Jalinan UiTM bersama komuniti Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
MULANYA DI SINI - 4 April 2022

Jalinan UiTM bersama komuniti Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis

Oleh Siti Sarina Sulaiman

 

 

DIKELILINGI suasana yang damai dan pemandangan yang menarik, Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, sekali lagi mengadakan tinjauan ke Kampung Seberang Ramai untuk melihat keadaan terkini lokasi ini. 

 

Bagi mereka yang tidak mengenali lokasi ini, Kampung Seberang Ramai merupakan sebuah perkampungan nelayan di Kuala Perlis yang telah terpilih untuk menjalani transformasi sebagai sebahagian daripada inisiatif fasa pertama ‘Program Pengindahan dan Kempen Rakyat Perlis Hidup Bersih’.  

 

Transformasi ini diharapkan dapat membantu untuk menaik taraf bukan sahaja kualiti hidup tetapi juga pendapatan komuniti terlibat.

 

Suasana kampung ini yang dulunya sinonim dan lazim seperti kampung-kampung nelayan yang lain, tetapi dengan ihsan inisiatif Yayasan Tuanku Syed Putera Perlis (YTSP) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Kampung Seberang Ramai kini menampilkan imej yang lebih segar dan menarik perhatian ramai. 

 

Pelbagai badan dan organisasi juga turut mengambil peluang untuk menyumbangkan kepakaran mereka, serta menggunakan peluang ini untuk menyampaikan maklumat dan objektif badan dan organisasi masing-masing.

 

Antaranya ialah E-IDAMAN dan SWCorp Malaysia. Kempen kesedaran mengenai pemuliharaan dan penjagaan kebersihan di samping menjana pendapatan merupakan antara fokus utama badan dan organisasi ini.

 

Usaha untuk menaik taraf kampung ini turut melibatkan institusi pengajian tinggi tempatan di mana UiTM Cawangan Perlis adalah sebuah daripada institusi yang turut aktif menyumbang kepada pembangunan komuniti di Kampung Seberang Ramai.

 

Inisiatif ini dijalankan sebagai sebuah usaha untuk mengeratkan lagi jalinan diantara institusi pengajian tinggi tempatan dan komuniti setempat di samping berkongsi kepakaran yang sedia ada.

 


 

mula

 

mula

 

mula

 

Komited untuk memastikan lokasi ini membangun sejajar dengan pembangunan industri pelancongan  dan komuniti setempat negeri Perlis, pelbagai khidmat dan kerjasama turut diberikan oleh UiTM Cawangan Perlis.

 

Antara khidmat yang turut diberikan adalah untuk memastikan kualiti pembangunan yang telah dijalankan kekal dan menawarkan kepakaran dan nasihat kepada usahawan-usahawan kecil komuniti Kampung Seberang Ramai.

 

Terdapat juga inisiatif yang masih di dalam perancangan untuk melibatkan para pelajar UiTM Cawangan Perlis sebagai sebahagian usaha untuk memberi pendedahan kepada mereka akan selok-belok untuk mengadakan jalinan bersama komuniti dan masyarakat luar di samping memupuk sifat kepimpinan, berkeyakinan dan berkebolehan di dalam diri pelajar.

 


 

mula

 

mula

 

 

Kini, satu tahun telah berlalu, Kampung Seberang Ramai atau lebih dikenali sebagai Kampung Warna-Warni telah melalui transformasi total menjadikannya salah satu daya tarikan pelancongan terkini di negeri Perlis.


Walaupun turut terkesan dengan penularan wabak koronavirus (COVID-19), pelbagai usaha telah dijalankan oleh organisasi dan media tempatan untuk memastikan orang ramai sedar akan kewujudan Kampung Seberang Ramai.

 

Tandapagar #kampungseberangramai turut dapat dilihat di media sosial Instagram, hasil kongsian pengunjung yang telah mengunjungi kampung nelayan yang penuh warna-warni ini.

 

Pelbagai lokasi dan sudut yang menarik dapat dilihat dan sesuai untuk dijadikan latar belakang swafoto atau bergambar bersama rakan-rakan dan ahli keluarga.

 


 

mula

 

 

Berita terkini mengenai Kampung Seberang Ramai ini turut dikongsikan melalui laman Facebook Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, UiTM Cawangan Perlis.

 

Namun, pengunjung dinasihatkan untuk membawa payung ketika bersiar-siar di kampung ini kerana Perlis juga turut terkenal dengan cuacanya yang panas lit-lit. 

 

Kampung Seberang Ramai ini hanyalah satu daripada pelbagai usaha yang telah dan sedang dijalankan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis dalam memastikan adanya usaha berterusan dalam memupuk jalinan diantara universiti dan juga komuniti setempat.

 


 

mula

 

mula

 

 

Dengan adanya jalinan seperti ini, warga UiTM Cawangan Perlis turut berpeluang untuk berkongsi kemahiran dan kepakaran masing-masing bersama masyarakat luar dan menyumbang dalam pembangunan negeri Perlis. 

 

Jalinan seperti ini adalah sangat dalam memastikan pembangunan sosial, ekonomi, taraf hidup dan pendidikan masyarakat di sesebuah negeri. Semoga Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis dapat menjadi satu contoh positif supaya usaha pembangunan yang serupa dapat diteruskan bersama komuniti lain di negeri ini. - DagangNews.com

 

Siti Sarina Sulaiman adalah Koordinator Keusahawanan Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Cawangan Perlis

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL MULANYA DI SINI

Portfolio Tags