Sedania, Codebase Technologies bekerjasama terajui inovasi perbankan digital | DagangNews Skip to main content

Sedania, Codebase Technologies bekerjasama terajui inovasi perbankan digital

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Sedania Innovator Bhd. menerusi anak syarikat teknologi kewangan (Fintech), Sedania As Salam Capital Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian kerjasama dengan Codebase Technologies,
untuk menyediakan penyelesaian digital hujung ke hujung yang mempercepatkan adaptasi dan inovasi
perbankan digital.

 

Kerjasama itu bagi menyelaraskan teknologi dan rangkaian klien Sedania As Salam dan Codebase Technologies yang beroperasi dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), dalam mengukuhkan kedudukan syarikat terhadap sektor perbankan digital yang semakin mendapat permintaan tinggi.

 

Ini akan dapat dicapai melalui pembangunan platform perbankan Islam digital semua dalam satu yang tersedia untuk pelanggan di Malaysia dan juga antarabangsa melalui model bertemakan SaaS (Subscription as a Service). 

 

Platform baru itu akan menampilkan perisian Tawarruq, yang merupakan perisian hak milik Sedania As
Salam, sebagai terasnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam, Nisa Ismail berkata, kerjasama itu akan meletakkan syarikat di hadapan dalam menawarkan penyelesaian perbankan digital yang inovatif bagi memenuhi keperluan
institusi perkhidmatan kewangan (FSI).

 

Katanya, rekod prestasi kukuh Sedania As Salam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada bank
konvensional mewah, bank koperasi dan juga pelbagai FSI yang lain juga dapat membantu Codebase Technologies memperoleh kedudukan yang lebih kukuh di Malaysia

 

“Keyakinan kami ini bersandarkan kepada fakta bahawa kami boleh memanfaatkan teknologi daripada Codebase Technologies yang diiktiraf dan telah berjaya digunakan dalam melancarkan pelbagai platform dan penyelesaian digital di seluruh dunia untuk pelbagai FSI, sama ada bank neo atau pencabar, bank tradisional, fintech dan syarikat baru," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

 

sedania
Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam Capital, Nisa Ismail (kiri) bersama Ketua Perusahaan Global Codebase Technologies, Omar Mansur bertukar dokumen pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama.

 

 

Dalam perjanjian tersebut, Sedania As Salam akan menerajui pembangunan perniagaan dan juga pengurusan projek sementara mengintegrasi solusi teknologi kewangan Islam dengan Digibanc, platform perbankan digital daripada Codebase Technologies yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

 

Sementara itu, Ketua Perusahaan Global Codebase Technologies, Omar Mansur berkata, kerjasama itu dapat memberi hasil yang membanggakan pada masa hadapan dan mempercepatkan pendigitalan di rantau ini.

 

“Sinergi bersama yang kami akan dapat terokai adalah tidak terhad dan akan membolehkan akses yang lebih luas kepada pelbagai penyelesaian digital untuk FSI. 

 

"Kerjasama ini akan membantu kami mengembangkan kedudukan kami di Malaysia dan rantau Asia Pasifik, dan kami juga bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan organisasi yang berkongsi visi yang sama," katanya. - DagangNews.com