SPRM bantu pemulihan aset dana 1MDB berjumlah RM20.5 bilion | DagangNews Skip to main content

SPRM bantu pemulihan aset dana 1MDB berjumlah RM20.5 bilion

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Nov - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama agensi penguatkuasa antarabangsa berjaya memulangkan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah lebih RM20.53 bilion kepada kerajaan Malaysia.

 

SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, badan itu sedang giat meneruskan usaha untuk pemulihan aset dana 1MDB termasuk di Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan dan Singapura.

 

Pada 12 November lalu, Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura membuat pemulangan wang milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn. Bhd. (SRC), Nik Faisal Ariff Kamil kepada kerajaan Malaysia menerusi Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset milik Kementerian Kewangan berjumlah AS$864,813.27 (RM3.62 juta).

 

"Kerajaan Singapura turut membantu dalam pemulangan aset sebanyak AS$15.4 juta (RM64.42 juta) kepada Malaysia, membabitkan akaun Cutting Edge Industries Ltd, milik Datuk Tawfiq Ayman dan Samuel Goh.

 

"Pada ketika ini, SPRM sedang dalam usaha untuk pemulihan aset bagi negara seperti Switzerland, Kuwait, Mauritius, Cyprus dan Hong Kong, membabitkan individu yang mempunyai kaitan dengan kes 1MDB," katanya, hari ini.-Dagangnews.com