyat berpendapatan rendah B40 terutamanya, tidak terkena dalam dasar ini.

 

 

PM

 

 

Impak kepada Ismail Sabri

Apakah disebabkan Ismail Sabri berlatar belakang peguam, datang dari keluarga petani pula, maka ada pengkritik mencemuh keupayaannya sebagai perdana menteri yang tidak tahu uruskan ekonomi?

 

Apakah ciri-ciri itu hanya patut ada pada golongan bangsawan, kayangan maka seorang lulusan universiti di Jalan Pantai Baru dianggap lekeh?

 

Seseorang itu hendaklah bersekolah di luar negara, fasih berbahasa Inggeris lalu ini menjadi penanda aras kebijaksanaan dan kelayakannya untuk menjadi pemimpin?

 

Maka inilah pandangan penuh kesombongan golongan bourgeois (sebut bor-jua) yang masih tebal dan malangnya, ramai percaya soal darah lebih utama daripada meritokrasi di Malaysia.

 

Keputusan Ismail Sabri menidakkan keputusan Kabinet pada Jumaat lepas, mungkin ada implikasi daripada segi ekonomi. Berkokok para pengkritiknya menuduh beliau membuat Pusingan U dalam soal ayam.

 

Mari kita menarik nafas sebentar dan cuba melihatnya seberapa objektif yang boleh.

 

  1. Ismail Sabri tahu implikasi dari segi ekonomi jika tarif dinaikkan. Birokrat yang mendesak tarif dinaikkan berhujah subsidi akan melumpuhkan negara.

 

  1. Tetapi keputusan Jumaat lalu bukan untuk selama-lamanya. Hanya untuk setahun penuh 2022 ini agar kita boleh keluar daripada kemelut COVID-19.

 

  1. Bukan sahaja kumpulan B40 dan M40 mahukan pembelaan tetapi kumpulan perniagaan juga mahu pertolongan agar mereka dapat membina semula bisnes. Pengekalan tarif ini sedikit sebanyak membantu.

 

  1. Janganlah sekadar dilihat pada hujah angka pada buku kira-kira. Ismail Sabri telah berani menidakkan elemen birokrat, teknokrat dan bourgeois di dalam kerajaannya demi kesejahteraan rakyat.

 

  1. Keputusannya boleh membawa kesan positif dan negatif tetapi berilah masa untuk Ismail Sabri membuat kerja. Asyik kritik, itu bukan membantu.

 

  1. Tetapi usah risau pengkritik. Namanya pun pengkritik. Memang kerja dia. Merrepak juga pengkritik tetapi di ruangan ini selalunya sedaya-upaya memberi rasional pro dan kontra untuk anda buat keputusan sendiri. - DagangNews.com

 

 

Johardy Ibrahim merupakan Editor DagangNews.com dengan 30 tahun pengalaman dalam bidang kewartawanan. Merrepak adalah kolum pojok beliau setiap minggu yang pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 dan menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu JANGAN KAU RAYU oleh RAHIM MAAROF berulang-ulang kali.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL MERREPAK