Pemasaran politik vs budaya fitnah politik | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Infiniti - 10 Nov 2023 08:00 AM

Pemasaran Politik vs Budaya Fitnah Politik

 

 

MELIHAT perkembangan mutakhir ini, konsep pemasaran politik dicemari dengan hebat melalui budaya fitnah dalam politik yang tiada noktahnya meskipun tiada lagi suasana pilihan raya.

 

Adakah ini merupakan satu perkembangan negatif dalam fasa politik negara atau ini merupakan fenomena global?

 

Sebenarnya pemasaran politik ialah satu siri aktiviti terancang, strategik dan taktikal dalam menyebarkan makna politik kepada pengundi bagi menjayakan calon atau parti politik dengan segala aktiviti politik mereka dijalankan menggunakan kaedah atau pendekatan pemasaran.

 

Ini dilakukan untuk menghadapi persaingan dan memperjuangkan pasaran melalui saluran komunikasi dengan matlamat untuk mengubah pandangan, pengetahuan, sikap dan tingkah laku bakal pengundi secara berkesan dan cekap.

 

Sepatutnya aktiviti ini dihenti atau dikurangkan setelah tamat musim pilihan raya dan semua pihak seharusnya menumpukan pada pentadbiran negara.

 

Pendekatan pemasaran politik perlu muncul dengan berbagai pendekatan baru dalam sains politik yang mampu menjawab keperluan strategi yang boleh menghasilkan kemenangan dalam pilihan raya.


 

irsyad

 


Dalam iklim politik yang penuh dengan persaingan terbuka dan telus hari ini peserta memerlukan kaedah yang boleh memudahkan mereka dalam memasarkan inisiatif politik, idea politik, isu politik, ideologi, ciri calon, dan program kerja kepada masyarakat.

 

Budaya mengeluarkan perkataan berbaur fitnah perlu dihentikan dan diganti dengan amalan atau kaedah yang boleh memudahkan ahli politik dalam memasarkan inisiatif politik, idea politik, isu politik, ideologi, ciri calon, dan program kerja kepada masyarakat dengan lebih bertanggung jawab.

 

Dengan mengambil contoh kejadian yang terbaru di mana seorang ahli parlimen telah mengaitkan pertalian ahli-ahli keluarga beberapa pimpinan politik di mana dalam keadaan ini menampakkan ahli parlimen ini tidak mempunyai kefahaman terhadap amalan dan fungsi nama keluarga di dalam masyarakat Tionghoa.

 

Memburukkan lagi keadaan video yang tersebar tersebut turut melibatkan pimpinan besar negara jiran yang boleh menyebabkan terjejasnya hubungan baik politik antarabangsa dua negara Malaysia-Singapura.

 

Seharusnya para pemimpin seharusnya menunjukan suri teladan yang baik kepada mereka yang dipimpin.

 

Para pimpinan politik seharunya menunjukkan budaya yang santun dan baik, kasih sayang, hormat menghormati dan di mana nilai ini akan menjadi ikutan budaya yang baik dari kalangan pengikut masing-masing sekiranya semua pihak mengambil sikap untuk mengamalkannya.


 

irsyad

 


Pemimpin politik tidak seharusnya menormalisasikan budaya fitnah dan hina antara satu sama lain seperti yang berlaku sekarang di platform-platform media sosial mahu pun secara luar talian.

 

Apa yang jelas kelihatan kini kebanyakan ahli politik mudah berkongsi pautan kadangkala sama ada sumbernya jelas atau tidak, betul atau salah, baik atau buruk walaupun mereka mempunyai taraf pendidikan yang amat tinggi.

 

Maka apabila seseorang pengikut atau ahli masyarakat itu tidak berhati-hati atau kurang arif tentang dunia politik, mereka mudah terjerumus dengan cakap-cakap palsu yang tersebar di pelbagai media sosial.

 

Jika kita lihat hal gejala budaya fitnah di dalam politik ini juga dihadapi oleh negara negara serantau seperti Indonesia yang dalam persiapan menghadapi pemilihan presiden mereka tahun hadapan.

 

Sebagai masyarakat yang bebas berfikir kita  seharus bijak dalam menyahut isu-isu politik, contohnya bakal calon, sistem dan peraturan pelaksanaan pilihan raya. Jangan percaya pada sesuatu tanpa asas sedikit pun dalam menangani budaya fitnah dalam politik ini.

 

Sebagai sebuah masyarakat yang bijak dan berteraskan ilmu, janganlah termakan dengan fitnah dan bersengketa  sesama sendiri.

 

Sebagai individu mereka harus benar-benar melihat selok-belok, kronologi dan fenomena di sebalik fenomena tersebut. Kerana tanpa mencari ilmu asas, mereka akan hanya mengambil berita, pendapat, sampah dan artikel palsu dari pasaran media sosial yang dijual secara percuma dan penuh emosi.


 

irsyad

 


Bagi masyarakat cerdik pandai, perbalahan politik adalah perkara biasa, kawan boleh menjadi lawan, dan lawan boleh menjadi kawan.

 

Parti Politik A yang sebelum ini menjadi lawan, kini menjadi gabungan. Tetapi bagi masyarakat umum atau biasa, ini boleh menjadi krisis berpanjangan, malah menggerakkan orang ramai untuk berdemonstrasi. Rakyat biasa mempercayai berita dari pemimpin walaupun mereka tidak faham politik.

 

Fitnah dan ucapan kebencian yang menular meskipun suasana pilihanraya telah tamat  ini amat meresahkan. Jika ini berterusan, sudah tentu masyarakat di dalam negara akan mudah berpecah-belah.- DagangNews.com

 

Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI

 

 

 

dagangnews